Assalamualaikum wbrt. dan salam sejahtera.
Nabil, ketika usia 6 bulan. Kira-kira lima tahun yang lalu.
Tadika.
Insya Allah, tahun depan anak bujang sulung masuk umur tadika. Kempen pendaftaran sudah mula rancak kelihatan di mukabuku, di tepi kiri kanan dan tengah-tengah border jalan raya serta dari mulut-mulut ibu yang mempunyai anak-anak sebaya sejak bulan lepas lagi. Masing-masing mempromosi keistimewaan dan keunikan yang ditawarkan oleh premis mereka untuk anak-anak kecil.
Sebagai ibu, adakalanya tergoda juga dengan iklan-iklan itu. Ada masanya, terlintas juga bisikan yang jika didengari oleh orang lain, bikin rasa tidak puas hati saja seperti, "Hmm... bisnes, biasa lor... Hohoho..."
Tadika Pilihan.
1. Tadika di dalam rumah (maksud lain, tak perlu ke sekolah).
2. Tadika Pra-Tahfiz.
3. Tadika PASTI.
4. Tadika ABS.
Pilihan 2,3, dan 4, masing-masing ada tawarkan Bahasa Arab, belajar Al-Quran dan hafazan. Jadi memang rasa ditarik-tarik agar pergi mendaftar ke salah satu tadika tersebut.
Kesedaran tentang pentingnya belajar dan memahami bahasa Al-Quran bermula sejak saya mula paksa-paksa diri bermesra dengan Al-Quran. Yang sedihnya, mampu baca sajalah. Fahamnya tidak. Jadi, pengalaman diri yang tidak berapa menarik itu, didoakan tidak berlaku lagi kepada zuriat keturunan yang seterusnya.
Saya pernah ditanya oleh pengusaha tadika ABS yang berhampiran dengan rumah, "Puan ada apa-apa yang mahu dicadangkan untuk kita sama-sama memandaikan anak bangsa kita?"
Wah! Sungguh teruja saya mendengar soalan itu. Dari sudut bisnes, ia memang salah satu strategi mantap untuk mengurut emosi ibu bapa supaya tidak ragu-ragu mengeluarkan duit dari poket untuk bisnes tadika mereka.
Idea kita dialu-alukan, diraikan dan dipertimbangkan untuk direalisasikan di sekolah. Walaupun, sudah pasti yang bertanya itu lebih beridea, dan sudah ada modul lesson plan yang bagus-bagus dan baik-baik, tetap mahu mendengar pendapat kita juga.
Secara peribadi, saya gembira sekiranya sekolah turut dapat menawarkan aktiviti seni mempertahankan diri, memanah, berkuda, dan berenang.
Err.. konsert-konsert, tarian, karaoke, hip hop, suffle dan yang seumpama dengannya tak mau ek!
Sekiranya sahabat semua mahu tahu lebih maklumat mengenai Tadika ABS ada di sini, di Rangkaian Tadika ABS, dan di Tadika ABS Luqman.
Tadika Di dalam Rumah.
Saya berkira-kira umur anak dengan saya. Tahun ini beliau 5 tahun. Lebih kurang baki kira-kira 6-7 tahun lagi masa untuk saya cipta kenangan manis-manis bersamanya sebelum dia melangkah keluar dari rumah.
Untuk anak-anak lelaki saya, saya akan paksa diri saya supaya benarkan mereka keluar dari rumah bila tiba waktunya untuk memanfaatkan masa muda di jalan yang Allah suka. Jalan-jalan ke seluruh dunia mencari ilmu dan beramal dengan segala ilmu yang memberi manfaat untuk diri sendiri dan umat Nabi Muhammad saw. Paksa diri untuk berpisah dengan anak demi masa depan mereka di akhirat.
Itu jika dia bersekolah. Jika tidak bersekolah, tambah lagilah beberapa tahun masa untuk bersamanya. Betapa saya sungguh tersentuh dengan cerita orang-rang tua, di mana mereka hanya ada banyak ingatan kenangan bersama anak ketika umur kecil mereka saja. Sudah habis sekolah rendah, kenangan anak itu lebih banyak dengan orang lain pula kerana mula masuk asrama dan seterusnya bekerja lalu berkahwin.
Hakikatnya begitulah. Dulu saya tinggal di asrama setahun lebih saja iaitu sehingga pertengahan tingkatan dua. Kemudian balik semula sekolah di kampung sebelum keluar semula selepas habis SPM, sambung belajar di UPM. Sejak itu, tidak banyak masa lagi bersama mak sehingga nafas terakhirnya pada tahun 2005.
Jadi, harus saya berkira-kira dengan umur anak saya dan memaksimumkan sebanyak mungkin, masa terluang dan diluangkan bersamanya.
Niat awal, tidak mahu hantar anak ke tadika pun, kerana saya mahu enam tahun pertama mereka hanya dengan saya saja. Tidak banyak yang saya tahu, tapi sekurang-kurangnya biarlah ilmu asas seperti siapa Tuhan kita, solat, doa harian, zikir, baca Al-Quran, Rukun Islam, Rukun Iman dan aktiviti bermain sambil belajar itu, mereka pelajarinya dari saya.
Apabila ditanya mengapa Nabil tidak sekolah lagi? Saya lebih senang menjawap, "Nabil tolong saya jaga adik-adiknya di rumah."
Yang benarnya, saya belum sedia berpisah dengannya walaupun hanya beberapa jam saja. Huhu... Sungguh manja ibu ini! Pentingkan diri sendiri juga! Ya, harus. Itu salah satu bekal untuk pulang ke kampung akhirat.
Dan yang lebih kuat buat saya rasa tidak mahu lepaskan Nabil kepada guru lain sebelum tiba masanya bila dia memberitahu, "Ibu, abang tak nak sekolah."
Ukur Baju Dibadan Sendiri.
Sejak anak sulung saya duduk tak berapa nak diam dalam perut lagi, saya seronok tengok ibu bapa yang sarat dengan ilmu parenting, mengajar sendiri anak di rumah. Terutamanya, ibu bapa mengutamakan silibus tentang Allah, akhlak, Al-Quran dan hadis, dan pelbagai ilmu kehidupan lain yang membolehkan anak itu cerah masa depannya di akhirat.
Kawan-kawan di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak sebaya dan mempunyai misi yang sama semakin bertambah. Sedaya upaya saya cuba aplikasi kebanyakan ilmu yang mereka kongsikan. Mudah-mudahan, Allah memberkati kehidupan mereka, diberi keampunan dan pahala yang tidak putus-putus di atas ilmu hidup yang tinggi nilai harganya.
Walau bagaimanapun, mahu ikut 100% idea mereka, tidaklah termampu. Ibarat kata, kita suka fesyen baju muslimah mereka. Mahu pinjam dan disarungkan ke badan sendiri. Apabila dipakai, labuhnya bukan main kelambu lagi sehingga menyukarkan pergerakan. Jadi menyusahkan pula di pihak diri sendiri mahupun orang yang memandangnya. Tidak pasal-pasal menjadi buah mulut orang dan mendatangkan fitnah.
Sama juga seperti homeschooling. Mahu homeschooling sepenuhnya anak di rumah, namun dengan ilmu yang ada, sudah sedar diri dan tahu tak layak untuk melakukannya. Hakikatnya, saya ibu yang banyak kekurangan. Lebih-lebih lagi dalam darah ada hormon ogre yang mudah sangat teraktif sejak ada anak tiga ni. Astaghfirullah. Jenuh jampi dan hembus suruh 'dia' keluar pergi main jauh-jauh jangan balik-balik lagi.
Anak-anak perlu di hantar ke sekolah, di samping saya juga perlu membesarkan diri supaya mampu pakai fesyen baju muslimah yang besar sangat tadi. Mana tahu, berguna untuk adik-adik Nabil pula. Huhu...
Niat Sekolahkan Anak.
Biasanya, kita akan dapat seperti apa yang kita niatkan. Misalnya,
1. Mahu anak pandai.
2. Mahu anak diajar dengan Teknik Nabi.
3. Mahu anak belajar bisnes.
4. Mahu anak belajar berkawan-kawan.
5. Sebab semua orang hantar anak sekolah.
Walau apa pun niat kita, utamakan niat, "Aku hantar anak ini ke sekolah, semata-mata keranaMu, ya Allah. Kerana perintahMu agar mencorakkan kehidupan anak ini seperti fitrah kejadiannya iaitu hidup beragama dan menjadi hambaMu yang bertaqwa. Jadikanlah anakku di kalangan orang yang berilmu lagi beramal dengan ilmunya.
Niat semata-mata kerana Allah, sudah pasti ada catatan pahala untuknya.
Astaghfirullah, wallahu'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan