Ahad, 20 April 2014

Cerpen : Hadiah Untuk Abah.

Bismillah.


Sedari tadi matanya tidak mampu lelap. Terkebil-kebil dalam gelap mengimbas kenangan zaman kanak-kanak yang semakin kelam dalam ingatan. Tidak banyak yang Solehah mampu ingat namun yang segar dalam ingatannya hingga kini, gelaran dia anak emas abah oleh abang-abangnya yang lain. Masakan tidak, dia satu-satunya anak perempuan abah daripada enam adik-beradik. Bongsu pula.

Rindu pada abah melengahkan masa tidurnya. Rindu yang menyebabkan kolam matanya mula bertakung air.  Apa abah sedang buat sekarang agaknya?

'Aku mahu bahagiakan abah,' monolog Solehah sendiri.

'Cakap saja. Buatnya tidak,' balas hati kecilnya.

'Aku tak mampu. Aku tidak punya banyak wang untuk dihulurkan.'

'Fikir pasal wang saja. Bukan wang yang abah mahu. Abah ada pencen.'

'Aku tidak miliki kejayaan dan kerjaya untuk banggakan abah.'

'Sempit. Hanya itu yang kau nampak untuk bahagiakan dia.'

'Kau tahu, abah mahu pergi menunaikan haji. Pasti perlukan banyak wang.'

'Wang lagi. Jangan bertuhankan wang.'

'Habis apa?'

'Usah fikir mahu berikan apa yang kau tiada. Beri apa yang kau ada saja.'

'Apa yang aku ada?'

'Diri kau.'

'Habis kau mahu aku kerap balik kunjung abah setiap bulan? Perak-KL bukannya dekat seperti Puchong-Putrajaya.

'Jarak cuma alasan. Hari-hari kau boleh jumpa abah sekiranya mahu.'

'Gila!'

'Orang gila macam kau saja fikir gila. Sedekahkah saja telefon mahal kau itu pada orang susah jika tidak mahu manfaatkannya untuk abah.'

......

'Kau boleh berdoa. Tinggalkan tempat tidurmu pada sepertiga malam dengan izin suami. Doakan keampunan dan kebaikan untuk abah. Doakan impian dan hajat abah mahu jadi tetamu istimewa Allah dipermudahkan semudah-mudahnya. Doa diam-diam dalam tangis dari anak yang solehah dapat meraih perhatianNya.'

.....

'Kau tahu baca Al Quran. Banyakkan bacaan, hafal dan amalkan perintah di dalam Al Quran. Kelak di akhirat Al Quran itu dapat memberi shafaat kepadanya.'

.....

'Tingkatkan ketaatan pada suamimu. Jadi isteri solehah.'

'Jadi isteri solehah?'

'Kau ingat kisah wanita solehah zaman nabi yang tidak dapat izin suami untuk keluar meninggalkan rumah bagi menziarahi ayahnya yang nazak tunggu dijemput oleh kematian?'

'Ya, aku ingat. Ayahnya dapat keampunan dari yang Maha Pengampun kerana didikannya mampu menjadikan wanita itu sangat taat dengan perintah suami.'

'Jadi, hadiahkan abah kebahagian di dunia dan akhirat  dengan menjadikan dirimu isteri solehah. Jadikan ia sebagai hadiah yang terbaik untuk abah.'

.....

'Kau bertuah kerana kau anak perempuannya. Rasulullah saw khabarkan, anak perempuan mampu tarik kedua ibu bapanya ke dalam syurga.'

'Aku tak mampu.'

'Bukan soal mampu. Tapi soal mahu atau tidak mahu saja!'

'Aku akan cuba buat.'

'Cakap saja mahu buat!'

'Kau kenapa? Asyik merendah-rendahkan aku!'

'Buktikan sekarang. Sekurang-kurangnya baca Al fatihah untuk abah sekarang.'

Allah, Allah, Allah... Bantu aku. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatanMu yang Maha Mulia lagi Maha Agong saja ya Allah. Solehah menangis lagi sambil membaca surah Al Fatihah untuk abah perlahan-lahan. Pesan arwah mak agar sentiasa bahagiakan abah mahu dilakukannya sebaik mungkin.




TAMAT.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan