Bismillah.
Assalamualaikum wbrt.
Perkongsian ini untuk semua sahabat yang mahu mendorong anak-anak kecil seronok dan bersemangat mahu menghafal surah-surah pendek dari Juzz Amma. Sekiranya tidak ada anak lagi pun boleh mencubanya pada anak saudara, anak kawan, anak jiran mahupun sepupu-sepapat kita yang masih kecil.
Anak kecil mudah mengingat dan suka meniru perbuatan yang menarik perhatian mereka. Sebab itu kita lihat ramai kanak-kanak berjaya meniru aksi ultrabboy, superboy, spiderboy, batboy, boboi boy, Naruto, Hantu Mak Limah dan seangkatan dengannya berserta dengan hafalan skripnya sekali.
Jesteru itu, kita boleh gunakan kelebihan dan bakat semulajadi yang ada pada diri setiap kanak-kanak ini untuk jadi Hafizboy. Yakinlah bahawa ayat-ayat Al Quran mudah dilafazkan oleh semua jenis lidah tidak kira kecil atau besar atau bangsa apa. Ia juga mudah dihafal walaupun anak belum pandai membaca Al Quran sendiri.
Panduan memulakan hafalan kali pertama:
1. Pilih surah pendek bacaan qari pilihan yang kita suka dari you tube. Contoh, bacaan surah Al 'Adiat oleh Sheikh Mishary Rashid Alfasy.
2. Perdengarkan beberapa kali pada anak kecil ketika mereka sedang bermain atau beraktiviti sendiri.
3. Kemudian, kita (guru yang mengajar), ulang baca satu ayat saja ketika berada berhampiran anak. Satu ayat saja. Ayat pertama dari surah Al 'Adiat. Bukan satu surah.
4. InsyaAllah anak akan mengikut tanpa disuruh-suruh.
5. Sekiranya tidak, minta anak ikut apa yang kita baca.
6. Sekiranya anak dapat menghafal, terus beri pujian atas usahanya walaupun tidak berapa betul lagi sebutannya. Yang penting mereka cuba. Namun kita sendiri mesti baca dengan betul.
Contoh pujian, "MasyaAllah, mudahnya abang dapat ingat! Sayang Allah pada abang sebab abang berusaha hafal ayat-ayat cinta/sayang dari Allah."
7. Beri ganjaran atau hadiah. Misalnya berikannya coklat (pilih yang ada tanda halal), Buatkannya secawan air atau masakkan makanan kegemarannya untuk mendorong anak menghafal ayat seterusnya.
8. Biasanya sesi menghafal ini kurang dari 5 minit. Selepas itu izinkan dia sambung bermain semula. Elak dari mendesak anak menyambung hafalan ayat kedua.
9. Selang waktu yang lain, teruskan ayat kedua. Kita ulang baca ayat kedua itu sambil buat kerja kita sendiri. Masa tengah lipat kain ke, sambil kemas rumah ke, sambil sapu sampah ke... Yang penting, anak boleh dengar suara kita. Kemudian minta anak tiru bacaan kita.
10. Apabila anak berjaya hafal ayat kedua, minta dia ulang2 semula kedua-dua ayat tersebut sehingga lancar. Beri pujian pada anak, beri ganjaran dan ulang proses yang sama setiap kali memulakan ayat yang baru.
11. Setelah habis kesemua ayat dalam satu surah, hadiahkan anak seperti belikan permainan yang anak suka atau bawa keluar bersiar-siar. Hafalan surah Al Adiat ini abang Nabil hafal dalam masa beberapa hari.
Surah al-Adiat.
12. Untuk surah baru yang berikutnya, Nabil sudah mula seronok melakukannya di mana beliau sendiri akan minta diajarkan. Sebab utamanya kerana beliau mahu mainan baru! Jadi proses menghafal menjadi cepat dalam masa yang singkat saja.
Tip tambahan:
1. Tidak marah dan mendesak jika anak enggan menghafal.
2. Jadikan proses menghafal suatu yang menyeronokkan. Bukan dengan air mata.
3. Tidak mengganggu masa mainnya kecuali dia sendiri mahu berhenti main seketika dan bersedia untuk hafal ayat baru atau mengulang hafalan lama.
4. Tidak dipaksa menghafal pada waktu anak penat, mengantuk atau tidak bersedia.
5. Segera beri pujian sebaik saja dengar anak ulang ayat hafazannya ketika bermain.
6. Menepati janji apabila sudah berjanji mahu membeli hadiah untuknya setiap kali selesai hafal satu surah.
7. Sentiasa maafkan anak dan doakan anak suka dan mudah menghafal.
8. Minta anak ulang surah yang sudah di hafal semasa dalam kereta, sebelum tidur, atau pada waktu lapang yang lain.
9. Lebih baik sekiranya kita dapat menceritakan kepada anak kisah di sebalik penurunan sesuatu surah.
Misalnya 5 ayat pertama dari surah Al Adiat diriwayatkan tentang Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan kuda. Setelah sebulan lamanya, pasukan itu tiada khabar berita.maka turunlah ayat 1-5 ini sebagai pemberitahuan tentang pasukan tersebut sedang bertempur melawan musuh.
(Rujukan: Al Quran Pertamaku Juzuk Amma).
11. Mengamalkan doa berikut:
"Ya Allah SWT, kurniakanlah kepada ku anak yang menghafaz kitabMu.
Jadikanlah anakku dalam kalangan orang berilmu lagi beramal dengan ilmunya.
Jadikanlah anakku pembawa berkat kepadaku dan umat Nabi Muhammad SAW.
Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa ini. Aamiin."
(Rujukan: Buku Anakku Seorang Hafiz. )
12. Mempunyai azam yang kuat dan usaha yang berterusan sehingga anak berjaya jadi Hafizboy.
13. Bermain adalah lumrah anak-anak. Benarkan mereka bermain kerana apabila dipaksa untuk belajar saja, anak akan tertekan, murung dan kecewa.
14. Sebaliknya apabila emosi mereka gembira, anak lebih mudah mengikut arahan dan terima ilmu baru.
15. Banyak beristighfar dan bersabar dengan kerenah anak. Ilmu tidak berkat serta susah hendak disampaikan dan diterima apabila gurunya marah-marah dan tidak redha.
Astaghfirullah, wallahu'alam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan