Sabtu, 19 April 2014

Hikmah Dari Anak.

Bismillah.

Nabil, anak bujang sulung kami InsyaAllah berusia 5 tahun pada 5/5/2014.

Sudah beberapa kali Tuan Muda ini bertanya bilakah umurnya akan masuk 5 tahun? Bila ditanya kenapa dengan umur 5 tahun?

Senyum-senyum beliau menjawap, "Abang mahu pergi sekolah."

Saya tidak pasti dari mana beliau dapat maklumat, umur 5 tahun adalah usia pergi sekolah.

"Abang mahu pergi sekolah?"

"Haah, sekolah ramai kawan. Abang mahu main dengan kawan kat sekolah."

"Di rumah pun abang ramai kawan. Abang boleh jumpa ramai kawan setiap hari di Taman Permainan di bawah."

"Tapi kena tunggu kawan balik sekolah dulu, baru taman ada orang."

"Oh.. ye ke. Sekolah tu tempat yang macam mana?"

"Sekolah best. Ada banyak mainan."

Yang dimaksudkannya ialah Tadika ABS Al Furqan di Shah Alam. Bukan pergi belajar, tapi ikut saya meeting group ABS Chapter Shah Alam. Memang ada mainan dan beliau sempat bermain dengannya bersama beberapa orang rakan sebaya.

"Ohhh... Pandainya. Lagi?"

"Tempat cari ilmu," jawapnya. Yang ni mak dia suka dengar sebab jawapan paling hampir dengan skema. heheh...

InsyaAllah, tahun depan abang akan mula masuk alam persekolahan. Sekarang abang main saja dulu. Main, main, dan main sambil belajar mengaji sikit-sikit dengan ibu.


Watak utama: Abang Nabil.



5 Tahun Berlalu.

Kami panggil Nabil dengan gelaran abang sejak usia setahun lagi sebagai doa agar dikurniakan adik-adik soleh solehah yang ramai. Alhamdulillah, doa yang turut didoakan oleh saudara-mara dan rakan-rakan yang mengenali abang, telah dimakbulkan dengan hadirnya dua orang adik (buat masa ini) untuk menjadi teman dan memeriahkan zaman kanak-kanak abang.

Dalam tempoh 5 tahun pertama ini, banyak perkara yang kami dapat pelajari melalui anak. Perubahan demi perubahan berlaku dalam diri seperti bertambah ilmu. iman, amal, kematangan, cara berfikir, bertindak, cara urus kewangan, pilihan keutamaan dan gaya hidup.

Di antara hikmah mempunyai anak adalah, dapat mendidik diri untuk menjadi lebih baik di sisi Khaliq. 

Misalnya bermula dari dalam kandungan lagi, baru  hendak jaga pemakanan. Mula memilih-milih makanan supaya baik untuk kesihatan diri  sendiri dan baik juga untuk kesihatan baby. Beransur-ansur tinggalkan masakan pedas, asam, jeruk, dan jajan yang jadi kegemaran utama sebelum itu.

Kebiasaannya, orang yang makan pedas (macam saya), akan mati selera makannya bila tidak ada yang pedas-pedas dalam menu. Tapi demi kandungan, tidak mengapa, sanggup mati selera asalkan baby sihat. huhu... Banyak lagi makanan lain yang sedap dan berkhasiat walaupun tidak pedas. Dalam kes ini suami banyak membantu kerana beliau tidak gemar masakan pedas. Jadi tidaklah bergaduh-gaduh di lantai makan (belum ada meja makan masa itu) semata-mata tidak ada sambal belacan dan budu!

Mula rajin baca buku ilmiah cari maklumat berkaitan baby, pendidikan anak dan tip jadi ibu mithali, berbanding baca buku Harry Potter, manga, komik, paper metro, dan majalah kisah artis. Haish.

Mula jaga tingkah laku supaya tidak lepas laku. Mahu anak jadi baik, jadi maknya perlu jadi orang baik. Tidak banyak merungut, mengeluh, mengumpat dan bermalas-malasan. Jaga solat di awal waktu dan jaga aurat.

Mula banyak berdoa dan hafal doa-doa baru untuk diri dan anak. Doa dengan rasa takut dan penuh mengharap.

Mula perlahan-lahan kurangkan masa bersama TV.

Mula buka semula Al Quran yang sudah lama tidak mesra dengan diri untuk dibacakan dan diperdengarkan pada baby agar baby jadi baik, soleh, hensem/cantik dan genius. Astaghfirullah. Perbetulkan niat. Baca Al Quran untuk ambil panduan dan pengajaran darinya di samping niat anak yang bakal lahir nanti jadi pencinta Al Quran. Pencinta yang suka baca, faham, amal dan berakhlak seperti dalam Al Quran.

Apabila anak sudah lahir pula, belajar jadi penyabar, penyayang, pengorbanan dan tanggungjawap dalam membesarkannya. Pada diri anak itu ada rezeki, pahala, bahagia, resah, air mata dan ujian. Sesekali timbul rasa bimbang, sesal dan kesal mengenangkan salah diri pada anak.

Sudah 5 tahun, tapi tidak banyak hak abang sebagai anak yang dapat saya penuhi. Takut dan bimbang, kerana kelak akan ditanya tentang anak-anak yang dipimpin oleh diri sepanjang suami keluar meninggalkan rumah untuk mencari rezeki. Anak mengingatkan saya tentang nasib diri di Padang Mahsyar.

Anak adalah cermin diri. Melihat tingkah laku anak-anak yang kadangkala mengundang rasa tidak selesa di mata dan di hati, memberi kesedaran bahawa ada sikap sendiri yang perlu diperbaiki.

Yang paling dirasai setelah melalui semua pengalaman mengandung, melahirkan, menyusu, membesarkan dan mendidik ialah, rindu sangat pada mak. Bertambah rasa sayang dan penghargaan pada mak yang memang tidak terbalas jasa dan pengorbanannya. Namun, turut juga rasa berdosa kerana tidak banyak kebaikan yang mampu dilakukan untuk membahagiakan mak.


Gambar google

Juga rindu abah yang tabah mengharungi liku-liku hidup tanpa mak di usia emasya. Rindu mahu pulang ke kampung peluk abah. Melihat suami yang sentiasa berusaha memperbaiki ekonomi keluarga dan mementingkan pendidikan anak-anak, yang sangat risau apabila anak-anak sakit, apatah lagi bila isterinya yang sakit, dapat membayangkan abah juga begitu dahulu. Yang sentiasa berusaha dan berkorban untuk kebahagiaan keluarga.

Melihat anakanda Fatimah, yang lebih manja dengan suami, serta-merta rindukan abah. Abah yang garang dan penyayang. Abah yang cuba sedaya upaya memenuhi pelbagai permintaan tanpa sedar kesusahan yang abah tempuhi.  ^^


                                                             Gambar google


'Ya Allah. Ampunkan segala dosa-dosa kami, kedua ibu bapa kami dan kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami sewaktu kami kecil. Aamiiin.'

'Ya Allah, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah.'


Sebaik-baik hadiah bagi membahagiakan ibu bapa ialah dengan menjadikan diri soleh solehah.

Sebaik-baik hadiah untuk anak adalah dengan mendidik mereka sehingga menjadi soleh dan solehah.


Astaghfirullah. Wallahu'alam.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan