Mendoakan orang lain adalah salah satu lagi teknik menjemput rezeki yang sangat mudah di lakukan pada bila-bila masa saja kepada sesiapa sahaja yang kita suka. Boleh dilakukan terang-terang, mahupun diam-diam sahaja tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Yang penting jaga niat kita, iaitu bila di lakukan terang-terang, niat mahu dapat redha Allah dan dapat dicontohi oleh orang lain.
Ada riwayat yang meriwayatkan:
Apabila seorng Muslim itu mendoakan kepada saudaranya tanpa pengetahuannya, maka malaikat akan mengatakan, 'Semoga Allah mengabulkan permohonan itu. Dan engkau pun akan mendapatkannya.'
Berdasarkan dari pengalaman sendiri, diakui kelebihan mendoakan orang lain ini memang akan terkena tempias juga pada diri sendiri. Bestkan? Besar manfaatnya apabila diamalkan selalu. Syaratnya, doakan rakan-rakan kita dengan seikhlas mungkin. Jika doa saja sekadar ayat penyedap rasa, tidak pasti lah pula berkesan atau tidak.
Pengalaman yang menarik ini saya lalui ketika berbual online bersama mentor bisnes. Ada beberapa masalah yang saya mohon tunjuk ajar dari beliau. Ketika itu, malam sudah agak lewat. Tetapi beliau masih mahu melayan mentee yang baru hendak tanam buah cempedak di luar pagar ini menyelesaikan masalah.
Oleh kerana rasa serba salah menggangu masa rehat beliau yang sudah tersedia maklum sentiasa sibuk dengan urusan pelbagai bisnesnya, lantas saya doakan beliau dapat bangun awal bercinta dengan Si Raja segala raja. Mengapa doa itu yang terlintas? Entahlah...
Orangnya bertudung labuh, air mukanya sangat tenang dan begitu rapi menyusun ayat memberi tunjuk ajar. Agaknya, sebab saya rasa mentor ini pasti selalu bangun malam dan rasa bersalah mengambil masanya yang sepatutnya sudah tidur supaya boleh bangun awal, maka doa itu yang terlontar.
Adakah saya juga dapat bangun malam? heheh...
Melayan tiga orang kanak-kanak riang ria air sirap, dari celik mata pagi sampai waktu tidur semula, memang terasa betapa nikmatnya apabila dapat tidur. Sudah pasti tidurnya sampai azan subuh. Mujurlah muazzin itu melaungkan azan dari surau bawah rumah saja. Boleh juga tersedar. Cuma malam itu berbeza sikit. Bukan suara muazzin yang kejutkan. Jawapannya seperti di dalam foto. :p
Jadi, sejak dua menjak ini, apabila lihat semakin ramai di antara rakan-rakan facebook Azlina Rosedi mengaplikasikan kaedah mendoakan orang lain ini, saya suka mengaminkannya. Kadang- kala ada di antara doa itu saya ambil sebagai doa wirid selepas solat, sewaktu hujan, antara azan dan qamat atau apabila teringat saja bila sedang bersantai bersama keluarga.
Bersesuaian dengan konsep, kita hanya akan menerima sesuatu selepas memberi sesuatu, maka mulakan memberi sekarang. Apabila kita mendoakan orang lain, selalunya orang itu turut mendoakan kita juga. Mana tahu doanya lebih makbul kerana taqwanya lebih banyak disisi Khaliq.
Misalnya mahu Allah permudahkan segala urusan dan hajat kita, kita doakan orang yang sedang kita berurusan itu dengan doa yang sama. Mahu bisnes kita berkembang dan berjaya, doakan rakan bisnes kita juga berjaya dalam bisnesnya. Sudah pasti selepas berdoa itu kena berusaha. Jika hanya berdoa tanpa berusaha, belum cukup syarat lagi untuk menjemput rezeki datang.
Foto ehsan dari google
Seperkara lagi, yang turut saya pelajari dari penulis buku MMR iaitu, Ustaz Fathuri Salehuddin ialah sentiasa meraikan rakan-rakan kita yang sedang gembira mahupun menggembirakan rakan kita yang sedang berduka.
Misalnya apabila dapat berita rakan kita sudah selamat melahirkan anak, segera ucapkan tahniah serta doakan sekali untuk beliau. Doa itu adalah sedekah (kebaikan), dan setiap sedekah pasti ada ganjarannya iaitu satu kebaikan dibalas 10 kali ganda.
Sekiranya sebelum ini kita biasa ucapkan:
Tahniah!
'Congratulation!'
'Wah, sudah ada baby! Bestnya!'
'Eh, bila pregnant? Tahu-tahu sudah tambah lagi seorang.'
'Alhamdulillah. Tahniah! Produktif ya!'
'Boboi ke gegel? Namanya apa?'
'Berapa kg lahir?'
'Comelnya baby. Mahu gigit-gigit saja rasanya!'
Apa kata doakan anak itu dengan doa apa sahaja asalkan doanya baik, misalnya:
"Tahniah. Saya doakan ibu dan baby sihat. Di doakan baby ini jadi penyejuk mata , penyenang hati dan pemimpin kepada hamba-hanbaNya yang bertaqwa."
"Subhanallah, sangat comel. Didoakan anak ini dipelihara Allah dari gangguan iblis dan syaitan, haiwan yang berbahaya dan dari gangguan manusia yang dengki."
Dan banyak lagi doa yang boleh didoakan ikut kesesuaian kita. Fitrah manusia sukakan kebaikan. Tidak sukar untuk melakukan sesuatu kebaikan kerana meninggalkan kebiasaan yang tidak baik itu pun sudah di kira satu kebaikan.
Selamat mencuba teknik menjemput rezeki dengan mendoakan orang lain!
Astaghfirullah. Wallahu'alam.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan