Isnin, 13 Oktober 2014

Cerpen: Cinta Anime.

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum wbth. dan salam sejahtera.


Cinta Anime.

Dahi Adam semakin mengerut. Cubaan beberapa kali membuat panggilan telefon masih tidak berjawab. Sabarnya mula tercabar. Kalau tidak kerana jiwa kacau, pasti sudah diakhiri saja usahanya itu. Dia mencuba lagi. Kali ini jarinya menekan ikon ganggang telefon bewarna hijau pada skrin telefon itu dengan lebih kuat.

"Assalamualaikum. Adik, ini abang Adam. Ada perkara penting abang mahu bincang dengan adik," mukadimah Adam sebaik saja kedengaran suara hello di sebelah sana.

"Waalaikumussalam... Adam?" soal Hawa kembali kedengaran hairan. Suaranya yang baru bangun tidur segan-segan mahu keluar dari kerongkong.

"Ya, abang Adam. Bekas tunang adik," Adam memperkenalkan dirinya. 'Usah berpura-pura hilang ingatanlah adik,' monolog Adam diam-diam. Jam dinding yang menunjukkan pukul 4.30 pagi dikerling sepintas lalu. Dia pasti waktu ini, Hawa sudah terjaga dari tidur. Sebab itu tanpa malu dan bersalah dia menghubungi Hawa. Cuma rasa bengang saja kerana terasa tidak mahu dilayan!

"Oh, abang..." lambat-lambat Hawa sebut perkataan abang itu. Kedengaran janggal di telinga sendiri kerana selama empat tahun kebelakangan ini 'abang' adalah panggilan untuk anak sulungnya. Bukan kerana dia tidak kenal suara yang bersuara itu. Cuma agak terkejut kerana Adam hanya muncul sekali-sekala saja sejak dia kahwin. Muncul sewaktu dia gaduh-gaduh manja dengan suami. Seperti dapat diduga apa tujuan Adam kali ini.

"Abang mahu jadi kaunselor adik. Jadi jangan malu-malu berkongsi masalah dengan abang. Insya-Allah abang cuba membantu," Adam terus menjelaskan niatnya tanpa bermadah-madah.

'Kan betul!' kata hati Hawa. Kalau tidak kerana deringan berkali-kali itu adalah panggilan dari Adam, sudah pasti dimatikan saja telefon bimbitnya. Sudahlah tidur tidak berapa lena diulit duka. Sakit jiwa, geram, kasihan dan tidak sampai hati bercampur aduk dengan rindu.

"Lain kali sajalah. Adik isteri orang. Banyak kebiasaan yang tidak boleh dibiasakan apabila sudah bergelar isteri!" dalih Hawa perlahan sedangkan terlalu banyak luahan hati yang mahu diperdengarkan.

"Kali ini tidak mengapa. Suami adik sudah izinkan. Err... dia yang suruh abang telefon adik," balas Adam cepat.

"Oh, ya kah?" Wajah suami yang dirindui itu segera terbayang di minda Hawa. Masih ada sendu di hati kerana rajuk yang tidak dipujuk.

"Mengadu apa pula kali ini, ya?" tanya Hawa perlahan. Adam senyap.

Hawa mengubah kedudukan baring kepada duduk untuk lebih selesa. Rasa kantuk masih bersisa. Dia beralih pandangan ke tempat tidur suami di sebelah yang tidak berpenghuni.

'Papa tak balik rumah malam ni. Tidur dalam kereta.' Begitulah mesej yang diterimanya lewat petang semalam. Mesej itu tidak dibalas. Hawa tidak mahu bertanya alasannya. Bukankah sayang isteri itu, ditinggal-tinggalkan? Suka hatilah mahu tidur di mana. Lagipun lebih baik begitu buat sementara ini.

Penat berlakon seperti tidak ada apa-apa. Letih mahu berpura-pura senyum setiap kali pandangan bertemu agar pencatat kanan tetap dapat mencatat. Benarlah sikap suami mampu mempengaruhi isteri jadi solehah atau sebaliknya. Isteri mudah dapat syurga kerana suami. Isteri juga mudah terjun ke neraka lantaran layanan tidak sepatutnya terhadap suami.

"Dia tak salah. Dalam dunia dia, dia seorang saja yang tak pernah buat salah," ujar Hawa sangat perlahan tapi masih jelas didengari oleh Adam.

"Siapa? Abang? Eh, suami adik?" Adam rasa tersindir walaupun tidak disindir.

"Bukan. Ini skrip drama. Tiba-tiba teringat dialog ini," balas Hawa bersahaja. Bayangan Eman Manan yang mengucapkan dialog tersebut melintas sekali lalu.

"Oh, patutlah macam pernah dengar."

"Selagi adik boleh sabar, adik sabar abang..." sambung Hawa.

"Err...  skrip drama lagi?" tanya Adam ragu.

"Bukan. Ini ilmu penunduk yang diturunkan oleh nenek moyang. Sabar dan setuju saja dengan suami walaupun hati menjerit-jerit membangkang," kata Hawa sambil membayangkan suaminya yang bermalam dalam kereta. Siapa yang merajuk sebenarnya?

"Wah, ada ilmu penunduk! Hebat keturunan adik!"

"Kita sama saja berasal dari keturunan yang mulia dan baik-baik. Keturunan nabi."

"Eh! Kita keturunan nabi?" Adam agak terpinga-pinga.

"Ya, nabi Adam a.s."

"Oh... " Muncung mulut Adam membalas seolah-olah seperti tidak pernah tahu perkara itu. "Sabar dan setuju itupun kategori ilmu penunduk, ya? Sabar... sabar... sabar untuk bersabar juga perlukan kesabaran. Berbaloikah adik bersabar?" Adam benar-benar ingin tahu. 

Hawa tidak terus menjawap. Sedikit tergeliat telinganya mendengar perkataan sabar itu diulang-ulang oleh Adam. Dia sudah langgar petua dan akibatnya berlanjutan sampai hari ini. Hatinya merana. Bukan mudah untuk istiqamah mengurut ego suami.

"Mama cemburu. Papa lebih mesra dan banyak melapangkan masa untuk bersama skrin kaca tu," rungut Hawa beberapa hari lepas kepada kekasih hati yang asyik menonton anime One Piece di layar komputer. Malah ada beratus lagi koleksi siri anime dalam simpanan hard disk.

Memang dia juga menggemari anime bersiri itu. Bahkan minat bersama itu jugalah yang menyatukan mereka dalam satu ikatan yang sah. Namun, minatnya mula terhakis setelah jatuh cinta dengan dunia buku pula. Cinta anime tidak rasa manis lagi. Rasa nak muntah hijau!

"Dari kecil lagi papa suka cerita kartun yang ada lawan-lawan ni," jawap suami acuh tak acuh. Baginya, anime, manga dan movie adalah hiburanya.

"Sekarang bukan kecil lagi. Sudah ada dua anak."

"Habis episod inilah, papa berhenti."

"Ada baiknya papa berhenti terus."

"Sekarang pun papa boleh tutup!" Suara suami sudah mula melengking. "Lagi mahu papa buat apa? Buang komputer ini?" soalnya lagi.  Hawa tersentak dengan respon itu. Jarang sekali suaminya bersikap keras demikian. Salah 'timing'kah diskusi mereka?

"Ya, buangkan saja." Lembut tapi sinis. Matanya sudah mula panas mahu bocor. Niat awal mahu berbincang mengenai pembaziran masa yang tidak disenangi sejak sekian lama itu bertukar jadi pertengkaran.

Hawa menggigit hujung lidahnya apabila teringat kembali peristiwa itu. Memang lidah sesekali tergigit juga. Tetapi bukankah lebih baik berhati-hati sebelum tergigit.

"Adik? Tidurkah?" seru Adam bila Hawa senyap agak lama. Faham benar dia dengan tabiat Hawa yang lebih banyak mengamalkan komunikasi diam dalam hubungan. "Adik, masalah tak boleh selesai jika adik diamkan saja. Abang tak boleh baca apa yang ada dalam hati adik. Diam tu bagus. Namun terlalu diam boleh merosakkan hubungan suami isteri.

"Abang sihat?" soal Hawa kembali. Seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada bercerita tentang suaminya. Bercakap tentang anime buat hatinya panas saja. 

"Hati tengah demam," keluh Adam bila Hawa sengaja tukar topik.

"Lor, hati main panas atau main hujan?" usik Hawa. 

"Bagitahu abang bagaimana mahu pikat isteri yang merajuk?" tanpa peduli soalan Hawa, Adam buat permintaan pendapat. Namun, berlegar juga soalan itu dalam benaknya. 'Hati aku main panas? Memang pun.'

Hawa ketawa kecil mendengar permintaan itu. Siapa jadi penasihat siapa pula sekarang ini? 

"Biarlah dia merajuk. Tak payah pujuk. Bukankah biasanya dia akan baik sendiri?" balas Hawa. Adam terasa lagi.

"Tak seronoklah abang nak balik rumah. Mendung saja di dalamnya. Tak ceria langsung."

"Tukarlah."

"Tukar apa?"

"Remote control cuaca tu, ada kat tangan abang. Hanya abang boleh pilih nak tekan butang ribut, tenang, sejuk atau panas dalam rumah tangga abang." Hawa cuba seringkas mungkin memberi penerangan. Lelaki sepeti Adam agak sukar terima pendapat orang. Lebih-lebih lagi jika mahu pandai-pandai dan menunjuk pandai padanya.

"Tiada suami yang mahu rumahnya ribut-ribut!"

"Jadi, gembirakanlah hati isteri abang. Isteri yang jiwanya bahagia saja dapat menguruskan suami dan rumah tangga dengan baik bagi menzahirkan cinta dan pengorbanannya pada keluarga."

Adam senyap lagi. Isterinya tidak gembira? Sebab animekah? Cinta Anime. Ya, mereka bercinta kerana anime. Perang dingin sekarang ini pun kerana anime juga?

"Adik cakap pasal ilmu penunduk tadi, betulkah?"

"Kenapa tanya? Ada rasa kena guna-gunakah?"  Jawapan yang bukan jawapan dari Hawa itu buat Adam berfikir sejenak.

"Agaknya. Jiwa kacau abang dibuatnya. Sekarang ini pun asyik teringat saja."

"Kalau sudah teringat, balik sajalah rumah."

"Abang kat rumahlah ni."

"Eh!"

"Betul. Abang kat bilik sebelah ni."

Hawa bingkas bangun menuju bilik sebelah yang dimaksudkan oleh Adam. Sebaik saja pintu dibuka, kelihatan Adam tersengih-sengih memandangnya. Tanpa senyum, hawa matikan telefon dan mahu berlalu pergi.

"Wah, sombongnya! Tadi dia juga suruh kita balik," kata Adam sambil sambar tangan Hawa pantas agar duduk dekat dengannya.

"Kecil hati tak habis lagi," balas Hawa bersahaja. Sangat tidak selesa dia berada di sisi Adam ketika ini. Suami yang sengaja 'split identity' jadi Adam itu hanya tersengih saja.

"Abang lebih patut banyak kecil hati," adu Adam. "Sudah tiga hari abang bangun lebih awal dari isteri,  gosok baju kerja sendiri, bancuh air sendiri, buat sarapan sendiri," sambungnya lagi.

"Wah! Banyak pahala abang kerana ikut sunnah nabi urus diri sendiri. Isteri abang pergi mana?" Puji Hawa seikhlas mungkin sambil pura-pura bertanya.

"Tak tahu," jawap Adam malas. Dia tahu isteri merajuk. Sengaja tidak dipujuk  kerana biasanya rajuk isteri itu akan baik dengan sendirinya. Akibatnya, dia terpaksa berdikari siapkan keperluan sendiri kerana isteri tidak mahu memanjakannya! Ketika ini dia teringat atok di kampung yang memiliki banyak ilmu dan kaya dengan pengalaman hidup.

"Niat kahwin untuk jadi pemimpin. Pimpin isteri, pimpin anak-anak. Jika kamu niat kahwin sebab mahu ada isteri yang uruskan makan minum dan pakaian kamu, kamu akan kecewa nanti bila isteri tidak melakukan perkara tersebut. Jika niat kahwin sebab mahu ada waris, kamu akan kecewa jika tidak dapat waris," kata atok. 

"Syaitan sukar berlegar dalam rumahtangga manusia. Kadang-kala dengan sebab yang remeh saja boleh jadi punca pergaduhan. Elakkan perkara sedemikian dengan memperbanyak zikir, bacaan al Quran, majlis ilmu dan solat berjemaah dalam rumah," kata atok lagi.

"Seorang suami harus sentiasa redha dan memaafkan isteri setiap hari supaya kehidupan isteri itu diberkati. Isteri yang diberkati, InsyaAllah dapat mendidik anak-anak dengan baik agar menjadi soleh dan solehah," sambung atok.

Ingatan yang mengingatkan itu segera menyedarkan Adam. 

"Adik, abang minta maaf sebab marah-marah adik dan biar adik sedih lama-lama," lafaz Adam akhirnya. Ungkapan keramat yang memang ditunggu-tunggu oleh Hawa itu keluar juga. "Abang juga sudah maafkan adik, setiap hari." sambung Adam sebelum sempat Hawa membalas. 

Hawa pula berasa seperti mahu menangis. Tersentuh dengan kata-kata biasa tapi kesannya luar biasa. Kalau diikutkan, kesilapan di pihaknya lebih banyak berbanding Adam. Banyak nikmat hidup yang dinikmatinya disalurkan oleh yang Maha Penyayang melalui Adam. Kediaman yang selesa, ilmu yang bermanfaat, anak-anak yang comel, keperluan hidup, ketenangan, kebahagian dan sebagainya. Tangan kasar Adam dicapai dan dikucup tanda memohon maaf.
       
"Abang betul-betul demam ya?" Baru Hawa perasan tangan Adam agak dedar. Disentuhnya dahi Adam. Memang panas.

"Demam anime." Adam berkata benar walaupun kedengaran seperti tidak benar. 

"Eh! Boleh macam tu?" 

"Dapat tengok semula anime, demam abang baiklah." Adam terus menjentik perasaan Hawa. Lambat-lambat Hawa mengangguk.

"Tidak mengapa. Anggap demam ini sebagai krisis penyembuhan." Spontan Hawa melontarkan kata-katanya. Bergegar-gegar bahu Adam kerana ketawa.

Sebenarnya itu adalah ulangan kata-katanya dulu pada Hawa. Hawa juga pernah demam gara-gara dia suruh Hawa berhenti dari hobi mengait benang. Diperhatikannya Hawa kerap lewatkan solat sebab leka dengan hobi kait benangnya itu untuk menjadikan pelbagai topi dan alas. Hobi itu tidak salah. Sikap Hawa yang salah.

"Jangan bebel-bebel pasal anime lagi, ya," pinta Adam. "Bukan abang tak mahu berhenti. Hati abang ni yang tak mahu faham," sambung Adam beralasan. Hawa angguk tanpa emosi. Perubahan drastik memang sesuatu yang sukar untuk diperolehi. Membangkang suami serta-merta akan mengeruhkan kembali hubungan mereka.

"Cuma kali ini, abang akan cuba kurangkan dan tengok waktu anak-anak sudah tidur saja," Adam terus berbicara menetapkan peraturannya sendiri. Hawa mengangguk saja tanpa mahu membalas.

"Adik ajak anak tidur awal, ya?" pinta Adam. Hawa angguk lagi walaupun hatinya menggeleng. Dalam kepalanya sudah mula merancang sesuatu agar Adam dapat melupakan terus hobi kanak-kanak itu. Dia tahu, dia ada sejadah untuk sujud merayu pada Tuhan agar melembutkan hati suaminya.

Adam senyum lega. Mudah saja mahu melembutkan hati Hawa. Hawa sudah tidak merajuk lagi. 

"Abang, hari ini hari terakhir Pesta Buku di Putrajaya. Kita pergi ya," kata Hawa yang jelas lari dari topik perbincangan mereka. Kali ini giliran Adam pula yang mengangguk. Sudah sedia maklum dengan minat Hawa, pergi itu bukan setakat pergi saja. Pasti habis juga seratus dua. Nampaknya bajet yang hendak digunakan bagi membeli telefon pintar terpaksa ditangguhkan lagi.

'Eh, aku kena guna-guna lagikah?' monolog Adam sendiri dengan dahi yang berkerut apabila terasa mudah saja dia bersetuju memenuhi permintaan Hawa. Hawa yang sudah memejamkan mata seperti mahu sambung tidur itu kelihatan jelas senyumannya.

"Terima kasih abang. Moga Allah membalas kebaikan  abang dengan banyak," doa Hawa.

"Amin," balas Adam perlahan dengan perasaan yang masih keliru. 

"Ini ilmu penunduk yang diturunkan oleh nenek moyang. Sabar dan setuju saja dengan suami walaupun hati menjerit-jerit membangkang." Kata-kata Hawa itu tadi terus terngiang-ngiang di telinga Adam.

TAMAT.