Rabu, 25 Disember 2013

Kelebihan Mendoakan Orang Lain.

Bismillah.

Mendoakan orang lain adalah salah satu lagi teknik menjemput rezeki yang sangat mudah di lakukan pada bila-bila masa saja kepada sesiapa sahaja yang kita suka. Boleh dilakukan terang-terang, mahupun diam-diam sahaja tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Yang penting jaga niat kita, iaitu bila di lakukan terang-terang, niat mahu dapat redha Allah dan dapat dicontohi oleh orang lain.

Ada riwayat yang meriwayatkan:


Apabila seorng Muslim itu mendoakan kepada saudaranya tanpa pengetahuannya, maka malaikat akan mengatakan,  'Semoga Allah mengabulkan permohonan itu. Dan engkau pun akan mendapatkannya.'

Berdasarkan dari pengalaman sendiri, diakui kelebihan mendoakan orang lain ini memang akan terkena tempias juga pada diri sendiri. Bestkan? Besar manfaatnya apabila diamalkan selalu. Syaratnya, doakan rakan-rakan kita dengan seikhlas mungkin. Jika doa saja sekadar ayat penyedap rasa, tidak pasti lah pula berkesan atau tidak.

Pengalaman yang menarik ini saya lalui ketika berbual online bersama mentor bisnes. Ada beberapa masalah yang saya mohon tunjuk ajar dari beliau. Ketika itu, malam sudah agak lewat. Tetapi beliau masih mahu melayan mentee yang baru hendak tanam buah cempedak di luar pagar ini menyelesaikan masalah.

Oleh kerana rasa serba salah menggangu masa rehat beliau yang sudah tersedia maklum sentiasa sibuk dengan urusan pelbagai bisnesnya, lantas saya doakan beliau dapat bangun awal bercinta dengan Si Raja segala raja. Mengapa doa itu yang terlintas? Entahlah...

Orangnya bertudung labuh, air mukanya sangat tenang dan begitu rapi menyusun ayat memberi tunjuk ajar. Agaknya, sebab saya rasa mentor ini pasti selalu bangun malam dan rasa bersalah mengambil masanya yang sepatutnya sudah tidur supaya boleh bangun awal, maka doa itu yang terlontar.

Adakah saya juga dapat bangun malam? heheh...

Melayan tiga orang kanak-kanak riang ria air sirap, dari celik mata pagi sampai waktu tidur semula, memang terasa betapa nikmatnya apabila dapat tidur. Sudah pasti tidurnya sampai azan subuh. Mujurlah muazzin itu melaungkan azan dari surau bawah rumah saja. Boleh juga tersedar. Cuma malam itu berbeza sikit. Bukan suara muazzin yang kejutkan. Jawapannya seperti di dalam foto. :p





Jadi, sejak dua menjak ini, apabila lihat semakin ramai di antara rakan-rakan facebook Azlina Rosedi mengaplikasikan kaedah mendoakan orang lain ini, saya suka mengaminkannya. Kadang- kala ada di antara doa itu saya ambil sebagai doa wirid selepas solat, sewaktu hujan, antara azan dan qamat atau apabila teringat saja bila sedang bersantai bersama keluarga.

Bersesuaian dengan konsep, kita hanya akan menerima sesuatu selepas memberi sesuatu, maka mulakan memberi sekarang. Apabila kita mendoakan orang lain, selalunya orang itu turut mendoakan kita juga. Mana tahu doanya lebih makbul kerana taqwanya lebih banyak disisi Khaliq.

Misalnya mahu Allah permudahkan segala urusan dan hajat kita, kita doakan orang yang sedang kita berurusan itu dengan doa yang sama. Mahu bisnes kita berkembang dan berjaya, doakan rakan bisnes kita juga berjaya dalam bisnesnya. Sudah pasti selepas berdoa itu kena berusaha. Jika hanya berdoa tanpa berusaha, belum cukup syarat lagi untuk menjemput rezeki datang.

Foto ehsan dari google


Seperkara lagi, yang turut saya pelajari dari penulis buku MMR iaitu, Ustaz Fathuri Salehuddin ialah sentiasa meraikan rakan-rakan kita yang sedang gembira mahupun menggembirakan rakan kita yang sedang berduka.

Misalnya apabila dapat berita rakan kita sudah selamat melahirkan anak, segera ucapkan tahniah serta doakan sekali untuk beliau. Doa itu adalah sedekah (kebaikan), dan setiap sedekah pasti ada ganjarannya iaitu satu kebaikan dibalas 10 kali ganda.

Sekiranya sebelum ini kita biasa ucapkan:


Tahniah!

'Congratulation!'

'Wah, sudah ada baby! Bestnya!'

'Eh, bila pregnant? Tahu-tahu sudah tambah lagi seorang.'                                                  

'Alhamdulillah. Tahniah! Produktif ya!'

'Boboi ke gegel? Namanya apa?'

'Berapa kg lahir?'

'Comelnya baby. Mahu gigit-gigit saja rasanya!'



Apa kata doakan anak itu dengan doa apa sahaja asalkan doanya baik, misalnya:


"Tahniah. Saya doakan ibu dan baby sihat. Di doakan baby ini jadi penyejuk mata , penyenang hati dan pemimpin kepada hamba-hanbaNya yang bertaqwa."

"Subhanallah, sangat comel. Didoakan anak ini dipelihara Allah dari gangguan iblis dan syaitan, haiwan yang berbahaya dan dari gangguan manusia yang dengki."

Dan banyak lagi doa yang boleh didoakan ikut kesesuaian kita. Fitrah manusia sukakan kebaikan. Tidak sukar untuk melakukan sesuatu kebaikan kerana meninggalkan kebiasaan yang tidak baik itu pun sudah di kira satu kebaikan.

Selamat mencuba teknik menjemput rezeki dengan mendoakan orang lain!



Astaghfirullah. Wallahu'alam.




Rabu, 18 Disember 2013

Teknik Menjemput Rezeki

Bismillah.

Perkongsian kali ini ialah Teknik Menjemput Rezeki seperti yang terdapat di dalam buku Mudahnya Menjemput Rezeki (MMR). Pilih saja teknik mana yang kita suka dan laksanakan secara konsisten. Sekiranya dapat melakukan semuanya sekaligus adalah lebih baik

Konsepnya sama saja iaitu berbuat baik dengan Pemberi Rezeki.

Tekniknya ialah, Menjemput Rezeki dengan:

1. Mengutamakan Solat

2. Solat Tahajud.

3. Solat Dhuha.

4. Zikir.

5. Doa.

6. Mendoakan Orang Lain.

7. Sedekah.

8. Membaca Al Quran.

9. Asma-ul Husna.

10. Bersyukur.

11. Tekun Berusaha.


Bagi orang bisnes, sekiranya sales yang ditunggu-tunggu tidak berkunjung tiba, semak semula teknik menjemput rezeki di atas.

Misalnya, perbaiki kualiti solat iaitu solat di awal waktu bagi wanita dan solat berjemaah bagi lelaki. Sesungguhnya, orang beriman yang berjaya adalah orang yang khusyuk dalam solatnya.

InsyaAllah, setiap teknik akan diulas dengan lebih lanjut pada entri seterusnya.



Harga buku MMR edisi penuh: RM 18.00 sahaja (tidak termasuk penghantaran).

Harga buku mini: RM 1.80 sahaja (tidak termasuk kos penghantaran).

Buku-buku ini boleh dihadiahkan kepada sesiapa sahaja yang dikasihi sempena meraikan sesuatu ataupun sekadar suka-suka sahaja.

Selalunya jika kawan atau saudara kahwin, hadiahnya berkaitan dengan orang kahwin. Boleh saja digantikan dengan buku dengan niat buku itu dapat memberi manfaat.

Manakala buku mini pula sesuai untuk door gift untuk apa-apa majlis Majlis Perkahwinan, Majlis Khatam Al Quran, Tahlil, Sambutan Hari Lahir atau wakaf. InsyaAllah, pemberian buku ini sangat bermakna kepada penerimanya kerana ia akan mengubah persepsi tentang rezeki.

Sudah pasti setiap pemberian yang bermanfaat, kita juga akan dapat ganjarannya selagi hadiah itu diguna pakai.

Astaghfirullah. Dia lebih tahu segala-galanya.








Ilmu Adalah Rezeki

Bismillah.

Sebelum ini, apabila sebut mengenai rezeki, saya bayangkan duit dan makanan sahaja. Kiranya minda saya pada waktu itu minda duit dan makan sahaja. heheh..

Rupanya maksud rezeki lebih dari itu. Maksud rezeki ialah apa sahaja yang memberi manfaat kepada kita seperti kesihatan yang baik, dapat melakukan ibadah-ibadah sunat, pasangan yang baik, anak-anak yang soleh solehah, jiran tetangga yang baik, sahabat-sahabat yang baik, ilmu yang bermanfaat dan banyak lagi.

Dapat ilmu baru setiap hari juga adalah rezeki. Niat di dalam hati, mencari ilmu untuk dapat redha Allah, di samping memperolehi manfaat untuk diri sendiri dan orang lain. Antara doa yang baik untuk diamalkan ialah,


'Wahai Tuhanku, tambahkan ilmuku.' 

'Wahai Tuhanku, kurniakan kepadaku kefahaman para nabi, hafalan para rasul dan ilham para malaikat yang hampir denganMu.'


Bertemu Mentor Kesayangan

Mencari ilmu mesti berguru. Pesan salah seorang guru saya, sekiranya mahu belajar bisnes, pilih guru yang takutkan Tuhannya. Apakah maksudnya? Maksudnya, guru yang takut Tuhan pasti akan mengajar bisnes dan cara pemasaran yang patuh syariah sahaja. Mengenangi bisnes patuh syariah boleh baca di sini.

Alhamdulillah baru-baru ini, dapat bertemu dengan Puan Guru Lili Norsharira yang dirahmati Allah dan disayangi nabi. Beliau sederhana dan simple sahaja orangnya. Pengalaman beliau dari mula berbisnes sehingga mencapai kejayaan pada hari ini memberi inspirasi kepada saya.


Antara bisnes yang dimiliki oleh beliau ialah bisnes kedai buku, kedai makanan dan yang terbaru bisnes tadika. Sudah pasti bisnes buku beliau itu adalah faktor utama saya mula mendekati dan berguru dengan beliau. heheh...

Buku pertama yang saya jual  dan sudah mula menikmati pendapatannya ialah buku ini:

Buku Mudahnya Menjemput Rezeki berposing bersama buku mininya.

Sesuai dengan konsep bisnes ABS iaitu bermula dengan apa yang ada di tangan, yang tepatnya apa yang ada di tangan suami saya mula jualnya secara dropship.  Modalnya cuma komputer, elektrik, internet, akaun facebook dan kredit handphone untuk berurusan dengan pelanggan dan pembekal.

Kini sudah mula ambil stok sikit-sikit dari pembekal. Tidak banyak, dalam 30 naskah sahaja setiap kali re-stok. InsyaAllah buku-buku lain akan menyusul selepas ini.

Ilmu menjemput rezeki juga adalah rezeki. Mahukah sahabat semua memiliki buku istimewa ini?


Sabtu, 14 Disember 2013

Meminta Pada Yang Ada, Merayu PadaMu Yang Sudi.

Bismillah.

Tajuk seperti macam lirik lagu saja kan? heheh... betul lah tu. Seperti relevan pula untuk dijadikan tajuk entri pada kali ini.

Cuma minta bukan sebarang minta. Kita minta daripada yang ada dan yang sudi sahaja. Siapa ya?

'Hanya kepadaMu tuhan yang kami sembah, dan hanya kepadaMu kami mohon pertolongan.' - Al Fatihah.' ayat 4.

'Allah, Tuhan tempat meminta / bergantung segala sesuatu.' - Surah Al Ikhlas: ayat 2.

Dua ayat ini sudah jelas menyatakan, kepada siapa kita harus meminta dan merayu. Sudah pasti sesuai dengan sifat kejadian kita sebagai hamba, hanya boleh meminta dan merayu kepada Tuan yang mencipta kita.

Meminta dan merayu dengan berdoa bersungguh-sungguh dengan bahasa yang kita fahami dan nyatakan dengan jelas apa yang kita mahukan. ( Di dalam entri yang lepas, saya doa mahu makan durian yang sedap, sepuas-puasnya dan makan secara percuma).

Contoh lain pula, misalnya doa mohon dapat pasangan suami yang soleh, nyatakan dengan jelas, mahu suami soleh yang bagaimana? Penyabar, penyayang, selalu membantu kerja dirumah seperti Rasulullah, tidak meninggalkan solat berjemaah, murah hati serta bapa yang mithali kepada anak-anak yang soleh dan solehah.

Apabila lidah kita sudah digerakkan untuk berdoa, maksudnya Allah sudah bersedia untuk memberikannya, (buku MMR, halaman: 82).

Doa ini pula dibahagikan kepada tiga situasi. Pertama terus dimakbulkan, kedua digantikan dengan perkara lain yang lebih baik, dan ketiga ditangguhkan dan diberikan pada Hari Pembalasan kelak.

Ada orang berdoa terus dapat. Ada orang berdoa bertahun-tahun lamanya baru dapat. Jangan risau, Allah lebih tahu bila masanya yang lebih tepat untuk memakbulkan doa kita.

Yang pasti, setiap kali kita berdoa, sudah diberi ganjaran pahala kerana berdoa itu adalah perintahNya. Apa sahaja perintahNya yang kita laksanakan, pasti malaikat sebelah kanan akan catatkan. Hak kita adalah untuk mohon doa, untuk memperkenankannya adalah hakNya.


Perhatikan pula maksud hadis di bawah:

'Seseorang yang pergi mengangkut kayu api lalu diletakkan di atas belakangnya adalah lebih baik daripada seseorang yang meminta-minta sedekah, sama ada dia diberi sedekah atau tidak.' - direkodkan oleh Bukhari.

Jadi sudah jelas, Allah tidak suka kita meminta-minta kepada sesama makhluk. Minta padaNya saja. Misalnya mahu ada pendapatan lebih, mohon doa dulu agar dipermudahkan rezeki kita, kemudian berusahalah dengan tekun.

Pasti akan dikirimkan rezeki itu melalui posmen-posmen yang sudah dilantik seperti majikan kita dengan kenaikan gaji atau bonus, atau melalui pelanggan-pelangan yang membeli produk jualan kita dan seumpamanya.

Meminta sesama makhluk, sekali dua mungkin mudah sahaja dapat. Minta berkali-kali, ohh... kita sudah tahu jawapannya kan.

Berbeza meminta dengan Tuhan, lagi banyak kita minta, lagi disukaiNya. Cuma syaratnya, jadi hambaNya yang baik. Jaga solat, jaga iman, jaga aurat, jaga silaturrahim, baca Al Quran, fahamkan dan amalkan suruhan yang diperintahkan dalam Al Quran dalam menjalani kehidupan setiap hari.

Semoga bermanfaat.

Astaghfirullah, Wallahu'alam.



Khamis, 12 Disember 2013

Kisah Si Penjual Buku (2)

Bismillah.

Durian Oh Durian.

Suka durian? Saya dan keluarga suka. Lebih-lebih lagi kalau dapat durian free, lagi suka.

Jadi kali ini mahu cerita tentang durian free pula.

Pada awal bulan September yang lepas, dalam perjalanan balik kampung Dungun, Terengganu, kelihatan banyak durian dijual di tepi jalan. Bos sudah berkira-kira mahu berhenti untuk borong durian yang melambai-lambai kami sejak tadi.

Di dalam hati, beli buku dalam wish list ibu yang panjang itu lagi best lah laling. Tapi tidak pula diluahkan perasaan itu sebab saya sendiri juga mahu makan durian. Kan best kalau dapat makan tanpa perlu bayar. hohoo...

'Tak payah belilah. Kita minta saja.'

'Eh? Macam mana?'

'Bismillah. Ya Allah yang Maha Mendengar, yang sangat baik, pemilik segala buah-buah durian yang sangat sedap isinya, kami mahu makan durian sepuas-puasnya. Kami mahu makan secara percuma! Mohon diperkenankan hajat kami wahai Tuhan yang Maha Pemurah. Aamiin.' doa saya dengan suara yang boleh didengari oleh beliau.

' Aamiiin. Jadi tidak perlu beli ya?'

' Tidak perlu. Tunggu saja rezeki yang tidak disangka-sangka akan dihantarkan nanti.'

Sebenarnya, ini teknik menjemput rezeki dengan berdoa. Salah satu doa yang dimakbulkan ialah doa orang yang sedang bermusafir dengan tujuan yang baik. Kepulangan kami ke kampung pada hari itu ialah untuk ziarah ayah yang sakit. Waktu menziarah orang sakit juga di antara waktu yang baik untuk berdoa.

Maka saya ulang-ulang doa ini dalam hati supaya tercapai hajat bos (hajat saya juga) untuk makan durian free. Nampak macam mudah kan?

Alhamdulillah selepas ziarah ayah di hospital, malam itu kami dapat makan durian free! Abang ipar belanja 2 karung sempena meraikan kepulangan orang KL eh orang Selangor. Tak ingat berapa biji ada dalam guni itu. Mungkin hampir 20 biji kot. Yang pasti, tak habis makan lor.

Alhamdulillah. Allah Maha Mendengar. Mudahnya Menjemput Rezeki. Buat saja apa yang Allah suka. Pasti dapat rezeki yang tidak disangka-sangka.

Dalam cerita ini, teknik menjemput rezeki yang digunakan ialah, berdoa, sabar, buat baik / gembirakan orang tua dan ziarah orang sakit.

Astaghfirullah. Wallahu'alam.


* Maksud minta di sini akan diulas pada entri yang seterusnya.









Kisah Si Penjual Buku (1)

Bismillah.

Ganjaran daripada sedekah sebuah buku dan duit RM 100.

Kisah ini berlaku pada bulan Ramadhan yang lepas. Sudah 5 bulan berlalu. Ia aplikasi pertama yang saya errr... si penjual buku itu lakukan selepas mendapat tip dari buku MMR. Sedekah di bulan yang penuh berkat, sudah pasti ganjaran berlipat ganda!

Teknik yang digunakan ialah teknik yang paling glemer dan cepat iaitu 1-1 = 10.

Apakah?

Maksudnya, jaminan daripada Pemberi Rezeki bahawa setiap satu sedekah kita akan di balas 10x ganda. Sedekah tidak akan mengurangkan harta. Hakikat sebenar sedekah ialah memperbanyakkan harta kita. Malah boleh jadi sehingga 700x ganda. Ajaib kan? Tiada yang mustahil apabila janji dan jaminan itu datang dariNya. Sesungguhnya Dia tidak memungkiri janji.


Rezeki setiap kita adalah unik. Kita hanya akan dapat apa yang kita perlukan. Bukan apa yang kita mahu. Sudah pasti Tuhan tahu apa yang kita perlukan.

Sebagai contoh kita mahu kereta Perodua Kancil, tetapi dapat Toyota Wish. Hohoo... Best kan? Sebab anak kita ramai, bila balik kampung anak-anak saudara yang jarang dapat jumpa suka mahu naik kereta dengan kita. Ibubapa kita pula asal balik kampung saja pasti mahu dipenuhkan bonet kereta kita dengan buah tangan dari kampung untuk dibawa pulang semula ke rumah kita. Maklumlah anaknya duduk beratus-ratus km jauh. Pasti banyak bekal yang mahu dibekalkan. Pisang, ubi kayu, serai, daun kunyit, kelapa...

Berbalik kepada sedekah buku dan duit di atas, apakah ganjaran yang  Si Penjual buku yang agak berkira-kira pada awalnya untuk bersedekah itu dapat? hehehh..

Sebenarnya, buku itu buku terpakai dan sayang sangat nak berikan kepada orang lain. Tetapi kerana ilmu yang penting dalam buku itu mahu disampaikan kepada penerimanya, maka gagallah usaha si syaitan yang membisikkan perasaan sayang dan rugi tadi.

Sebagai balasanya, Si Penjual buku yang agak kedekut itu dapat buku free lebih daripada 50 naskah yang bernilai hampir RM1k ! Rezeki yang tidak disangka-sangka. MasyaAllah, Allah Maha Pemurah.

Kemudian, dapat berita gembira suaminya pula dapat tawaran kenaikkan pangkat dan gaji. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kau dustakan?

Pengajaran yang paling utama ialah perlu yakin. Lakukan sahaja kebaikan tanpa ragu-ragu. Sudah pasti setiap yang kita lakukan akan di balas. Buat baik dibalas baik dan begitu juga sebaliknya.

Astaghfirullah. Wallahu'alam.





Rabu, 11 Disember 2013

Buku Fenomena 2013


Buku Mudahnya Menjemput Rezeki
mengubah persepsi mengenai rezeki.

Diterbitkan dalam dua versi  iaitu:
1. Buku MMR versi penuh beharga RM 18.00
2. Buku MMR versi mni berharga RM 1.80

Selasa, 10 Disember 2013

Salam Perkenalan

Bismillah.

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam.

Salam dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw dan ahli keluarga baginda.

Assalamualaikum wbrt. dan salam sejahtera kepada semua tetamu yang datang bertamu ke blog bisnes MMR Outlet 95, iaitu sebuah syarikat berdaftar yang menjalankan bisnes jualan buku Mudahnya Menjemput Rezeki (MMR) sebagai produk utama.

MMR Outlet 95 juga, InsyaAllah akan membekalkan buku-buku lain yang berkaitan dengan Kanak-kanak, Remaja, Parenting, Motivasi, Islamik, Bisnes dan Kewangan.

Di samping itu juga, akan membekalkan produk pendidikan seperti pakej set Jom Ngaji Upin dan Ipin dan Permainan Pendidikan Kanak-kanak.

Pernahkah sahabat mendengar tentang buku Mudahnya Menjemput Rezeki ini? Ia merupakan buku bestseller pada tahun ini. Sejak di lancarkan pada Mei 2012, ia telah dicetak sebanyak 12 kali dan jualannya sudah melebihi 100 000 naskah dalam tempoh satu tahun setengah.

Keistimewaan utama buku ini ialah, ia memberi hasil yang positif kepada para pembacanya apabila mereka mula beramal dengan amalan menjemput rezeki. Ya, rezeki datang tanpa disangka-sangka apabila tahu tekniknya! Amalannya pula mudah-mudah saja untuk diikuti.

Dengan Izin Allah, saya akan berkongsi pengalaman menjemput rezeki dengan sahabat semua di dalam entri yang akan datang.

Sekian, salam perkenalan dan persahabatan.