Isnin, 28 April 2014

Bekal Untuk Pulang.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt.


Padanya Ada Ujian.

Setiap saat kita akan diuji. Di uji dengan suka dan duka. Di uji dengan sihat dan sakit. Di uji melalui manusia lain mahupun ahli keluarga sendiri. Malah ada kalanya di uji dengan kata-kata yang pernah diperkatakan oleh diri sendiri. Dan hasil ujian itu hanya ada dua saja iaitu semakin mendekatkan kita padaNya atau sebaliknya.

Salah satu ujian adalah kehadiran anak-anak yang menjadi penyeri rumahtangga. Sebelum ada, kita mohon diadakan. Apabila sudah diberi, peranan kita untuk mensyukurinya agar nikmat kebahagiaan itu semakin bertambah. Sudah janjiNya bersyukur akan ditambah nikmat. Dikufuri, akan ditarik semula nikmat.

Jadi peringatan untuk diri, bersabar dengan alahan dan kesakitan semasa mengandung dan melahirkan, bersabar apabila anak menangis, bersabar bila anak mula tunjuk pelbagai kerenah, dan bersabar dalam mendidiknya mengikut acuan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.


Gambar google.



Doa Dikurniakan Anak Yang Soleh, Surah al-Furqan, ayat 74.


Mensyukuri anugerah yang diterima dan diamanahkan dengan sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka. Berdoa mohon anak yang soleh, dan berusaha seperti yang telah didoakan. Ingin anak jadi pemimpin kepada orang-orang yang mahu bertaqwa, maka didiklah anak seperti itu.

Mahu anak jadi pencinta al-Quran, maka perlihatkan pada anak yang kita juga adalah pencinta al-Quran dengan sentiasa membacanya, kerap memperdengarkan bacaan al-Quran dari qari pilihan di rumah/kereta, dan bercerita kisah-kisah dari al-Quran kepada mereka.

Nabil: Surah al-'Alaq

Mahu anak jadi seperti apa yang kita mahu, maka mulakan dengan diri sendiri. Didik diri seperti anak yang kita inginkan. Kita hanya akan menerima apabila kita mula memberi. Beri yang baik, kita dapat yang baik dan begitu juga sebaliknya. Lakukan peranan kita memberi didikan yang baik untuk anak-anak agar di kemudian hari hak kita sebagai ibu bapa untuk ditaati, dihormati, disayangi dan sentiasa didoakan akan dipenuhi.

Gambar google.



Bekal Untuk Pulang.

Kita semua akan pulang ke kampung asal kita iaitu syurga. Kampung nenek-moyang kita iaitu nabi Adam dan isteri baginda, Hawa. Bekalnya adalah pahala. Banyak pahala berada di hadapan kita yang boleh diambil.

Apa saja yang mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran ada ganjaran pahala padanya. Insyaa Allah dengan belajar perkara fardhu Ain, kita akan jadi baik. Dengan belajar perkara fardhu kifayah kita akan jadi pandai.

Apabila mahu lakukan sesuatu, bermula dengan Bismillah, niat melakukan sesuatu untuk dapat redha Allah, ikhlas dan jauhi riyak dalam amalan. Syaitan tewas dengan orang yang ikhlas. Manakala sifat riyak membakar pahala amalan umpama daun kering yang terbakar hangus oleh api. Na'uzubillah.



Gambar google: Umur pasti berakhir, pastikan pahala terus mengalir.


Contoh niat:

1. Ketika menulis niat: Aku menulis keranaMu ya Allah. Untuk dapat redhaMu. Untuk mendekatkan diri dan orang lain kepadaMu.

2. Ketika masak: Setiap kali aku masak keranaMu ya Allah. Masak makanan yang berkhasiat untuk ahli keluargaku agar mereka beroleh tenaga dan sihat untuk melakukan ibadah terhadapMu. Suamiku boleh pergi kerja mencari rezeki yang Kau perintahkan. Anak-anakku dapat belajar dengan baik apabila perutnya sudah terisi dengan makanan yang baik, halal dan berkat.

3. Ketika membasuh baju: Aku bersihkan baju-baju ahli keluarga keranaMu ya Allah agar mereka dapat memakai pakaian yang bersih untuk beribadat kepadaMu.

4. Ketika mengemas rumah: Aku mengemas rumah keranaMu ya Allah. Agar keluargaku selesa dan suka berada di dalam rumah yang bersih dan kemas serta tenang untuk beribadah kepadaMu.

5. Ketika mengajar anak: Aku didik anak-anakku keranaMu ya Allah. Supaya mereka kenal akan Tuhan mereka dan berusaha untuk mendekatiMu dengan mentaati perintahMu, melaksanakan amalan-amalan yang Kau sukai dan meninggalkan laranganMu.

Dan seumpamanya lagi.


Menghargai Kematian.

Apabila sayang akan sesuatu, pasti kita akan menghargainya. Sayang anak, kita akan hargai, jaga, pelihara dan penuhkan keperluan didikan rohani dan jasmani. Sayang barang, kita akan jaga dan simpan baik-baik selepas menggunakannya. Sayang kehidupan selepas mati, maka hargai masa selagi masih hidup dengan membuat persediaan dan bekal yang diperlukan di sana nanti.

Kematian adalah permulaan sebuah kehidupan yang tidak akan mati-mati. Apabila kehilangan orang yang disayangi, pujuklah hati dengan mengatakan, mereka hanya pergi dulu dan kita juga akan pergi seperti mereka. Kita masih ada peluang dengan baki nyawa yang ada untuk sediakan bekal bagi kegunaan diri sendiri dan sedekahkan berapa banyak bekal yang kita mampu untuk bahagiakan kesayangan kita di sana.

Terkesan dan tersentuh melihat kematian yang baik di depan mata itu merupakan hidayah. Manakala mula perbaiki solat lima waktu, perbaiki hubungan dengan Allah dan perbaiki hubungan dengan manusia itu merupakan taufik. 

Dengan memohon doa agar dikurniakan hidayah dan taufik iaitu petunjuk dan kekuatan untuk melaksanakan perubahan, Insyaa Allah ia merupakan salah satu usaha untuk bersedia dengan kematian. Hidayah kerap datang sebagai peringatan untuk yang masih hidup. Usah biarkan hidayah itu berlalu pergi tanpa tindakan susulan.

Mula perbaiki solat dengan memahami apa yang kita baca, dan memahami setiap tindakan dalam solat. Solat di awal waktu. Solat berjemaah. Pelihara penglihatan, pendengaran, perkataan, hati dan perbuatan dari perkara mungkar untuk menambah khusyuk dalam solat. Pelihara makanan yang masuk ke dalam tubuh badan kerana dengan makanan yang halal, baik dan tiada syubhah mampu meringankan tubuh untuk beribadat.

Solat sudah, tapi masih melakukan perkara yang tidak sepatutnya, maka teruskan lagi solat. Perbaiki lagi solat tersebut.  Usah tinggalkan solat hanya kerana merasakan diri tidak layak untuk solat sebab asyik melakukan kemungkaran. Sebaliknya solat itu sendiri lama-lama akan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang tidak baik.

Allah suka orang yang beristighfar. Allah suka orang yang bertaubat.


"Ya Allah, janganlah ambil nyawa kami, kecuali Kau telah mengampunkan kami."

"Ya Allah yang Maha Pengampun lagi suka memberi ampun, ampunkan segala dosa-dosa kami."

"Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami, kedua ibu bapa kami dan semua orang mukmin pada hari berlakunya hisab."


Astaghfirullah, Wallahu a'lam.





















Rabu, 23 April 2014

Sesi Bercerita: Surah Al-Alaq.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt.


Insyaa Allah sambung cerita kisah pembelajaran dari Surah Al-Alaq.


Al-Alaq bermaksud darah yang beku. Perihal yang disentuh ialah:

1. Bermulanya penurunan wahyu kepada nabi Muhammad saw.

2. manusia mudah engkar dan derhaka kepada Allah akibat pengaruh wang dan kuasa.

3. Kisah Abu jahal, orang yang menghalang Rasulullah saw solat.



Asbabun Nuzul (sebab-sebab turun ayat).

Sebelum wahyu pertama turun  (Al-Alaq, 1-5), Nabi Muhammad saw selalu mimpi satu cahaya yang datang seperti fajar subuh. Selepas itu baginda suka menyendiri di Gua Hira' di Jabal Nur untuk beribadat selama beberapa malam. Hanya selepas bekal makan minum baginda habis barulah baginda kembali semula ke rumah menemani isterinya Siti Khadijah. Kemudian baginda akan pergi semula ke Gua Hira' untuk beribadat.

Sehingga satu malam, baginda dikejutkan dengan kehadiran malaikat Jibril yang menyuruhnya menyebut, "Bacalah!'

Maka jawap Rasulullah saw, "Saya tidak tahu membaca."

Kemudian malaikat Jibril memeluk Rasulullah saw dengan eratnya. Selepas melepaskannya, malaikat Jibril berkata lagi untuk kali ke-dua, "Bacalah!"

Maka jawaplah Rasulullah saw, "Saya tidak tahu membaca."

Untuk kali kedua malaikat Jibril memeluk erat Rasulullah saw lalu mengulangi lagi untuk kali ke-3 perintah, "Bacalah!"

Maka Rasulullah saw kembali menjawap, "Saya tidak tahu membaca."

Untuk kali ke-3, malaikat Jibril memeluk Rasulullah saw dan berkata,

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. 
Dia mencipta manusia dari sebuku darah beku. 
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah. 
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. 
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."


Selepas peristiwa itu Rasulullah saw berasa cemas dan badannya menggigil. Baginda pulang ke rumah Siti Khadijah dan berkata, "Selimutkan aku. Selimutkan aku." Baginda berasa cemas jika peristiwa itu membawa keburukan pada dirinya.

Namun Siti Khadijah menenangkan perasaaan baginda dengan berkata, "Janganlah Engkau cemas wahai suamiku. Sesungguhnya engkau adalah orang yang akan menyambung tali silaturahim, rajin bersedekah dan membantu orang yang lemah. Engkau juga suka memuliakan tetamu dan selalu membela kebenaran. Insyaa Allah tidak mungkin Allah swt akan memberi keburukan atas dirimu."

Kemudian Siti Khadijah membawa Rasulullah saw bertemu dengan Waraqah bin Naufal, seorang ahli kitab yang banyak mengetahui tentang kitab-kitab suci terdahulu.

Ketika mendengar cerita itu, Waraqah berseru, "Itulah malaikat Jibril yang dahulu pernah mendatangi Musa, sesunggunya wahai Muhammad saw engkaulah nabi yang ditunggu-tunggu."

Demikianlah kisahnya tentang turunnya wahyu pertama daripada Al Quran. Dengan turunnya surah ini, maka rasmilah Rasulullah saw dilantik menjadi nabi dan rasul akhir zaman.


Kuasai Iqra'.

Perintah Allah bermula dengan Iqra iaitu membaca. Baca merupakan kunci untuk dapatkan ilmu. Bagi mendapatlan ilmu pastinya perlu membaca. Hanya dengan ilmu kita dapat mengenali Allah dan belajar bagaimana mahu mengabdikan diri kepadaNya. Kata Imam Al Syafie:

'Sekiranya kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu.
Sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu.
Sekiranya kamu ingin kedua-duanya, hendaklah dengan ilmu.'

Baca sesuatu yang diredhai dan disukai Allah serta elakkan membaca sesuatu yang dimurkaiNya. Niat membaca kerana Allah, agar dapat memberi kebaikan kepada alam dan seluruh penghuninya.



Perpustakaan Mini Di Rumah.

Imam al-Syahid Hassan al-Banna pernah menerangkan cara paling efektif dalam mendidik remaja dengan pendidikan Islam ialah dengan mewujudkan perpustakaan di rumah walaupun sederhana. Muatkan dengan koleksi buku-buku seperti berkaitan:

1. Akhlak.

2. Hikmah.


 3. Motivasi.

4. Sejarah Islam.

5. Biografi salafussoleh.

6. Kisah hidup ulama terdahulu.

7. Kisah-kisah penaklukan negara dan sebagainya.

Jadikan buku-buku ini sebagai makanan akal dan bagi memperkayakan minda anak-anak.



Belajar nama malaikat serta peranannya.

Untuk memperkenalkan tentang malaikat seperti yang diceritakan di atas, saya pasang lagu dari you tube ini saja dulu. Kemudian diikuti dengan lagu Rukun Iman. Insyaa Allah anak-anak suka dah mudah ingat. Untuk belajar dan mengingat nama-nama 25 orang rasul juga boleh cuba melalui nasyid.





Malaikat Allah.



Rukun Iman.



Astaghfirullah. Wallahu'alam.

Isnin, 21 April 2014

Nabil dan Surah Hafazan.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt.


Progres Hafazan Nabil.

Hari ini hari ke-6 Nabil cuba menghafal surah Al 'Alaq. Dua hari pertama beliau berjaya hafal 5 ayat. Hari ke-tiga off dan hanya ulang 5 ayat pertama sehingga lancar. Hari ke-empat dan ke-lima beliau berjaya dapat 5 ayat lagi. Hari ini baru selesai hafal satu lagi ayat baru  iaitu ayat yang ke-11 daripada 19 ayat keseluruhannya.

Kaedah yang digunakan ialah pilih waktu anak dalam mood tenang, happy dan bersedia. Pagi tadi selepas mandi Nabil mahu tengok cars Ligthning McQueen dari you tube. Jadi sebagai syarat, baca dahulu sebahagian surah Al 'Alaq yang sudah di hafalnya. Perbetulkan bunyi dan tajwid yang salah. Kemudian disambung dengan satu ayat baru. Sudah selesai beri pujian dan kiss. ♥

Biasanya, saya akan ingatkan Nabil tentang timbangan amalannya semakin berat apabila banyak membaca Al Quran ketika dia mula merungut-rungut panjang sangat mahu baca. Konsep timbang amalan berat dan ringan ini dia sudah pelajari dari surah Al Qoriah yang lalu.

Surah al-Qoriah

Di masa yang lain, dia pula ingatkan saya agar cepat-cepat ajarkannya ayat-ayat baru agar cepat selesai satu surah. Hasilnya dia dapat minta cepat-cepat di bawa ke kedai untuk beli mainan idamannya. heheh....

Bila dalam keadaan anak sendiri yang mahu lakukan, boleh minta anak terus hafal 2-3 ayat baru sekali gus sekiranya ia merupakan ayat yang pendek-pendek.


Pilihan Surah.

Pilihan surah yang dihafal oleh Nabil tidak ikut susunan. Maksudnya tidaklah dari Al Fatihah hingga surah sekarang iaitu Al 'Alaq semua surah yang berada di antara keduanya beliau sudah hafal. Saya berikan Nabil Muqaddam Bergambar dahulu. Kemudian Nabil akan membaca gambarnya. Baca gambar ya. Bukan baca tulisan. Beliau belum lancar membaca lagi di saat entry ini ditulis. Kemudianlah barulah saya bantu dia untuk pilih surah mana yang dia suka.

Saya mahu dorong Nabil suka membaca. Mudah-mudahan beliau dapat kefahaman kenapa perintah Allah yang pertama adalah Iqra', bukan puasa, bukan solat, bukan sedekah dan lain-lain.

InsyaAllah setelah selesai Al 'Alaq, saya akan susun semula bacaannya ikut tertib agar lebih mudah untuk ulangkaji di masa akan datang.


Gambar google: Muqaddam Bergambar.




Manakala buku rujukan untuk mendorong anak cinta Al Quran ialah.:

1. Anakku Seorang Hafiz.

2. Melahirkan Anak Pencinta Al Quran.

3. Sehingga Al Quran Terpahat di Hati.

Buku-buku ini dari penulis yang sama di iaitu Tuan Mohd. Solleh Ab. Razak. Boleh rujuk di blog beliau di sini.


4. Al-Quran Pertamaku Juz Amma.


Di dalamnya mengandungi, kisah-kisah di sebalik penurunan ayat/surah (Juzuk Amma), info surah dan kehebatan surah. Insyaa Allah, anak-anak mudah faham cara penyampaiannya dan mampu untuk bercerita semula. Sebagai contoh, Allah turunkan surah an-Nas dan surah al-Falaq sebagai ayat pelindung untuk Rasulullah saw yang terkena sihir orang yahudi.



Sahabat yang berminat mahu membeli Muqaddam Berqgambar, sebagai bahan bantu bagi mengajar sendiri anak-anak mengaji di rumah boleh pm saya, Azlina Rosedi, atau sms 012-740 8579.  Harga serendah RM15 sahaja (tidak termasuk pos).   ^__^


Astaghfirullah. Wallahu'alam.







Ahad, 20 April 2014

Cerpen : Hadiah Untuk Abah.

Bismillah.


Sedari tadi matanya tidak mampu lelap. Terkebil-kebil dalam gelap mengimbas kenangan zaman kanak-kanak yang semakin kelam dalam ingatan. Tidak banyak yang Solehah mampu ingat namun yang segar dalam ingatannya hingga kini, gelaran dia anak emas abah oleh abang-abangnya yang lain. Masakan tidak, dia satu-satunya anak perempuan abah daripada enam adik-beradik. Bongsu pula.

Rindu pada abah melengahkan masa tidurnya. Rindu yang menyebabkan kolam matanya mula bertakung air.  Apa abah sedang buat sekarang agaknya?

'Aku mahu bahagiakan abah,' monolog Solehah sendiri.

'Cakap saja. Buatnya tidak,' balas hati kecilnya.

'Aku tak mampu. Aku tidak punya banyak wang untuk dihulurkan.'

'Fikir pasal wang saja. Bukan wang yang abah mahu. Abah ada pencen.'

'Aku tidak miliki kejayaan dan kerjaya untuk banggakan abah.'

'Sempit. Hanya itu yang kau nampak untuk bahagiakan dia.'

'Kau tahu, abah mahu pergi menunaikan haji. Pasti perlukan banyak wang.'

'Wang lagi. Jangan bertuhankan wang.'

'Habis apa?'

'Usah fikir mahu berikan apa yang kau tiada. Beri apa yang kau ada saja.'

'Apa yang aku ada?'

'Diri kau.'

'Habis kau mahu aku kerap balik kunjung abah setiap bulan? Perak-KL bukannya dekat seperti Puchong-Putrajaya.

'Jarak cuma alasan. Hari-hari kau boleh jumpa abah sekiranya mahu.'

'Gila!'

'Orang gila macam kau saja fikir gila. Sedekahkah saja telefon mahal kau itu pada orang susah jika tidak mahu manfaatkannya untuk abah.'

......

'Kau boleh berdoa. Tinggalkan tempat tidurmu pada sepertiga malam dengan izin suami. Doakan keampunan dan kebaikan untuk abah. Doakan impian dan hajat abah mahu jadi tetamu istimewa Allah dipermudahkan semudah-mudahnya. Doa diam-diam dalam tangis dari anak yang solehah dapat meraih perhatianNya.'

.....

'Kau tahu baca Al Quran. Banyakkan bacaan, hafal dan amalkan perintah di dalam Al Quran. Kelak di akhirat Al Quran itu dapat memberi shafaat kepadanya.'

.....

'Tingkatkan ketaatan pada suamimu. Jadi isteri solehah.'

'Jadi isteri solehah?'

'Kau ingat kisah wanita solehah zaman nabi yang tidak dapat izin suami untuk keluar meninggalkan rumah bagi menziarahi ayahnya yang nazak tunggu dijemput oleh kematian?'

'Ya, aku ingat. Ayahnya dapat keampunan dari yang Maha Pengampun kerana didikannya mampu menjadikan wanita itu sangat taat dengan perintah suami.'

'Jadi, hadiahkan abah kebahagian di dunia dan akhirat  dengan menjadikan dirimu isteri solehah. Jadikan ia sebagai hadiah yang terbaik untuk abah.'

.....

'Kau bertuah kerana kau anak perempuannya. Rasulullah saw khabarkan, anak perempuan mampu tarik kedua ibu bapanya ke dalam syurga.'

'Aku tak mampu.'

'Bukan soal mampu. Tapi soal mahu atau tidak mahu saja!'

'Aku akan cuba buat.'

'Cakap saja mahu buat!'

'Kau kenapa? Asyik merendah-rendahkan aku!'

'Buktikan sekarang. Sekurang-kurangnya baca Al fatihah untuk abah sekarang.'

Allah, Allah, Allah... Bantu aku. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatanMu yang Maha Mulia lagi Maha Agong saja ya Allah. Solehah menangis lagi sambil membaca surah Al Fatihah untuk abah perlahan-lahan. Pesan arwah mak agar sentiasa bahagiakan abah mahu dilakukannya sebaik mungkin.




TAMAT.



Sabtu, 19 April 2014

Tip Mendorong Anak Kecil Menghafal Surah.


Bismillah.

Assalamualaikum wbrt.

Perkongsian ini untuk semua sahabat yang mahu mendorong anak-anak kecil seronok dan bersemangat mahu menghafal surah-surah pendek dari Juzz Amma. Sekiranya tidak ada anak lagi pun boleh mencubanya pada anak saudara, anak kawan, anak jiran mahupun sepupu-sepapat kita yang masih kecil.

Anak kecil mudah mengingat dan suka meniru perbuatan yang menarik perhatian mereka. Sebab itu kita lihat ramai kanak-kanak berjaya meniru aksi ultrabboy, superboy, spiderboy, batboy,  boboi boy, Naruto, Hantu Mak Limah dan seangkatan dengannya berserta dengan hafalan skripnya sekali.

Jesteru itu, kita boleh gunakan kelebihan dan bakat semulajadi yang ada pada diri setiap kanak-kanak ini untuk jadi Hafizboy. Yakinlah bahawa ayat-ayat Al Quran mudah dilafazkan oleh semua jenis lidah tidak kira kecil atau besar atau bangsa apa. Ia juga mudah dihafal walaupun anak belum pandai membaca Al Quran sendiri.


Panduan memulakan hafalan kali pertama:

1. Pilih surah pendek bacaan qari pilihan yang kita suka dari you tube. Contoh, bacaan surah Al 'Adiat oleh Sheikh Mishary Rashid Alfasy.

2. Perdengarkan beberapa kali pada anak kecil ketika mereka sedang bermain atau beraktiviti sendiri.

3. Kemudian, kita (guru yang mengajar), ulang baca satu ayat saja ketika berada berhampiran anak. Satu ayat saja. Ayat pertama dari surah Al 'Adiat. Bukan satu surah.

4. InsyaAllah anak akan mengikut tanpa disuruh-suruh.

5. Sekiranya tidak, minta anak ikut apa yang kita baca.

6. Sekiranya anak dapat menghafal, terus beri pujian atas usahanya walaupun tidak berapa betul lagi sebutannya. Yang penting mereka cuba. Namun kita sendiri mesti baca dengan betul.

Contoh pujian, "MasyaAllah, mudahnya abang dapat ingat! Sayang Allah pada abang sebab abang berusaha hafal ayat-ayat cinta/sayang dari Allah."

7. Beri ganjaran atau hadiah. Misalnya berikannya coklat (pilih yang ada tanda halal), Buatkannya secawan air atau  masakkan makanan kegemarannya untuk mendorong anak menghafal ayat seterusnya.

8. Biasanya sesi menghafal ini kurang dari 5 minit. Selepas itu izinkan dia sambung bermain semula. Elak dari mendesak anak menyambung hafalan ayat kedua.

9. Selang waktu yang lain, teruskan ayat kedua. Kita ulang baca ayat kedua itu sambil buat kerja kita sendiri. Masa tengah lipat kain ke, sambil kemas rumah ke, sambil sapu sampah ke... Yang penting, anak boleh dengar suara kita. Kemudian minta anak tiru bacaan kita.

10. Apabila anak berjaya hafal ayat kedua, minta dia ulang2 semula kedua-dua ayat tersebut sehingga lancar. Beri pujian pada anak, beri ganjaran dan ulang proses yang sama setiap kali memulakan ayat yang baru.

11. Setelah habis kesemua ayat dalam satu surah, hadiahkan anak seperti belikan permainan yang anak suka atau bawa keluar bersiar-siar. Hafalan surah Al Adiat ini abang Nabil hafal dalam masa beberapa hari.


Surah al-Adiat.

12. Untuk surah baru yang berikutnya, Nabil sudah mula seronok melakukannya di mana beliau sendiri akan minta diajarkan. Sebab utamanya kerana beliau mahu mainan baru! Jadi proses menghafal menjadi cepat dalam masa yang singkat saja.


Tip tambahan:

1. Tidak marah dan mendesak jika anak enggan menghafal.

2. Jadikan proses menghafal suatu yang menyeronokkan. Bukan dengan air mata.

3. Tidak mengganggu masa mainnya kecuali dia sendiri mahu berhenti main seketika dan bersedia untuk hafal ayat baru atau mengulang hafalan lama.

4. Tidak dipaksa menghafal pada waktu anak penat, mengantuk atau tidak bersedia.

5. Segera beri pujian sebaik saja dengar anak ulang ayat hafazannya ketika bermain.

6. Menepati janji apabila sudah berjanji mahu membeli hadiah untuknya setiap kali selesai hafal satu surah.

7. Sentiasa maafkan anak dan doakan anak suka dan mudah menghafal.

8. Minta anak ulang surah yang sudah di hafal semasa dalam kereta, sebelum tidur, atau pada waktu lapang yang lain.

9. Lebih baik sekiranya kita dapat menceritakan kepada anak kisah di sebalik penurunan sesuatu surah.


Misalnya 5 ayat pertama dari surah Al Adiat diriwayatkan tentang Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan kuda. Setelah sebulan lamanya, pasukan itu tiada khabar berita.maka turunlah ayat 1-5 ini sebagai pemberitahuan tentang pasukan tersebut sedang bertempur melawan musuh.
(Rujukan:  Al Quran Pertamaku Juzuk Amma).


11. Mengamalkan doa berikut:


"Ya Allah SWT, kurniakanlah kepada ku anak yang menghafaz kitabMu. 

Jadikanlah anakku dalam kalangan orang berilmu lagi beramal dengan ilmunya.

 Jadikanlah anakku pembawa berkat kepadaku dan umat Nabi Muhammad SAW. 

Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini. Aamiin."

(Rujukan: Buku Anakku Seorang Hafiz. )


12. Mempunyai azam yang kuat dan usaha yang berterusan sehingga anak berjaya jadi Hafizboy.

13. Bermain adalah lumrah anak-anak. Benarkan mereka bermain kerana apabila dipaksa untuk belajar saja, anak akan tertekan, murung dan kecewa.

14. Sebaliknya apabila emosi mereka gembira, anak lebih mudah mengikut arahan dan terima ilmu baru.

15. Banyak beristighfar dan bersabar dengan kerenah anak. Ilmu tidak berkat serta susah hendak disampaikan dan diterima apabila gurunya marah-marah dan tidak redha.




Astaghfirullah, wallahu'alam.





Hikmah Dari Anak.

Bismillah.

Nabil, anak bujang sulung kami InsyaAllah berusia 5 tahun pada 5/5/2014.

Sudah beberapa kali Tuan Muda ini bertanya bilakah umurnya akan masuk 5 tahun? Bila ditanya kenapa dengan umur 5 tahun?

Senyum-senyum beliau menjawap, "Abang mahu pergi sekolah."

Saya tidak pasti dari mana beliau dapat maklumat, umur 5 tahun adalah usia pergi sekolah.

"Abang mahu pergi sekolah?"

"Haah, sekolah ramai kawan. Abang mahu main dengan kawan kat sekolah."

"Di rumah pun abang ramai kawan. Abang boleh jumpa ramai kawan setiap hari di Taman Permainan di bawah."

"Tapi kena tunggu kawan balik sekolah dulu, baru taman ada orang."

"Oh.. ye ke. Sekolah tu tempat yang macam mana?"

"Sekolah best. Ada banyak mainan."

Yang dimaksudkannya ialah Tadika ABS Al Furqan di Shah Alam. Bukan pergi belajar, tapi ikut saya meeting group ABS Chapter Shah Alam. Memang ada mainan dan beliau sempat bermain dengannya bersama beberapa orang rakan sebaya.

"Ohhh... Pandainya. Lagi?"

"Tempat cari ilmu," jawapnya. Yang ni mak dia suka dengar sebab jawapan paling hampir dengan skema. heheh...

InsyaAllah, tahun depan abang akan mula masuk alam persekolahan. Sekarang abang main saja dulu. Main, main, dan main sambil belajar mengaji sikit-sikit dengan ibu.


Watak utama: Abang Nabil.



5 Tahun Berlalu.

Kami panggil Nabil dengan gelaran abang sejak usia setahun lagi sebagai doa agar dikurniakan adik-adik soleh solehah yang ramai. Alhamdulillah, doa yang turut didoakan oleh saudara-mara dan rakan-rakan yang mengenali abang, telah dimakbulkan dengan hadirnya dua orang adik (buat masa ini) untuk menjadi teman dan memeriahkan zaman kanak-kanak abang.

Dalam tempoh 5 tahun pertama ini, banyak perkara yang kami dapat pelajari melalui anak. Perubahan demi perubahan berlaku dalam diri seperti bertambah ilmu. iman, amal, kematangan, cara berfikir, bertindak, cara urus kewangan, pilihan keutamaan dan gaya hidup.

Di antara hikmah mempunyai anak adalah, dapat mendidik diri untuk menjadi lebih baik di sisi Khaliq. 

Misalnya bermula dari dalam kandungan lagi, baru  hendak jaga pemakanan. Mula memilih-milih makanan supaya baik untuk kesihatan diri  sendiri dan baik juga untuk kesihatan baby. Beransur-ansur tinggalkan masakan pedas, asam, jeruk, dan jajan yang jadi kegemaran utama sebelum itu.

Kebiasaannya, orang yang makan pedas (macam saya), akan mati selera makannya bila tidak ada yang pedas-pedas dalam menu. Tapi demi kandungan, tidak mengapa, sanggup mati selera asalkan baby sihat. huhu... Banyak lagi makanan lain yang sedap dan berkhasiat walaupun tidak pedas. Dalam kes ini suami banyak membantu kerana beliau tidak gemar masakan pedas. Jadi tidaklah bergaduh-gaduh di lantai makan (belum ada meja makan masa itu) semata-mata tidak ada sambal belacan dan budu!

Mula rajin baca buku ilmiah cari maklumat berkaitan baby, pendidikan anak dan tip jadi ibu mithali, berbanding baca buku Harry Potter, manga, komik, paper metro, dan majalah kisah artis. Haish.

Mula jaga tingkah laku supaya tidak lepas laku. Mahu anak jadi baik, jadi maknya perlu jadi orang baik. Tidak banyak merungut, mengeluh, mengumpat dan bermalas-malasan. Jaga solat di awal waktu dan jaga aurat.

Mula banyak berdoa dan hafal doa-doa baru untuk diri dan anak. Doa dengan rasa takut dan penuh mengharap.

Mula perlahan-lahan kurangkan masa bersama TV.

Mula buka semula Al Quran yang sudah lama tidak mesra dengan diri untuk dibacakan dan diperdengarkan pada baby agar baby jadi baik, soleh, hensem/cantik dan genius. Astaghfirullah. Perbetulkan niat. Baca Al Quran untuk ambil panduan dan pengajaran darinya di samping niat anak yang bakal lahir nanti jadi pencinta Al Quran. Pencinta yang suka baca, faham, amal dan berakhlak seperti dalam Al Quran.

Apabila anak sudah lahir pula, belajar jadi penyabar, penyayang, pengorbanan dan tanggungjawap dalam membesarkannya. Pada diri anak itu ada rezeki, pahala, bahagia, resah, air mata dan ujian. Sesekali timbul rasa bimbang, sesal dan kesal mengenangkan salah diri pada anak.

Sudah 5 tahun, tapi tidak banyak hak abang sebagai anak yang dapat saya penuhi. Takut dan bimbang, kerana kelak akan ditanya tentang anak-anak yang dipimpin oleh diri sepanjang suami keluar meninggalkan rumah untuk mencari rezeki. Anak mengingatkan saya tentang nasib diri di Padang Mahsyar.

Anak adalah cermin diri. Melihat tingkah laku anak-anak yang kadangkala mengundang rasa tidak selesa di mata dan di hati, memberi kesedaran bahawa ada sikap sendiri yang perlu diperbaiki.

Yang paling dirasai setelah melalui semua pengalaman mengandung, melahirkan, menyusu, membesarkan dan mendidik ialah, rindu sangat pada mak. Bertambah rasa sayang dan penghargaan pada mak yang memang tidak terbalas jasa dan pengorbanannya. Namun, turut juga rasa berdosa kerana tidak banyak kebaikan yang mampu dilakukan untuk membahagiakan mak.


Gambar google

Juga rindu abah yang tabah mengharungi liku-liku hidup tanpa mak di usia emasya. Rindu mahu pulang ke kampung peluk abah. Melihat suami yang sentiasa berusaha memperbaiki ekonomi keluarga dan mementingkan pendidikan anak-anak, yang sangat risau apabila anak-anak sakit, apatah lagi bila isterinya yang sakit, dapat membayangkan abah juga begitu dahulu. Yang sentiasa berusaha dan berkorban untuk kebahagiaan keluarga.

Melihat anakanda Fatimah, yang lebih manja dengan suami, serta-merta rindukan abah. Abah yang garang dan penyayang. Abah yang cuba sedaya upaya memenuhi pelbagai permintaan tanpa sedar kesusahan yang abah tempuhi.  ^^


                                                             Gambar google


'Ya Allah. Ampunkan segala dosa-dosa kami, kedua ibu bapa kami dan kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami sewaktu kami kecil. Aamiiin.'

'Ya Allah, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah.'


Sebaik-baik hadiah bagi membahagiakan ibu bapa ialah dengan menjadikan diri soleh solehah.

Sebaik-baik hadiah untuk anak adalah dengan mendidik mereka sehingga menjadi soleh dan solehah.


Astaghfirullah. Wallahu'alam.