Rabu, 8 Januari 2014

Strategi Melunaskan Hutang.

Bismillah.

Mula-mula senaraikan dulu semua hutang yang kita ada. Hutang bil telefon, tunggakan indah water, air, elektrik, kad kredit, hutang peribadi, PTPTN, JPA, rumah, kereta, perabot dan lain-lain.

Kelebihan menulis semua senarai hutang ini adalah dapat pahala, sebab Allah yang suruh tulis (surah al Baqarah, ayat 282).

Kemudian pasang niat mahu selesaikan hutang-hutang itu, kerana niat yang baik pasti dapat pertolongan dariNya. Sabda Nabi Muhammad saw:

Sesiapa yang berhutang dengan suatu hutang dengan niat menjelaskannya, maka Allah mewakilkan baginya malaikat untuk memeliharanya dan mendoakan untuknya sehingga dia menunaikan hutangnya. -
 (Direkodkan oleh Ahmad).

Hadis ini sebagai pendorong dan menaikkan semangat kita untuk laksanakan misi melangsaikan hutang dengan 4 prinsip berikut:


1. Beli sesuatu secara tunai. Jika belum mampu, bersabarlah dan terus menyimpan.


2. Hidup di bawah kemampuan, bukan ikut kemampuan.

Maksud di bawah kemampuan ialah, gaji RM 1000 belanja RM 700 baki lagi RM 300 hendaklah disimpan. Apabila gaji naik jadi  RM 10 000, belanja masih RM 700 dan bakinya disimpan.
Maksud ikut kemampuan, gaji RM 1000 belanja RM 1000. Apabila gaji naik jadi RM 10 000, belanja pun RM 10 000.


3. Mulakan tabiat menyimpan setiap hari walaupun sedikit. Boleh dimulakan dengan sen sen dahulu asalkan buat setiap hari. Apabila sudah jadi tabiat, jadilah kita orang yang berduit. Tabiat menyimpan adalah tabiat orang yang berduit.


4. Bina pendapatan kedua dengan melibatkan diri dalam bisnes. Simpan semua hasil bisnes. Guna duit gaji saja untuk hidup bulan-bulan.


Seterusnya lakukan pula 7 strategi di bawah:

1. Jangan buat hutang lagi.

2. langsaikan hutang yang interest nya paling tinggi dulu.

3. Buka dana 'full-settlement' hutang.

4. Gunakan duit durian runtuh seperti bonus untuk langsaikan hutang.

5. Simpan duit kenaikan gaji tahunan 100% ke dalam dana 'full-settlement' hutang.

6. Bila sudah selesai satu hutang, simpan ansuran bulan seterusnya ke dalam 'full-settlement' hutang.

7. Bayar hutang secara automatik.


InsyaAllah, dengan melakukan usaha di atas, kita akan keluar dari beban hutang.


(Strategi melunaskan hutang ini adalah bonus yang terdapat di dalam buku mini Mudahnya Menjemput rezeki. Ia diambil dengan izin dari artikel penulis asal Tuan Mohd Zulkifli Shafie. Artikel penuhnya di sini.  ).



Foto dari google.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan