Rabu, 23 April 2014

Sesi Bercerita: Surah Al-Alaq.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt.


Insyaa Allah sambung cerita kisah pembelajaran dari Surah Al-Alaq.


Al-Alaq bermaksud darah yang beku. Perihal yang disentuh ialah:

1. Bermulanya penurunan wahyu kepada nabi Muhammad saw.

2. manusia mudah engkar dan derhaka kepada Allah akibat pengaruh wang dan kuasa.

3. Kisah Abu jahal, orang yang menghalang Rasulullah saw solat.



Asbabun Nuzul (sebab-sebab turun ayat).

Sebelum wahyu pertama turun  (Al-Alaq, 1-5), Nabi Muhammad saw selalu mimpi satu cahaya yang datang seperti fajar subuh. Selepas itu baginda suka menyendiri di Gua Hira' di Jabal Nur untuk beribadat selama beberapa malam. Hanya selepas bekal makan minum baginda habis barulah baginda kembali semula ke rumah menemani isterinya Siti Khadijah. Kemudian baginda akan pergi semula ke Gua Hira' untuk beribadat.

Sehingga satu malam, baginda dikejutkan dengan kehadiran malaikat Jibril yang menyuruhnya menyebut, "Bacalah!'

Maka jawap Rasulullah saw, "Saya tidak tahu membaca."

Kemudian malaikat Jibril memeluk Rasulullah saw dengan eratnya. Selepas melepaskannya, malaikat Jibril berkata lagi untuk kali ke-dua, "Bacalah!"

Maka jawaplah Rasulullah saw, "Saya tidak tahu membaca."

Untuk kali kedua malaikat Jibril memeluk erat Rasulullah saw lalu mengulangi lagi untuk kali ke-3 perintah, "Bacalah!"

Maka Rasulullah saw kembali menjawap, "Saya tidak tahu membaca."

Untuk kali ke-3, malaikat Jibril memeluk Rasulullah saw dan berkata,

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. 
Dia mencipta manusia dari sebuku darah beku. 
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah. 
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. 
Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya."


Selepas peristiwa itu Rasulullah saw berasa cemas dan badannya menggigil. Baginda pulang ke rumah Siti Khadijah dan berkata, "Selimutkan aku. Selimutkan aku." Baginda berasa cemas jika peristiwa itu membawa keburukan pada dirinya.

Namun Siti Khadijah menenangkan perasaaan baginda dengan berkata, "Janganlah Engkau cemas wahai suamiku. Sesungguhnya engkau adalah orang yang akan menyambung tali silaturahim, rajin bersedekah dan membantu orang yang lemah. Engkau juga suka memuliakan tetamu dan selalu membela kebenaran. Insyaa Allah tidak mungkin Allah swt akan memberi keburukan atas dirimu."

Kemudian Siti Khadijah membawa Rasulullah saw bertemu dengan Waraqah bin Naufal, seorang ahli kitab yang banyak mengetahui tentang kitab-kitab suci terdahulu.

Ketika mendengar cerita itu, Waraqah berseru, "Itulah malaikat Jibril yang dahulu pernah mendatangi Musa, sesunggunya wahai Muhammad saw engkaulah nabi yang ditunggu-tunggu."

Demikianlah kisahnya tentang turunnya wahyu pertama daripada Al Quran. Dengan turunnya surah ini, maka rasmilah Rasulullah saw dilantik menjadi nabi dan rasul akhir zaman.


Kuasai Iqra'.

Perintah Allah bermula dengan Iqra iaitu membaca. Baca merupakan kunci untuk dapatkan ilmu. Bagi mendapatlan ilmu pastinya perlu membaca. Hanya dengan ilmu kita dapat mengenali Allah dan belajar bagaimana mahu mengabdikan diri kepadaNya. Kata Imam Al Syafie:

'Sekiranya kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu.
Sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu.
Sekiranya kamu ingin kedua-duanya, hendaklah dengan ilmu.'

Baca sesuatu yang diredhai dan disukai Allah serta elakkan membaca sesuatu yang dimurkaiNya. Niat membaca kerana Allah, agar dapat memberi kebaikan kepada alam dan seluruh penghuninya.



Perpustakaan Mini Di Rumah.

Imam al-Syahid Hassan al-Banna pernah menerangkan cara paling efektif dalam mendidik remaja dengan pendidikan Islam ialah dengan mewujudkan perpustakaan di rumah walaupun sederhana. Muatkan dengan koleksi buku-buku seperti berkaitan:

1. Akhlak.

2. Hikmah.


 3. Motivasi.

4. Sejarah Islam.

5. Biografi salafussoleh.

6. Kisah hidup ulama terdahulu.

7. Kisah-kisah penaklukan negara dan sebagainya.

Jadikan buku-buku ini sebagai makanan akal dan bagi memperkayakan minda anak-anak.



Belajar nama malaikat serta peranannya.

Untuk memperkenalkan tentang malaikat seperti yang diceritakan di atas, saya pasang lagu dari you tube ini saja dulu. Kemudian diikuti dengan lagu Rukun Iman. Insyaa Allah anak-anak suka dah mudah ingat. Untuk belajar dan mengingat nama-nama 25 orang rasul juga boleh cuba melalui nasyid.





Malaikat Allah.



Rukun Iman.



Astaghfirullah. Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan