Rabu, 19 November 2014

Ada Apa Dengan Silent Reader.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbrt. dan salam sejahtera.


Saya.

Kebolehan bersembang apa saja topik itu, dari seringan-ringan topik seperti bertanya tengah buat apa, sedangkan yang bertanya itu nampak apa yang sedang saya lakukan sehinggalah ke topik berfikir aras tinggi seperti ahli fikir, tidak ada pada saya. Namun, kebolehan mendengar itu, Insya Allah saya ada, selagi yang diperdengarkan tu, telinga saya mampu dengar. 

Agaknya, itu sebabnya jodoh saya dengan Mr. Laling yang rajin bercakap dan dikurniakan anak-anak yang banyak mulut sebijik turun sifat ayah mereka. 

Keserasian lain pula, beliau tidak cerewet makan, iaitu memang padan dengan saya yang tidak mampu berlama-lama di dapur untuk bermain-main dengan pelbagai resepi yang mampu menggoda iman. Makan saja menu resepi derhaka atau apa-apa saja masakan ringkas air tangan isterinya. Hoho...

Eh, sudah lari topik!


Silent Reader.


Amaran: Awas! group ini untuk ahli yang aktif saja. Silent reader akan ditendang keluar!!!

Bajet ganas saja bunyinya. Saya terjumpa peringatan ini pada satu Secret Group di mukabuku. Apabila sudah diberitahu begitu, terbantutlah niat mahu beri salam dan ketuk pintu minta izin masuk kerana ciri-ciri silent reader itu ada pada saya. 

Apakah silent reader sangat menggangu emosi tuan rumah? Saya masih belum dapat jawapannya. Yang pastinya, setiap orang ada cara berfikir masing-masing. Maka cara memandang dan memberi pandangan pasti berbeza mengikut laluan kehidupan yang dijalani.

Cuba bayangkan, di kampung akhirat nanti, kita ditunjukkan buku amal di mana di dalamnya mengandungi catatan pahala yang tidak disangka-sangka.

Kita tertanya-tanya dari mana datangnya?

Lalu dijelaskan, "Ia merupakan sumbangan dari silent reader mukabuku kamu. Mereka diam-diam mengamalkan apa yang kamu kongsikan. Dan mereka juga diam-diam berdoa agar Allah memberi kamu keampunan dan memberkati kehidupan kamu di dunia dan di akhirat."

Foto google.

Tuan Rumah Yang Mesra.

Saya suka group yang mengalukan-alukan dan memuliakan tetamu yang mahu mentamukan diri. Jika sesuai, saya terus tinggal di situ jadi ahli keluarga. Jika sebaliknya, saya keluarlah. Biasanya tuan rumah ini, pengamal budaya bahasa yang cantik iaitu Bahasa Melayu Tinggi, BMT. Sehingga saya juga terpengaruh menggunakan gaya bahasa yang sama.

Kesannya, ada beberapa rakan yang tidak biasa berkata, "Jangan formal sangat lor... aku tak kisahlah." Di lain situasi, "Jangan panggil saya Tuan. Saya biasa-biasa saja orangnya."

Hihi...

Di dalam BMT, penggunaan panggilan Tuan, Puan, Cikpuan, Tuan Muda dan Cikpuan Muda, adalah menunjukkan betapa budaya Melayu begitu menghormati orang lain. Dan betapa individu yang dipanggil dengan panggilan demikian, melonjak naik estim diri mereka kerana perasaan dimuliakan.

Pertama kali saya dengar tentang BMT ini dari penulis yang disayangi Tuhan, Tuan Shamsudin Kadir. Kemudian bertambahlah rakan-rakan keliling pinggang beliau yang turut ber BMT, masuk dalam friend list saya juga. Oh, diri beliau saya tidak dapat tambah sebagai rakan. Follow saja sebab kuota rakan sudah penuh.

Pentingkah BMT? Penting bagi saya, sebab saya berangan-angan mahu  jadi penulis yang disayangi Tuhan sepertinya dan penulis lain yang seangkatannya. Hihi... Jadi, memang perlu berlatih menulis dalam ejaan penuh dan betul tatabahasanya. Walaupun, kadang-kadang ke bendang juga merapu-merabannya.

Foto google.


Pengalaman lalu.

Kisah 1.

Sebagai silent reader, memang tinggi risikonya dibuang dari group. Walaupun, saya pernah memberi patah-patah kata yang sangat minimum jumlahnya, ia tetap dikira silent reader dan dianggap 'berbahaya' oleh admin group. Perasan macam saya ejen perisik pula yang mencari kelemahan pihak lawan dalam merancang strategi untuk merugikan mereka.

Group ini memang saya suka ilmunya. Namun akhirnya terpaksa keluar sendiri bila kehadiran kita jadi salah faham. Oh, faham tidak salah apa-apa. Keluar sendiri lebih baik dari dibuang orang. huhu... Hati sudah terluka kerana jadi bahan kejian dan hinaan. Termasuk dengan gambar anak-anak saya yang jadi cover foto mukabuku pada masa itu sekali dapat tempias.

Jadi, sejak itu lebih hati-hati sebelum mahu berkata apa-apa. Saya cuma jadi pemerhati dan ambil yang boleh menambahkan ilmu, iman dan amal saja. Tidak ada hati mahu banyak bertanya atau banyak berkomen.

Dan sejak itu, jarang mahu upload gambar anak juga kecuali hanya beberapa keping saja dan kebanyakannya sipi-sipi sajalah. Tidak jelas kelihatan orangnya.

Foto google.


Kisah 2.

Selain membaca, saya juga suka kait benang. Orang putih sebut crochet. Macam biasa, komen-komen saya sangat minimum dalam group best itu. Lebih kurang seperti,

"Wah, cantiknya!"

"Rajinnya..."

"Penyabarnya untuk siapkannya..."

"Bagusnya."

"Menarik. mahu buat juga."

Selebihnya, senyap-senyap saja masuk dalam group setiap hari, beberapa kali sehari, tanpa tinggal jejak. Hingga berlaku hari pemutihan ahli kerana satu isu, di mana ada beberapa orang ahli asyik mengadu tentang perkara negetif, nama saya dibersihkan sekali. Hmmm...

Kebaikannya, masa yang banyak saya luangkan untuk ambil ilmu dari group, dapat digunakan untuk perkara lain pula.

Ada satu blog yang saya suka mengenai kait benang ini, iaitu tutorial buat kopiah. Sekiranya sahabat mahu cuba buat sendiri, boleh lihat di sini ya.


Umar dengan kopiah ayah.



Isu Semasa

Sekarang, bila timbul sesuatu isu baru yang menjadi viral, di mana mangsa viral itu jadi bahan penulisan kebanyakan orang, saya tahan hati dari join sekaki. Eh, join setangan.

Mungkin mangsa nampak berdosa melalui sekeping gambar. Namun, yang perlu diingat, satu gambar tidak cukup mahu menceritakan semua perkara. Pengalaman pernah jadi bahan difitnah, membuatkan diri saya agak simpati juga kepada mangsa keadaan.

Kebanyakan yang melihatnya hanya bersangka-sangka saja. Dan sangka-sangka itu bukan sangkaan yang malaikat boleh catat pahalanya. Mungkin dalam gambar itu dia berdosa, mana tahu di luar gambar dia sudah bertaubat dari dosanya.

Jika memang individu berdosa, doakan saja keampunan untuknya tanpa komen-komen menyakitkan dan tanpa tindakan menyambung viral. Jika individu itu difitnah, doakan kekuatan dan kesabaran untuknya menghadapi ujian itu.

Begitu juga dengan viral secebis kisah, nampak berdosanya watak dalam kisah itu. Kita baca dan fokus tentang perkara yang boleh diambil pengajaran tanpa mengutuk-ngutuk dosanya. Barang kali watak-watak itu sudah bertaubat dan mereka berkongsi cerita sekadar mahu pengalaman itu tidak dilalui oleh orang lain. Itu saja. Bukan tujuan buka aib.

Astaghfirullah, wallahu'alam.



Ahad, 16 November 2014

Dilema.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbrt. dan salam sejahtera.

Nabil, ketika usia 6 bulan. Kira-kira lima tahun yang lalu.


Tadika.

Insya Allah, tahun depan anak bujang sulung masuk umur tadika. Kempen pendaftaran sudah mula rancak kelihatan di mukabuku, di tepi kiri kanan dan tengah-tengah border jalan raya serta dari mulut-mulut ibu yang mempunyai anak-anak sebaya sejak bulan lepas lagi. Masing-masing mempromosi keistimewaan dan keunikan yang ditawarkan oleh premis mereka untuk anak-anak kecil.

Sebagai ibu, adakalanya tergoda juga dengan iklan-iklan itu. Ada masanya, terlintas juga bisikan yang jika didengari oleh orang lain, bikin rasa tidak puas hati saja seperti, "Hmm... bisnes, biasa lor... Hohoho..."


Tadika Pilihan.

1. Tadika di dalam rumah (maksud lain, tak perlu ke sekolah).
2. Tadika Pra-Tahfiz.
3. Tadika PASTI.
4. Tadika ABS.

Pilihan 2,3, dan 4, masing-masing ada tawarkan Bahasa Arab, belajar Al-Quran dan hafazan. Jadi memang rasa ditarik-tarik agar pergi mendaftar ke salah satu tadika tersebut.

Kesedaran tentang pentingnya belajar dan memahami bahasa Al-Quran bermula sejak saya mula paksa-paksa diri bermesra dengan Al-Quran. Yang sedihnya, mampu baca sajalah. Fahamnya tidak. Jadi, pengalaman diri yang tidak berapa menarik itu, didoakan tidak berlaku lagi kepada zuriat keturunan yang seterusnya.

Saya pernah ditanya oleh pengusaha tadika ABS yang berhampiran dengan rumah, "Puan ada apa-apa yang mahu dicadangkan untuk kita sama-sama memandaikan anak bangsa kita?"

Wah! Sungguh teruja saya mendengar soalan itu. Dari sudut bisnes, ia memang salah satu strategi mantap untuk mengurut emosi ibu bapa supaya tidak ragu-ragu mengeluarkan duit dari poket untuk bisnes tadika mereka.

Idea kita dialu-alukan, diraikan dan dipertimbangkan untuk direalisasikan di sekolah. Walaupun, sudah pasti yang bertanya itu lebih beridea, dan sudah ada modul lesson plan yang bagus-bagus dan baik-baik, tetap mahu mendengar pendapat kita juga.

Secara peribadi, saya gembira sekiranya sekolah turut dapat menawarkan aktiviti seni mempertahankan diri, memanah, berkuda, dan berenang.

Err.. konsert-konsert, tarian, karaoke, hip hop, suffle dan yang seumpama dengannya tak mau ek!

Sekiranya sahabat semua mahu tahu lebih maklumat mengenai Tadika ABS ada di sini, di Rangkaian Tadika ABS, dan di Tadika ABS Luqman.





Tadika  Di dalam Rumah.

Saya berkira-kira umur anak dengan saya. Tahun ini beliau 5 tahun. Lebih kurang baki kira-kira 6-7 tahun lagi masa untuk saya cipta kenangan manis-manis bersamanya sebelum dia melangkah keluar dari rumah.

Untuk anak-anak lelaki saya, saya akan paksa diri saya supaya benarkan mereka keluar dari rumah bila tiba waktunya untuk memanfaatkan masa muda di jalan yang Allah suka. Jalan-jalan ke seluruh dunia mencari ilmu dan beramal dengan segala ilmu yang memberi manfaat untuk diri sendiri dan umat Nabi Muhammad saw. Paksa diri untuk berpisah dengan anak demi masa depan mereka di akhirat.

Itu jika dia bersekolah. Jika tidak bersekolah, tambah lagilah beberapa tahun masa untuk bersamanya. Betapa saya sungguh tersentuh dengan cerita orang-rang tua, di mana mereka hanya ada banyak ingatan kenangan bersama anak ketika umur kecil mereka saja. Sudah habis sekolah rendah, kenangan anak itu lebih banyak dengan orang lain pula kerana mula masuk asrama dan seterusnya bekerja lalu berkahwin.

Hakikatnya begitulah. Dulu saya tinggal di asrama setahun lebih saja iaitu sehingga pertengahan tingkatan dua. Kemudian balik semula sekolah di kampung sebelum keluar semula selepas habis SPM, sambung belajar di UPM. Sejak itu, tidak banyak masa lagi bersama mak sehingga nafas terakhirnya pada tahun 2005.

Jadi, harus saya berkira-kira dengan umur anak saya dan memaksimumkan sebanyak mungkin, masa terluang dan diluangkan bersamanya.

Niat awal, tidak mahu hantar anak ke tadika pun, kerana saya mahu enam tahun pertama mereka hanya dengan saya saja. Tidak banyak yang saya tahu, tapi sekurang-kurangnya biarlah ilmu asas seperti siapa Tuhan kita, solat, doa harian, zikir, baca Al-Quran, Rukun Islam, Rukun Iman dan aktiviti bermain sambil belajar itu, mereka pelajarinya dari saya.

Apabila ditanya mengapa Nabil tidak sekolah lagi? Saya lebih senang menjawap, "Nabil tolong saya jaga adik-adiknya di rumah."

Yang benarnya, saya belum sedia berpisah dengannya walaupun hanya beberapa jam saja. Huhu... Sungguh manja ibu ini! Pentingkan diri sendiri juga! Ya, harus. Itu salah satu bekal untuk pulang ke kampung akhirat.

Dan yang lebih kuat buat saya rasa tidak mahu lepaskan Nabil kepada guru lain sebelum tiba masanya bila dia memberitahu, "Ibu, abang tak nak sekolah."


Ukur Baju Dibadan Sendiri.

Sejak anak sulung saya duduk tak berapa nak diam dalam perut lagi, saya seronok tengok ibu bapa yang sarat dengan ilmu parenting, mengajar sendiri anak di rumah. Terutamanya, ibu bapa mengutamakan silibus tentang Allah, akhlak, Al-Quran dan hadis, dan pelbagai ilmu kehidupan lain yang membolehkan anak itu cerah masa depannya di akhirat.

Kawan-kawan di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak sebaya dan mempunyai misi yang sama semakin bertambah. Sedaya upaya saya cuba aplikasi kebanyakan ilmu yang mereka kongsikan. Mudah-mudahan, Allah memberkati kehidupan mereka, diberi keampunan dan pahala yang tidak putus-putus di atas ilmu hidup yang tinggi nilai harganya.

Walau bagaimanapun, mahu ikut 100% idea mereka, tidaklah termampu. Ibarat kata, kita suka fesyen baju muslimah mereka. Mahu pinjam dan disarungkan ke badan sendiri. Apabila dipakai, labuhnya bukan main kelambu lagi sehingga menyukarkan pergerakan. Jadi menyusahkan pula di pihak diri sendiri mahupun orang yang memandangnya. Tidak pasal-pasal menjadi buah mulut orang dan mendatangkan fitnah.

Sama juga seperti homeschooling. Mahu homeschooling sepenuhnya anak di rumah, namun dengan ilmu yang ada, sudah sedar diri dan tahu tak layak untuk melakukannya. Hakikatnya, saya ibu yang banyak kekurangan. Lebih-lebih lagi dalam darah ada hormon ogre yang mudah sangat teraktif sejak ada anak tiga ni. Astaghfirullah. Jenuh jampi dan hembus suruh 'dia' keluar pergi main jauh-jauh jangan balik-balik lagi.

Anak-anak perlu di hantar ke sekolah, di samping saya juga perlu membesarkan diri supaya mampu pakai fesyen baju muslimah yang besar sangat tadi. Mana tahu, berguna untuk adik-adik Nabil pula. Huhu...


Niat Sekolahkan Anak.

Biasanya, kita akan dapat seperti apa yang kita niatkan. Misalnya,

1. Mahu anak pandai.
2. Mahu anak diajar dengan Teknik Nabi.
3. Mahu anak belajar bisnes.
4. Mahu anak belajar berkawan-kawan.
5. Sebab semua orang hantar anak sekolah.

Walau apa pun niat kita, utamakan niat, "Aku hantar anak ini ke sekolah, semata-mata keranaMu, ya Allah. Kerana perintahMu agar mencorakkan kehidupan anak ini seperti fitrah kejadiannya iaitu hidup beragama dan menjadi hambaMu yang bertaqwa. Jadikanlah anakku di kalangan orang yang berilmu lagi beramal dengan ilmunya.

Niat semata-mata kerana Allah, sudah pasti ada catatan pahala untuknya.


Astaghfirullah, wallahu'alam.





Isnin, 10 November 2014

Demam Orang Tua.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. dan salam sejahtera.



Demam.

Siapa orang tua itu? Saya lor... Tinggal beberapa tahun  saja lagi masuk umur 40 tahun. Doa khusus bila masuk umur 40 tahun pun tak tahu lagi macam mana bacanya dan maksudnya. Eh, sudah baca, tapi lupa.

Kesihatan penghuni di dalam rumah comel kami ini memang agak unik. Manakan tidak, di kala semua orang demam kerana musim hujan hujung-hujung tahun begini, tinggal saya seorang saja sihat walafiat.

Manakala, pada masa yang lain pula, di kala semua orang sihat walafiat, boleh pula tiba-tiba saya sorang-sorang ditimpa demam. Tanpa jangkitan dari siapa-siapa. Tanpa main hujan, main panas atau main apa-apa. Haa.. banyak dosalah tu! Hoho...

Bestkah demam?  Kalau zaman sekolah, memang seronoklah sangat sebab boleh cuti dari pergi sekolah. Malas sekolah ni. Masa itu, cemburu dengan mak saudara yang sebaya umurnya dengan saya, yang mudah melancong ke sana ke mari walaupun waktu persekolahan. Betapa nampak sportingnya Tok Wan bila Mak Ngah boleh tentukan cuti sekolah sendiri. Mak Ngah, jangan marah haa...

Abah pula garang. Jangan sesekali berani tak nak pergi sekolah kalau tubuh badan tak sakit apa-apa. Hujan lebat ke, basikal tayar pancit ke, kerja sekolah tak siap ke, kena pergi juga.

Kalau hujan, lepas hujan berhenti, mesti pergi walaupun jam waktu itu sudah lepas waktu sekolah rehat. Kalau basikal pancit, tumpang basikal abang duduk kat pelantar belakang. Atau saya yang kena kayuh, dia duduk belakang. Ceh! Nanti lepas habis sekolah, baru pergi hantar repair  dengan Pak Cat pomen kedai basikal.

Tapi iya lah, abah masih muda. Tak sama darah orang muda dengan darah emas Tok Wan. Tapi mak kata, Tok Wan memang dari dulu lagi tak garang. Alamak, salah teori. Barangkali sebab abah askar. Jadi anak askar kena berdisiplin macam askar jangan ponteng-ponteng sekolah.

Yang best lagi kalau demam masa budak hingusan ni, boleh bermalas-malasan tanpa perlu tolong mak buat kerja rumah. Padahal bukan sakit sangat pun sampai tidak larat buat apa-apa. Cuma panas badan saja. Tapi biasalah... haha.. ambil kesempatan minta mak masak sedap-sedap.

Cuma bila sudah menuju umur dewasa ini, kalau boleh mahu elak sangat-sangat dari demam. Demam orang dewasa jelas  tidak sama perasaannya dengan demam masa budak. Ia datang sekali dengan pakej mual, sakit perut, cirit, kepala berdenyut dan lemah badan. Macam mabuk mengandung pula dia punya deritanya. Punyalah tak daya sampai bergerak sikit pun sakit. Mujurlah demam itu hadir pada hari terakhir boifren bekerja untuk minggu itu. Maka, tugas rutin di rumah itu boleh ler berpindah sekejap kepada beliau. :p


Bapa Mithali.

Sebenarnya, kasihan juga kerana beliau menghabiskan cuti weekendnya tanpa saya. Hanya beliau dan anak-anak saja.  Saya pergi berhibernasi dan berisolasi  satu malam satu hari di dalam bilik dengan si bongsu yang masih menyusu. Itupun kerap jugalah si bongsu itu keluar menduga ayahnya.

Macam-macam bunyi keluar apabila seharian beliau uruskan tiga orang anak soleh solehah yang boleh tahan 'baik'nya. Bermula dari mereka bangun, kemudian ajak mandi, buat sarapan, bermain bersama, anak kejap-kejap minta nak makan, tukar pampers si bongsu, lerai anak bergaduh, berebut mainan, masak tengah hari, layan anak makan dan macam-macam lagi sehingga masuk waktu tidur semula.

Sesekali, dengar jugaklah high volume beliau untuk mengawal keadaan. Habis rosak reputasi cool dan selamba yang dipertahankan. Hoho... Orang dah warning, kalau sorang-sorang mengadap tiga kanak-kanak riang coklat ini 24 jam, silap-silap boleh tukar jadi hijau. Tapi okey, laling tidak ber gen raksasa sangat, so tidak berapa menjadi sangatlah hijaunya.


Ayam Goreng Perisa Laut.

Boifren masak nasi dan goreng ayam untuk makan tengah hari. Baki kuah sup ayam semalam yang saya masak dan masih elok, panaskan saja. Mereka makan dulu dan saya dah lewat petang baru rasa nak makan.

Okeylah. 'Sedap'. Boleh makan lagi. Cuma perlu buang lapisan luar saja. Lagipun, masak sambil perang dengan anak, memang boleh lari resepi.

Saya kagum dengan usaha laling yang cuba juga untuk masak, tidak beli bungkus saja di luar walaupun ianya lebih mudah. Huhu... Tebukti kepakaran yang dimilikinya  tidak ada kena-mengena dengan kerja di dapur.

Kakak pula pandai komplen masin. Shhh... cepat-cepat saya tutup mulutnya supaya ayah mithalinya tidak perasan. Tapi perasan juga rupanya. Barangkali, masa makan tengah hari tanpa saya sebelumnya pun sudah komplen. Hihi... Sudahnya, malam itu, boifren keluar juga beli bihun tomyam untuk tekak gefrennya yang gatal-gatal mahu makan masam-masam.



Sungguh, saya lebih selesa dalam keadaan sihat walaupun penat.

Terima kasih laling, rehatkan saya dari rutin.

Terima kasih anak-anak ibu, memahami dan tidak ganggu ibu berehat.


Astaghfirullah, wallahu'alam.