Sabtu, 14 Disember 2013

Meminta Pada Yang Ada, Merayu PadaMu Yang Sudi.

Bismillah.

Tajuk seperti macam lirik lagu saja kan? heheh... betul lah tu. Seperti relevan pula untuk dijadikan tajuk entri pada kali ini.

Cuma minta bukan sebarang minta. Kita minta daripada yang ada dan yang sudi sahaja. Siapa ya?

'Hanya kepadaMu tuhan yang kami sembah, dan hanya kepadaMu kami mohon pertolongan.' - Al Fatihah.' ayat 4.

'Allah, Tuhan tempat meminta / bergantung segala sesuatu.' - Surah Al Ikhlas: ayat 2.

Dua ayat ini sudah jelas menyatakan, kepada siapa kita harus meminta dan merayu. Sudah pasti sesuai dengan sifat kejadian kita sebagai hamba, hanya boleh meminta dan merayu kepada Tuan yang mencipta kita.

Meminta dan merayu dengan berdoa bersungguh-sungguh dengan bahasa yang kita fahami dan nyatakan dengan jelas apa yang kita mahukan. ( Di dalam entri yang lepas, saya doa mahu makan durian yang sedap, sepuas-puasnya dan makan secara percuma).

Contoh lain pula, misalnya doa mohon dapat pasangan suami yang soleh, nyatakan dengan jelas, mahu suami soleh yang bagaimana? Penyabar, penyayang, selalu membantu kerja dirumah seperti Rasulullah, tidak meninggalkan solat berjemaah, murah hati serta bapa yang mithali kepada anak-anak yang soleh dan solehah.

Apabila lidah kita sudah digerakkan untuk berdoa, maksudnya Allah sudah bersedia untuk memberikannya, (buku MMR, halaman: 82).

Doa ini pula dibahagikan kepada tiga situasi. Pertama terus dimakbulkan, kedua digantikan dengan perkara lain yang lebih baik, dan ketiga ditangguhkan dan diberikan pada Hari Pembalasan kelak.

Ada orang berdoa terus dapat. Ada orang berdoa bertahun-tahun lamanya baru dapat. Jangan risau, Allah lebih tahu bila masanya yang lebih tepat untuk memakbulkan doa kita.

Yang pasti, setiap kali kita berdoa, sudah diberi ganjaran pahala kerana berdoa itu adalah perintahNya. Apa sahaja perintahNya yang kita laksanakan, pasti malaikat sebelah kanan akan catatkan. Hak kita adalah untuk mohon doa, untuk memperkenankannya adalah hakNya.


Perhatikan pula maksud hadis di bawah:

'Seseorang yang pergi mengangkut kayu api lalu diletakkan di atas belakangnya adalah lebih baik daripada seseorang yang meminta-minta sedekah, sama ada dia diberi sedekah atau tidak.' - direkodkan oleh Bukhari.

Jadi sudah jelas, Allah tidak suka kita meminta-minta kepada sesama makhluk. Minta padaNya saja. Misalnya mahu ada pendapatan lebih, mohon doa dulu agar dipermudahkan rezeki kita, kemudian berusahalah dengan tekun.

Pasti akan dikirimkan rezeki itu melalui posmen-posmen yang sudah dilantik seperti majikan kita dengan kenaikan gaji atau bonus, atau melalui pelanggan-pelangan yang membeli produk jualan kita dan seumpamanya.

Meminta sesama makhluk, sekali dua mungkin mudah sahaja dapat. Minta berkali-kali, ohh... kita sudah tahu jawapannya kan.

Berbeza meminta dengan Tuhan, lagi banyak kita minta, lagi disukaiNya. Cuma syaratnya, jadi hambaNya yang baik. Jaga solat, jaga iman, jaga aurat, jaga silaturrahim, baca Al Quran, fahamkan dan amalkan suruhan yang diperintahkan dalam Al Quran dalam menjalani kehidupan setiap hari.

Semoga bermanfaat.

Astaghfirullah, Wallahu'alam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan