Selasa, 19 Ogos 2014

Harta Yang Ku Ada.

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum wbth. dan salam sejahtera.

Satu riwayat meriwayatkan bahawa harta yang kita miliki hanya tiga saja.

1. Apa yang kita makan sampai habis.
2. Apa yang kita pakai sampai lusuh.
3. Apa yang kita sedekah / infaq / nafkahkan lalu hilang.

Selain itu, seluruh harta yang ada jadi milik orang lain saat kita pergi.


1. Makan.

Tak banyak makanan yang mampu dimakan kerana perut manusia tidak besar mana. Malah lebih banyak terbuang berbanding yang masuk ke perut apabila berada di dalam majlis makan-makan seperti di Majlis Perkahwinan, kenduri dan open house.

Makan kerana lapar itu berpahala kerana nabi saw ajarkan makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang. Tujuan makan untuk memperolehi tenaga agar dapat meneruskan hidup menjadi hamba Tuhan.

Makan kerana sedap, lebih kepada memperhambakan diri pada nafsu. Mudah-mudahan kita mampu menewaskan kesedapan dengan makan seperti biasa saja tanpa membebankan perut yang tidak bersedia untuk diisi makanan lagi sebab bahagian 1/3 nya sudah penuh. Jangan  ambil hak yang lain iaitu 1/3 air punya dan 1/3 lagi udara punya. ^___^


2. Pakaian.

Pakaian pun sama, tidak banyak yang kita digunakan. Ia bukan seperti koleksi mata wang pahala yang lagi banyak koleksinya lagi baik untuk meraih redha Tuhan.

Yang dipakai buat basahan hari-hari itu sajalah harta kita yang sebenarnya-benarnya. Yang kita pakai sampai pudar, lusuh, koyak yang akhirnya sesuai buat alas kaki untuk menghabiskan riwayatnya yang sudah nyawa-nyawa ikan.

Yang cantik-cantik dan pakai sekali (seperti baju nikah) atau pada waktu tertentu sahaja, barang kali boleh pindah milik jadi hak lipas. Atau kekal jadi milik almari/box kerana tidak boleh pakai langsung akibat saiz badan sudah berbeza.


3. Sedekah/Infaq.

Inilah sebaik-baik harta yang perlu diperbanyakkan setiap masa untuk jaminan masa depan yang lebih bahagia. Masa depan di perkampungan akhirat nanti.

Sedekahkan makanan pada jiran dan sahabat. Keberkatan tidak bergantung kepada banyak atau sikit jumlah yang diberi. Makanan yang berkat, makan sedikit pun sudah kenyang.

Atau paling kurang sedekahkan makanan yang tidak habis kepada haiwan. Bukan pada tong sampah kerana tong sampah tidak memerlukan makanan dan tidak bermanfaat pun untuknya.

Sedekahkah baju-baju yang kita sayang nak pakai dan tidak terpakai kepada yang memerlukan. Misalnya baju nikah, sedekah pada mualaf yang mahu melangsungkan perkahwinan.

Simpan untuk kenangan tidak menambah pahala dalam buku amal kita. Saya tak sedekah sebab baju nikah itu saya masih muat dan dipakai pada hari raya dan hari biasa. hihi...

Begitu juga baju anak-anak yang sudah tidak muat lagi. Nak tunggu anak baru, belum tentu ada rezeki lagi menimang anak baru bagi mewarisi pakaian abang/kakaknya. Sayang memang sayang. Namun yang sayang itu lagi patut disedekahkan untuk membuang rasa cinta harta dunia yang sudah mula bersemi.

Ingat janji Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pemurah, bahawa setiap sedekah akan mendapat balasan yang lebih baik. Barangkali ia dalam bentuk mendapat pakaian yang lebih cantik, ganjaran gandaan pahala, dipermudahkan segala urusan di sini dan disana, mahupun pengampunan dosa agar terselamat dari azab neraka.


"Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (bakhil); sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan dariNya dan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (kurniaanNya) lagi Maha Mengetahui." 

Surah Al Baqarah ayat 268


"Kamu sekali-kali tidak akan memperoleh kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menginfaqkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan, apa saja yang kamu infaqkan, maka Allah sungguh mengetahuinya.”


Surah Ali Imran ayat 92.


Berkurung Dengan Baju Kurung.

Ini kisah baju yang mahu disedekahkan rasa sayang, mahu dipakai tak terpakai pula. Oleh kerana lebih banyak berada di dalam rumah menghabiskan usia (hihi...), pakaian tradisional ini cuma sah terpakai bila ada kenduri-kendara atau pada hari raya sahaja.

Pada hari lain, ia terasing di dalam kotak yang ada kebarangkalian besar menjadi santapan lipas atau reput begitu saja.

Apa nak buat? Sedekah tak mau. Pakai tak mau.

Ketuk saja kepala!

Ingatkan diri bahawa setiap harta yang dimiliki tapi tidak dimanfaatkan akan jadi beban kelak di sana. Jadi pejam mata sedekahkan saja yang jarang sangat-sangat dipakai dan pakai sendiri pakaian yang sayang sangat nak disedekahkan.

Yang disayang-sayang ini biasanya pemberian dari suami, mak, mentua, ipar duai dan sahabat. Tapi jika setakat sayang tanpa digunakan, ia tidak memberi nilai kepada pemberinya. Berbanding dipakai buat 'basahan', melimpah-ruah pahala mengalir untuk mereka.

Jika ikut keselesaan,  diakui memang tidak berapa selesa jika dipakai dalam tempoh yang panjang. Lebih-lebih lagi ia tidak menyerap peluh dan cepat berbau.

Namun mampukan kita beri jawapan padaNya, "Saya tidak selesa mahu pakai pakaian tersebut. Tolong ampunkan saya."

Setiap apa yang dimiliki akan dihisab penggunaannya. Jadi cepat-cepat punggah kotak-kotak simpanan, tengok apa yang kita simpan.


Namun, ia selesa apabila:

1. Jika pintu rumah dan tingkap rumah kita selesa dibuka seluas-luasnya bagi pengudaraan dan pencahayaan mudah menerobos. Ini bukan sekadar sesuai pakai baju kurung saja, tudung pun kena pakai supaya pandangan orang luar yang masuk bersama dengan cahaya dan udara itu tidak menambah catatan buku kiri.

2. Rakan-rakan anak rajin datang rumah. Kejap-kejap ketuk pintu ajak anak keluar main.

3. Posmen rajin datang ketuk pintu rumah.

4. Jiran rajin ketuk pintu rumah hantar makanan. hihi...

5. Kejap-kejap perlu keluar rumah kasi kucing makan, ayam makan, burung makan, siram pokok bunga.

6. Duduk bersantai-santai setelah sebahagian kerja rumah sudah diselesaikan. Tinggal mengadap anak dan buku saja sambil tunggu boifren balik kerja.

7. Jiran suka datang rumah atau singgah kejap rumah kita.

8 . Ada pembantu rumah yang selesaikan semua kerja rumah termasuk uruskan anak kecil. Jadi, suri boleh bergaya macam mak datin dalam tv kerana tidak perlu kerap basah dan comot.


Ia jadi rimas bila:

1. Banyak kerja rumah nak buat lebih-lebih lagi yang melibatkan penggunaan air seperti basuh pingan mangkuk, cuci pakaian, cuci-cuci rumah.

2. Mudah berbau sebab berpeluh.

3. Anak kecil tarik-tarik baju disamping payah nak ligan anak kreatif yang berkreatif  waktu split identiti jadi rasaksa hijau.

4. Suami jeling-jeling nak tanya tapi tak tertanya pasai apa bini dia kat rumah pun tiba-tiba berbaju kurung bagai. Hohoho...

gambar google.

Jadi, periksa semula almari dan kotak pakaian, lihat mana-mana pakaian yang sudah tidak digunakan dan maksimumkan penggunaannya.


Astaghfirullah, wallahu'alam.





Selasa, 12 Ogos 2014

Umpan Anak Hafal Ayat Baru.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejahtera.


Satu Hari Satu Ayat.

Insyaa Allah update kali ini tentang perkongsian peribadi bagaimana umpan anak mengaji.

Satu ayat, satu hari merupakan impian saya untuk anak. Kadang-kadang dapat, kadang-kadang hanya sekadar ulang hafal surah lama saja. hehe...

Masa awal-awal dulu, Nabil suka sangat apabila ditawarkan permainan atau buku baru sebagai ganjaran sekiranya dapat hafal ayat/surah baru. Hasilnya banyak ayat baru dapat dihafal dalam tempoh yang singkat.

Masa berlalu, usia semakin bertambah, minat mula berubah. Tawaran permainan baru, tidak berapa menjadi.

Mutakhir ini, Nabil suka belajar menggunakan komputer. Ada masanya, beliau on sendiri internet dan komputer tanpa minat izin seperti biasa sehingga terpaksa letakkan password.

Jadi, saya buat tawaran, beliau boleh guna komputer untuk tempoh masa tertentu, selepas selesai ulang kaji baca beberapa surah yang sudah dihafal atau belajar ayat hafazan yang baru. Setakat ini masih berkesan lagi teknik ini.

Di lain waktu, saya tawarkan ayam goreng, gula-gula, coklat, aiskrim, masak makanan kegemarannya, bawa jalan-jalan dan benarkan beliau keluar bermain awal.

Gula-gula, coklat  dan aiskrim sesekali saja dapat makan. Jadi ia memang tawaran menarik yang dapat sambutan. Begitu juga waktu bermain di luar rumah. Hanya selepas pukul 6pm baru boleh keluar. Dapat keluar seawal lepas asar memang suka sangat.

Nabil suka minta lompat-lompat hafal surah. Bila dilihatnya orang di surau baca Yasin, beliau mahu belajar surah yasin. Baru mula hafal beberapa ayat, mahu belajar surah al-Baqarah pula. Misalnya hari ini berjaya hafal ayat satu dan dua dari surah al-Baqarah. Juz amma belum tamat lagi, beliau sudah becita-cita besar mahu hafal surah panjang.

Tidak nafikan, bila saya ikutkan saja apa yang Nabil mahu belajar, sesi belajar dapat dijalankan dengan lebih lama dan beliau buat dengan happy. Cuma maknya agak penin sikit nak ngajo sebab tak ikut skema. Nampaknya kena study lagi buku Anakku Seorang Hafiz dan Melahirkan Anak Pencinta Al-Quran.






Didoakan, hajat sahabat wangi semua yang mahu anak jadi pencinta al-Quran dipermudahkan semudah-mudahnya dan diberkati setiap usaha yang dilakukan untuk melaksanakannya.


Gambar google.


Astaghfirullah, wallahu'alam.






Keliru Bahasa.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejatera.

Kadang-kadang cikgu pun konfius tak berapa nak faham  bila anak murid aplikasi guna bahasa yang sudah dipelajari.


1. Satu petang di kampung.

Nabil: Ayah, tolong abang pang kolang.
Ayah: Pang kolang tu apa?
Nabil: Yang abang main tadi. Dah tak boleh main. Kena pang dulu.
Ayah: Anak nak apa ni ibu?
Ibu: Tolong pam kolam.

Ki.. ki.. ki...


2. Satu hari di rumah.

Ibu :   Ayah, abang mintak geng.
Ayah: Geng apa?
Nabil: Yang macam kat kampung tu. Yang sepupu abang main tu.
Ayah: Macam mana main geng?
Ibu:     Main games.

Hohoho...

Alhamdulillah. Kosa kata baru anak bertambah setiap kali pulang ke kampung. Menguasai banyak loghat bahasa dapat meningkatkan kemahiran bersosial dan meluaskan perhubungan silaturrahim.

Gambar google.


Astaghfirullah, wallahu'alam.







Tergigit Lidah.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejahtera.


Perselisihan dalam rumahtangga merupakan perkara biasa yang akan dilalui oleh setiap pasangan. Yang luar biasanya apabila bahagia sepanjang masa tanpa sekalipun bermasam muka.

Musuh utama anak Adam iaitu syaitan, suka berkeliaran di dalam rumahtangga. Tujuannya hanyalah kerana mahu memporak-perandakan keluarga tersebut kerana syaitan tidak suka anak Adam berkahwin.

Orang yang sudah berkahwin mudah sangat-sangat dapat raih pahala. Senyum, bersentuhan, bertentang mata, tanggung nafkah, hulurkan secawan air kosong, bergurau dan seumpamanya. Jadi tidak hairanlah kenapa syaitan sangat tidak puas hati.

Suami pasti mahu beri yang terbaik untuk keluarganya. Begitu juga dengan isteri, mahu beri yang terbaik untuk keluarganya. Namun sebagai manusia biasa, semua orang tidak bebas dari kekurangan. Usah jadikan kekurangan ini sebagai penghalang untuk terus menyayangi dan menghormati pasangan.

Ketika berada dalam situasi sukar, senaraikan kembali segala kebaikan yang telah dilakukannya sejak di awal perkahwinan. Baca kembali catatan tersebut. Kenang kembali kebaikannya. Insyaa Allah, kebahagian itu ada di sepanjang jalan. Tidak hanya di awal mahupun di hujung perkahwinan saja.

Sudah pasti kebahagiaan yang dikecapi dalam perhubungan itu adalah hasil hubungan yang erat dengan Pencipta. Orang yang mencintai Tuhan dan Rasulnya, pasti menyintai pasangannya. Manakala orang yang menyintai pasangan belum tentu cinta pada Pecipta dan Rasul.

Teruskan banyak memberi dalam kehidupan rumahtangga. Yang paling banyak memberi adalah yang paling menyayangi. Hanya dengan memberi, jiwa lebih bahagia dan tenang berbanding menuntut hak yang harus diterima.

Gambar google.


Astaghfirullah, wallahu'alam.

Sabtu, 9 Ogos 2014

Like dan Share di Facebook.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejatera.






Button like / share yang di klik boleh jadi kerana:

1. Suka.
2. Setuju dengan status/komen.
3. Tanda sudah baca dan setuju.
4. Tanda meraikan komen walaupun tidak sama pendapat.
5. Tanda terima kasih kerana berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
6. Tanda terima kasih kerana status/komen itu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.
7. Supaya status dari individu berkenaan akan terus muncul di wall kita setiap kali beliau update. Biasanya apabila bilangan friends semakin besar, sebahagian besar update status sebahagian friends tidak kelihatan.


Sudah like kemudian unlike kembali barang kali:

1. Suka dengan status, namun bila di ulang baca/lihat seperti tidak sesuai untuk di like.

2. Suka dengan gambar dan excited dengannya, namun terpaksa unlike kembali bila perasan ada yang pelik pada gambar.


Suka tanpa klik like. Suka tanpa share.

Pengguna facebook seperti ini dipanggil silent reader. Dan bukan semua orang selesa dengan silent reader dan ada risiko di buang dari list friends. Saya sendiri, apabila perasan ada rakan mukabumi eh, rakan mukabuku mengumumkan perbersihan rakan-rakan yang tidak aktif (silent reader), abaikan sajalah. Itu pilihan beliau dan pastinya ia bersebab. No hard feeling, wokeh. hoho...

Perkara ini bukan saja berlaku pada status, gambar, malah video juga. Silent reader sengaja tidak mahu meninggalkan jejak walaupun seronok baca dan dapat tatap gambar-gambar / video yang di upload. Melalui gambar, terubat rindu pada sanak-saudara dan sahabat yang sudah lama tidak ketemu.

Kalau gambar itu nampak aurat sikit, saya like, pasti rakan mukabuku saya yang lain juga akan nampak aurat tersebut. Niat saya cuma tak mau orang turut nampak apa yang saya dah nampak. Doakan saja orang itu dapat hidayah dan dilembutkan hatinya untuk faham agama.

Jika status bermaklumat itu pro kepada apa yang saya suka, (contoh status berbaur politik yang saya sokong), namun tak sahih kebenarannya, pun kena tunggu dan lihat dulu. Dalam kebanyakan kes, berita/maklumat/gambar gossip yang kali pertama di bawa itu, banyak yang sudah dipalsukan dan hanya rekaan. Jangan terus percaya.

Sudah pasti apa saja tindakan yang kita lakukan akan dipersoalkan kelak. Kenapa like, kenapa unlike, kenapa tulis begitu begini, kenapa post, kenapa upload, dan kenapa share?

Share.

Ada berita yang kita tidak pasti tentang kebenarannya. Namun jari tetap mahu hebahkannya kepada rakan-rakan lain dengan skrip, "Saya tak pasti betul ke tidak. Share saja.

atau,

Ada berita yang kita rasa macam tak betul lalu, jari pun like share dengan sedikit catatan, "Rasanya, perkara ini tak betul. Wallahu a'lam."

Kalau main rasa-rasa saja, rasa macam betul... rasa macam tak betul... Tengok saja dulu. Percaya jangan. Apatah lagi like atau share. Kerana pastinya, tidak beberapa lama lepas tu pasti ada berita yang insyaAllah betul. Takde main rasa-rasa dah.


Promosi Buku.

Buku Ledakan Facebook Antara Pahala & Dosa ini  boleh dikatakan penting juga untuk dibaca. Banyak panduan yang bermanfaat untuk pengguna tegar facebook.



Apa sebenarnya tujuan bermukabuku? Terpulang pada niat masing-masing. Niat yang baik, insyaa Allah dapat catatan pencatat kanan.

Antara yang saya faham melalui buku tersebut ialah:

1. Tidak terlalu berlebih-lebihan memuji seseorang hingga mengakibatkan wujud rasa riak dipihaknya.

2. Tidak upload terlalu banyak gambar peribadi.

3. Hati-hati sebelum share video/movie/ kisah artis yang digemari . Bimbang promote percuma aurat dan pergaulan bebas mereka, menjadi beban ke atas kita pula.

- Contohnya, update, "Artis febret ku, Si Abc sedang beraksi dalam cerita Xyz di TV10 sekarang. Jom layan..." (promosi percuma).

- "Jiwa tengah kacau. Layan youtube lagu jiwang kumpulan Pqr ni pun ok gak. Teringat zaman bercinta dolu-dolu..." (promosi percuma).

- "Kat wayang sekarang tengah main cerita 123. Rugi sapa yang tak tengok!" (promosi percuma)


4.  Tidak memburuk-burukkan pasangan dan meluahkan perasaan.

5. Hati-hati sebelum like gambar. Bimbang kita menyokong pula usahanya mengupload gambar yang tidak sempurna penutupan auratnya walaupun yang terdedah hanya kaki saja.

6. Hati-hati sebelum tekan button share, sebelum pasti dengan kebenaran cerita yang mahu dikongsikan.


Mudah-mudahan penggunaan facebook membawa kebaikan yang dapat menambahkan iman, ilmu dan amal.


*****

Saya.

Saya buka akaun facebook sejak 2009. Buka atas nama sendiri, kemudian berkongsi dengan suami atas sebab-sebab tertentu. Kemudian akaun jadi milik suami di mana saya terpaksa unfriend ramai sahabat perempuan yang sudah berkahwin untuk kurangkan rasa bersalah dan rasa seperti menipu  kerana friend mereka adalah suami, bukan saya lagi.

Walaupun beliau bukan kaki mukabuku dan jarang sekali beronline di mukabuku, rasa tidak patut pula rakan perempuan saya berada dalam list rakan-rakannya. Saya faham ada sahabat perempuan saya tidak mahu ada lelaki dalam facebook mereka. Begitu juga dengan rakan yang kerap upload gambar yang tidak sesuai dan  kerap update status yang tidak seronok dibaca, terpaksa di unfriend dan diminta unfriend.

Paling berat untuk lelaki adalah menjaga pandangan. Jadi ada masanya, saya terpaksa hide gambar gambar yang tak patuh syariah yang muncul di wall agar beliau tidak terpandang gambar tersebut sekiranya beliau online.

Kepada sahabat-sahabat dan saudara-mara yang berasa hati kerana tiba-tiba perasan mereka terkeluar dari list friends, saya mohon maaf sangat-sangat. Kita tetap bersilaturrahim walaupun tidak bersama di facebook.

Apabila kembali semula ke dunia facebook, saya tukar nama akaun sekali lagi. Nak add semula sahabat yang di unfriend sebelum ini berasa malu pula. Lagi pula ini akaun bersama suami, bimbang kalian tidak selesa. Namun saya sangat alu-alukan sekiranya kalian sudi menjadi rakan facebook semula.

Azlina Rosedi, bukan maksud saya anak Rosedi. Juga bukan maksud meniru orang putih letak nama suami di belakang nama.Tidak sekali-kali kerana ia bukan ajaran Islam. Hanya maklumkan ia adalah akaun join venture saya dan beliau. Beliau masih sama macam dulu, tidak selalu bermuka buku sekerap saya.

Sebaliknya, beliau lebih suka hadiahkan buku-buku yang dirasakan sesuai untuk saya seperti buku di atas. Lihat, lelaki suka memberi tahu keinginannya melalui perbuatan berbanding perkataan bukan? Faham-faham sendiri lor nak tafsirkan apa maksud beliau. Heheh...  Tentang ini saya ada tulis pada entri Belajar Memahami Suami yang lalu.


Boikot facebook?
Boikot sekiranya ia memudaratkan. Guna sekiranya ia boleh beri manfaat.

Katanya, usah tinggalkan iman dan akhlak ketika berfacebook.


Astaghfirullah, wallahu'alam.


Facebook: Azlina dan Rosedi.
Kedai Online: Pembekal Produk Pendidikan.



Tangguh Kepuasan.

Bismillah.

 Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejahtera.

Entri kali ini adalah sambungan dari entri Didik Anak Bersabar. Mahu berkongsi tentang kepentingan menangguhkan kepuasan demi untuk memperoleh kepuasan yang lebih besar di hari esok dari buku Projek Anak Luar Biasa.

Lazimnya, anak kecil mahu kehendaknya dipenuhi serta-merta. Apabila terima duit yang sepatutnya ditabungkan, mereka terus mahu membelanjakannya bagi memenuhi keinginan. Akibatnya mereka tiada tabungan dan terus bergantung kepada ibu bapa. Sekiranya sikap ini dibiarkan berlanjutan, kelak ia memudaratkan diri mereka sendiri dan masyarakat.

Dalam satu ujian personaliti yang dilakukan ke atas kanak-kanak tadika berusia 4 tahun, penyelidik memberi sebiji gula-gula seorang. Mereka diberitahu, jika sanggup menunggu sehingga penyelidik datang lagi, mereka akan dapat 2 biji lagi gula-gula. Sekiranya mereka tidak sanggup menunggu, boleh makan sekarang.

Didapati sebahagian kanak-kanak, sanggup menunggu sambil melakukan pelbagai aktiviti seperti main-main sendiri, cuba-cuba tidur dan cuba tutup mata. Sebahagian lagi terus makan sebaik saja penyelidik keluar.

Kanak-kanak yang sanggup bersabar menunggu tadi, selepas 14 tahun kemudian didapati memiliki kemahiran sosial yang tinggi. Mereka menunjukkan sifat keberkesanan diri, tahu hadapi kegagalan dan kekecewaan, tidak mudah putus asa dan tahu mendapatkan apa yang mereka mahu, lebih tabah, lebih berdaya usaha dan sanggup menghadapi cabaran,

Sebaliknya kanak-kanak yang terus makan gula-gula tadi, selepas 14 tahun mereka kurang berminat menjalinkan hubungan sosial, lebih degil, tidak pandai membuat pilihan, mudah kecewa, mudah putus asa, mudah melenting, mudah bergaduh dan cepat menarik diri daripada berusaha.

Apabila kanak-kanak tadi diuji sekali lagi pada tahun akhir sekolah menengah, kanak-kanak yang sanggup bersabar untuk mendapatkan lagi gula-gula didapati menjadi pelajar lebih cemerlang berbanding rakan mereka yang tidak sabar menunggu.

Kesimpulannya, ciri personaliti yang sanggup menangguh kepuasan memperolehi banyak kebaikan. Manakala yang tidak sanggup menangguhkan kepuasan, mendatangkan pelbagai kegagalan dalam kehidupan.

Contoh paling jelas, lihat ke dalam diri sendiri, kita sebahagian daripada kanak-kanak yang sanggup bersabar menahan nafsu dari makan gula-gula sehingga penyelidik datang kembali atau sebahagian dari kanak-kanak yang makan terus gula-gula sebaik saja penyelidik keluar dari kelas.

Ada banyak lagi yang menarik dari buku Projek Anak Luar Biasa di bawah. Menurut penulis, buku ini adalah hasil pengalaman, pemerhatian penulis dan juga pakar-pakar psikologi dan pakar kanak-kanak yang membicarakan tentang anak-anak.

Saya suka! Banyak membantu dalam menghadapi dan menguruskan kerenah anak 24jam/ 7 hari seminggu. Banyak topik yang dibincangkan buat saya rasa macam makan cili api. Berasa pedas! Sebab melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan meninggalkan yang patut dilakukan. Masih jauh rupanya perjalanan untuk sampai ke tahap ibu mithali yang diredhai Allah. Huhu...




------------------

*Sembang-sembang malam sebelum tidur.

Nabil:  Ibu ni macam kak Rose.

Ibu:     Ehhh... Kak Rose tu macam mana?

Nabil:  Macam kak Rose lah.

Ibu gigit gigi sambil bayangkan kak Rose, kakak kepada Upin Ipin dan cuba faham Nabil nak habaq apa sebenarnya bila dia tidak mahu sambung perbualan.

----------------------

Astaghfirullah, wallahu'alam.


Kelambu Khemah dan Pokok Halau Nyamuk.

Bismillah.

Assalamulaikum wbrt. dan Salam Sejahtera.



Kelambu Moden / Khemah.

Kelambu Khemah seperti gambar di bawah ini kesayangan kami sekeluarga. Banyak jasanya dalam meningkatkan kualiti tidur malam.

Kelambu yang mesra pengguna, mesra alam dan mesra poket.
Mudah dipasang, mudah disimpan dan mudah diangkut ke mana-mana.
Saiz King: 200x200.
Muat untuk 3 orang kanak-kanak satu kelambu.
Murah harganya, RM45 sahaja seunit, termasuk kos pos.

Sekiranya sahabat mahu, di alu-alukan hubungi saya:
Tel: 012-740 8579
PM facebook Azlina dan Rosedi.





Pokok Halau Nyamuk.

Pokok ni saya baru tahu dari perkongsian salah seorang sahabat mukabuku. Kali pertama dengar jadi agak perak sikit. Perak tu maksudnya jakun. Jakun tu maksudnya hairan sebab baru tahu. Hohoo...

Insyaa Allah, nak cari juga nanti untuk rumah.

Pemilik asal gambar ini Prof. Muhd. Kamil Ibrahim menulis:

KEBESARAN ALLAH SWT

Nyamuk kelihatan berkeliaran di Kondo Kemuncak walaupan kami berada di tingkat 12.

Malah dilaporkan yang kondo ini mencatat beberapa kes deman denggi.

Menarik apabila membaca beberapa fakta nyamuk aedes yang boleh terbang sehingga ketinggian 100 - 200 meter. Bilangan giginya (?). Mempunyai pengesan haba dan mampu pula memilih darah.

Alhamdulillah ... Allah SWT mencipta juga sejenis pohon yang dikenali dengan nama pohon nyamuk.

Rumah kami mempunyai 10 pasu kecil pohon ini dan nyamuk kelihatan menghilangkan diri.

Pohon ini juga sangat mudah dijaga. Ia hanya perlu disiram 2X seminggu dengan air yang sedikit dan sedikit baja.

Tidak mahukah kita menyaksi dan berfikir bagaimana Allah SWT mencipta sesuatu bagi menunjukkan Kebesaran dan KehebatanNya?







Lagi satu, maklumat tambahan, ia juga dikenali sebagai Pokok Jeremin. Klik pada gambar untuk zoom.

Gambar google.


Sudah ada pilihan. Mana satu pilihan hati? 


Astaghfirullah, wallahu'alam.

Khamis, 7 Ogos 2014

Didik Anak Bersabar.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt dan Salam Sejahtera.


Ujian Personaliti: Tangguh Kepuasan Demi Hari Esok.

Kajian menunjukkan, anak-anak yang mempunyai keupayaan menangguhkan kepuasan adalah anak yang berjaya. Keupayaan ini memerlukan kesabaran anak kecil yang kita sedia maklum, mereka mempunyai banyak keinginan yang mahu dipenuhi serta-merta.

Sekiranya dapat dipenuhi mereka ketawa suka. Sebaliknya, boleh mengamuk tanpa kira tempat mahupun siang atau malam sampai maknya pula hampir-hampir nak tukar jadi rasaksa. Lihat, nak minta anak sabar, mak sendiri tak sabar. Ketam betul! Mak patut lebih lagi buat ujian personaliti ini. Heheh...

Kelebihan ujian ini, melatih kebiasaan anak menangguhkan kenikmatan hari ini bagi menikmati nikmat besar pada hari esok. Ia ada hubung kait dengan melatih anak sabar dalam melakukan ketaatan terhadap Allah bagi dapat ganjaran yang lebih besar di Akhirat seperti sabar melaksanakan solat, membantu orang lain, tidak mencuri dan tidak berbohong.


Gurauan Sebelum Tidur.

Pagi semalam saya goreng ayam salut tepung untuk Nabil dan Fatimah sebagai menunai janji kepada mereka kerana berhenti bergaduh dan menjerit-jerit berebut comforter sebelum tidur malam sebelumnya.

Sejak akhir-akhir ni, nak tidur pun sempat bergurau lagi sampai menangis. Kadang-kadang saya biarkan saja sampai mereka berhenti sendiri sebab malas nak layan. Kalau dah lebih dari 30 saat tak berhenti lagi jerit, baru tunjuk rotan suruh diam. Berkesan namun tak bagus untuk jangka masa panjang.

Untuk redakan kesedihan mereka dan rasa serba-salah diri sendiri sebab mengugut dengan rotan, maka termeterai janji untuk masakkan makanan kesukaan mereka, ayam goreng sebagai sarapan pagi esoknya. Tidur dalam keadaan sedih dan marah bukan tidur yang baik. Mana tahu mati dalam tidur nanti, menyesal tidak sudah jadinya. Minta dijauhkanlah mati begitu.

Sungguh senyuman dari wajah-wajah yang basah kesan air mata itu mencairkan hati ibu. Masalah selesai dan masing-masing masuk tidur dengan aman selepas saling bermaafan dan baca doa tidur.

Susah hati bila sudah lewat malam anak buat bising menggangu jiran-jiran di luar pintu. Lepas ni kena sentiasa ingatkan waktu bila harus semua orang jangan terlalu bising. Misalnya ketika azan sedang berkumandang, waktu ada orang solat, awal pagi, lewat malam, waktu ibubapa tengah berbual, ketika tetamu bertandang di rumah dan waktu ada sesiapa tidur di dalam rumah.


Ayam Goreng.

Saya goreng lebih sikit ayam yang sengaja dipotong bersaiz agak kecil sedikit sebab nak testing tahap kesabaran Nabil. Selepas bagi seorang seketul, bakinya saya masukkan dalam tupperware dan sengaja dibiarkan di atas meja.

Seperti biasa Nabil paling cepat dapat habiskan bahagiannya dan mahu ambil lagi.

"Ibu, yang dalam tupperware ni siapa punya?" Soalnya untuk kepastian sebab biasanya makanan yang sudah diisi dalam tupperware pasti bukan dia punya.

"Ohooo... yang tu abang tolong kasi pada Nasuha ya. Mesti dia pun seronok dapat makan ayam macam abang." Nasuha adik Harith, bestfriend Nabil. Bestfriend pergi sekolah, tinggal adik saja kat rumah.

"Alaa.. kenapa abang punya satu je, Nasuha punya banyak?"

"Sekiranya yang sudah goreng ni abang beri pada Nasuha, ibu goreng lagi 6 ketul untuk abang. Lagi banyak abang dapat." Dalam tupperware tu ada 4 ketul saja.

"Lambatlah nak tunggu ibu masak... abang nak makan sekarang," drama tak puas hati bermula.

"Ok. Abang boleh makan. Makan kongsi dengan adik. Ayam yang belum goreng ni ibu nak simpan balik dalam peti ya. Ayah balik kerja nanti, baru ibu goreng lagi," psiko ibu.

Nabil terkebil-kebil dengan mulut yang muncung. Barangkali congak-congak membandingkan tempoh menunggu ibu goreng sekarang dengan tempoh menunggu ayah balik kerja.

Sudahnya ayam goreng itu sampai juga pada Nasuha. Heheh...

Senyum-senyum Nabil balas senyuman ibu bila nampak ibu segera buka api dapur untuk sambung semula goreng ayam sebaik saja dia setuju untuk kasi ayam goreng pada Nasuha dulu.

Nabil sabar menanti sambil mengadap komputer tonton kartun pilihan. Matanya pula sekali-sekala, jeling-jeling ayam di tangan Fatimah dan Umar yang tak habis-habis lagi di makan sejak tadi. Hohoo...


Manfaat dari Aktiviti:

1. Latih anak suka memberi dan mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri.

2. Latih anak bersabar menunggu ayam siap digoreng sehingga ia sejuk dulu sebelum dapat dimakan. Tempoh masa menunggu lebih kurang 20-25 minit.


Ujian Seterusnya.

Hari ini rancang mahu testing Fatimah dengan gula-gula. Fatimah 3 tahun. Sebelum ini uji dengan supplement vitamin C belum berjaya. Sudah tetapkan syarat dua biji saja satu hari, masih minta lagi. Akhirnya habis satu botol dimakan seorang saja dalam keadaan menyorok di bawah katil. Pandai kakak ini. Mujur baki dalam botol itu ada beberapa biji saja.

Caranya, mulakan dengan berikan dua biji gula-gula pada anak.

Katakan pada anak, simpan dulu gula-gula tersebut. Lepas 20 minit baru boleh makan. Tunjukkan jarum jam panjang pukul berapa anak baru boleh makan.

Janji pada anak, boleh dapat dua biji lagi gula-gula sekiranya anak patuh pada arahan.

Kemudian tinggalkan anak sendirian dan lihat dari jauh kelakuan dia.

Jangan lupa minta anak gogok gigi selepas habis makan gula-gula.

Selamat berjaya.

Insyaa Allah bertemu lagi.


Astaghfirullah, wallahu'alam.

Facebook: Azlina dan Rosedi.
Kedai Online: Pembekal Produk Pendidikan.



Padanya Ada Ujian

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejahtera.


Pasangan adalah ujian. Anak juga adalah ujian. Ujian yang semakin mendekatkan diri dengan Pencipta ataupun sebaliknya.

Tidak semua orang beriman mampu menambah pahala melalui amal ibadat wajib dan sunat. Oleh itu, ada sebahagian orang imannya dan taqwanya meningkat melalui ujian menjaga pasangan hidup yang terlantar sakit.

Ada orang pahalanya berlipat ganda dengan kehadiran anak-anak yang luar biasa kerenahnya. Yang sentiasa buat ibu tersenyum, susah hati, tidak cukup rehat dan tidak cukup masa untuk diri sendiri sepanjang menghadapinya.

Namun yang pasti, setiap ujian yang dihadirkan pasti tidak melebihi tahap keupayaan seseorang untuk menanggungnya. Saya doakan sahabat sekalian yang sudi singgah di sini sebentar, yang tabah dan sabar mengharungi ujian kehidupan sentiasa diberkati dan dipermudahkan setiap urusan di dunia dan di akhirat semudah-mudahnya.


Anakku Pencinta Al-Quran

Hasrat mahu anak kenal, cinta dan mesra dengan al-Quran sudah lama bersemi di hati. Selain memburu pahala dengan mengajar sendiri al-Quran, ia juga merupakan impian arwah mak (opah Nabil) mahu cucu-cucunya jadi imam kelak.

Pernah dengar tak kata-kata, terkadang kita buat sesuatu adalah untuk orang lain. Kita usaha lakukan sesuatu perkara untuk bahagiakan orang yang kita sayang kerana redha Allah bersama mak. Kita penuhi impian mak semata-mata untuk mencari redha Allah.

Tapi, itulah... Ada saja halangannya. Rasa tidak sempat, tunggu dulu, tidak sabar, tidak berapa rajin dan seumpamanya. Awal-awal dulu, kalau tak salah, ketika umur Nabil dua tahun lebih, saya dedahkan kepadanya  lagu Al Furqan. Sehingga beliau boleh menghafal lagu tersebut, kenal huruf dan menulis, baru saya berikan buku Al Furqan. Hasilnya beliau sangat happy sebab sudah kenal-kenal huruf tersebut.




Apabila umur Nabil semakin bertambah, ketangkasannya (elak daripada guna istilah nakal) juga semakin menguji. Banyak cakap, banyak bertanya, banyak mengusik adik, dan banyak buat ibu tarik nafas beristighfar. Kalau bukan abang yang buat adik nangis, adik pula saja cari sebab usik abang sampai nangis. Adeh.

Namun, cuba pujuk hati, anak kecil begitulah, biasa dan normal. Tanda dia sihat dan cergas. Ibu tak banyak amal ibadat. Barangkali kerenah Nabil dan adik-adiknya adalah ladang pahala untuk ibu sebagai ganti untuk amalan ibadah lain yang tidak seberapa. Lagipun, suasana 'meriah' seperti ini tidak lama. Kelak bila anak ini sudah mula bersekolah, pasti saya akan mula merinduinya. heheh...

Kenapa saya begitu tekankan sangat hafazan dan disiplin anak bujang sulung yang sudah melewati usia 5 tahun ini? Nak suruh adik-adiknya mengikut. Mereka kerap bermain bersama. Saya perasan banyak sikap Nabil yang telah berjaya ditiru oleh Fatimah dan Umar.

Kadang-kadang kena hint juga dengan boifren bila nampak saya keras mengajar Nabil. Malah kadang-kadang rasa macam Nabil ambil kesempatan pula mengelak mengaji bila time ayahnya ada di rumah. Ada masa dia seronok mengaji. Ada masa tak nak, tak nak, tak nak. Nak main je... Mengaji penat. Ayooo...

Umur 6 tahun pertama adalah umur emas kanak-kanak yang harus dimanfaatkan sepenuhnya kerana mereka mudah menerima apa saja yang kita masukkan ke dalam diri mereka. Misalnya hafalan surah-surah lazim, doa-doa harian yang ringkas dan mudah, akhlak terhadap Allah, nabi, ibubapa dan seumpamanya.

Insyaa Allah dengan asas didikan awal yang baik dari rumah, mudah-mudahan akhlak baik berterusan cemerlang sehingga akhir ayat. Mana tahu kelak boleh join skuad Al-Qassam. Ibu sering doakan anak-anak ibu hidup sebagai ulama dan mati sebagai syuhada. Mudah-mudahan Allah perkenankan doa ibu. Aamiiin.

Masa semakin suntuk. Astaghfirullah. Wallahu'alam.

Nabil belajar menghafal boleh lihat di sini, Nabil Dan Surah Hafazan.


Facebook: Azlina dan Rosedi.
Kedai online: Pembekal Produk Pendidikan.


Lari Bajet.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejahtera.


Semalam, berkesempatan tonton rancangan Assalamualaikum, TV Al-Hijrah. Tajuk Lari Bajet oleh Tuan Shamsuddin Kadir, Pakar Perundingan Kewangan yang dikasihi Allah dan disayangi nabi saw.

Saya cuba ceritakan kembali apa telah didengari. Masa tengok rancangan tu, tak terus catat dalam kertas. Jadi mungkin berbeza sikit penyampaiannya. Isi penting, Insyaa Allah sama.


Cara Menabung Secara Santai.

Setiap kali terima kepingan RM5, baki selepas berbelanja barang keperluan, asingkan terus ke dalam tabung. Jangan guna.

Hujung bulan, ketika perasaan tidak cukup duit mula terasa, Insyaa Allah, RM5 yang berkeping-keping tertabung itu membantu untuk beli beras atau keperluan lain yang terdesak.

Sekiranya mampu, asingkan juga RM20.

Kenapa tabungkan RM5 dan RM20 saja? RM10 boleh tak?

RM10 susah nak simpan sebab selalu dapat setiap kali pecahkan duit.

RM5 dan RM20 bukan selalu dapat dan bukan selalu ada dalam wallet. Jadi tidak tertekan sangat untuk menabungnya.

Tabungan secara santai itu lebih mudah untuk dilaksanakan.



Pesan beliau lagi:

1. Usah diperbudakkan oleh kehendak.

2. Usah memanjakan sangat keinginan.

3. Raya 1 Syawal saja. Bukan 1-30 Syawal.
- Selain itu adalah hari bersilaturrahim.

4. Keutamaaan yang perlu didahulukan kepada tetamu yang bertandang ialah, muliakan tetamu dengan makanan yang sedap dan layanan yang baik. Tidak semestinya kuih raya. Mee kari yang mewah dengan kerang pun sangat sedap.

- Sambutan dengan langsir cantik dan sofa cantik saja, barangkali boleh menyebabkan tetamu rasa rendah diri kerana mereka tidak memilikinya di rumah sendiri.

- Penggunaan pinggan mangkuk mahal, barang kali merisaukan tetamu sekiranya pecah ketika menggunakan peralatan tersebut.

- Kopi dalam cawan yang cantik dan mahal, belum tentu kopinya juga mahal.

- Makanan dalam pinggan mangkuk yang cantik tidak menjadikan makanan itu lebih sedap.

5. Trend bagi duit raya adalah budaya orang Cina. Kos sambut raya cuma bayar zakat RM 7.50 seorang. Kebanyakan orang dewasa tertekan terpaksa kasi duit raya sehingga terpaksa mohon maaf berkali-kali kerana hanya mampu bagi dengan jumlah yang sedikit saja.

6. Bakar mercun pada malam raya lebih kepada meraikan pembebasan syaitan. Bakar terus duit dengan bakar mercun sama saja.

7. Yang utama adalah sedekah duit pada bulan Ramadhan, bukan duit raya.

8. Sekiranya tetamu datang dengan kereta mewah, jangan lupa puji dn gosok-gosok kereta cantik itu agar kembang hati tetamu yang terpaksa bayar ansuran mahal setiap bulan. hihi...

*Lebih kurang begitulah point yang disampaikan beliau. Catatan ini sesuai untuk yang sealiran pemikiran saja. Boleh setuju dan boleh juga untuk menangguhkan persetujuan.

Astaghfirullah. Wallahu'alam.

Rabu, 6 Ogos 2014

Belajar Memahami Suami

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt. Salam Sejahtera.


Pernah baca buku ini?

Buku 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki, oleh Tuan Zamri Mohamad.

Saya baru memulakan pembacaan. Berkerut muka suami sebelum ketawa tatkala saya mohon beliau bayarkan buku ini untuk saya. Keh.. keh.. keh.. Tenkiu laling.

Murah saja. Harga di Semenanjung Malaysia RM21. 50.


Apabila yang menulisnya adalah penulis lelaki untuk tajuk buku seperti di atas, keterujaan untuk mengetahuinya lebih sikit. 

Pelik bukan sekiranya penulis wanita menulis tentang apa yang lelaki suka dan penulis lelaki menulis apa yang wanita suka? Jadi, cuba baca apa kata orang lelaki tentang apa yang mereka suka.

Ilmu ini, praktis pada suami saja. Tok sah gatai-gatai buat kat boifren atau tunang yang belum halal. 

Sekiranya mahu dijadikan hadiah untuk sahabat atau saudara-mara pada Hari Perkahwinan mereka, dialu-alukan sangat. Ia mengandungi tip menarik bagaimana untuk mengurut emosi suami agar hubungan perkahwinan bahagia, ceria dan saling menghargai. Hadiahkan untuk kawan yang sudah berkahwin lama pun boleh. 

Orang lelaki tidak mudah bercerita apa keinginannya kepada isteri atau sebarang masalah yang mengganggu ketenangan. Namun bahasa badannya, boleh dijadikan panduan. Misalnya apabila suami pulang ke rumah dengan muka yang berkerut, usah terus bertanya kenapa dan balas dengan muka berkerut juga. 

Senyum, hulurkan segelas air, sediakan tuala mandi bersih di hujung katil, dan pastikan katil untuk beliau baring tidak dipenuhi pakaian atau apa-apapun yang mengganggu moodnya untuk baring sebentar. Setelah nampak beliau rileks sikit, baru suarakan empati kita padanya. 

Dengar dengan baik luahannya tanpa mencadangkan apa penyelesaian segera seolah-olah mengajarnya apa yang harus dibuat kecuali diminta. Hati lelaki pasti terhibur dan cair dengan sikap empati, memahami dan mendengar yang ditunjukkan.

Setakat yang saya belek-belek dan sempat baca, menarik juga. Antaranya penulis masukkan contoh situasi, dialog, masalah, pengalaman orang lama dan cadangan bagaimana untuk mengatasi sesuatu kesukaran yang berpunca dari dalam mahupun dari luar rumah.

Saya belum habis baca, jadi tak mampu nak komen lebih-lebih lagi. Namun saya yakin pasti ia bermanfaat seperti buku-buku lain tulisan beliau yang sudah saya baca.

Oh lagi satu, saya create blog ini berpandukan langkah demi langkah yang ditunjukkan dalam salah satu buku beliau iaitu:


Mudah saja rupanya nak buat blog. Mudah bila sudah tahu. Kan.. :D 

Didoakan Allah membalas kebaikan yang banyak kepada penulis ini dan memudahkan beliau melangkah ke syurga tanpa hisab. Banyak ilmu percuma dan bermanfaat diperolehi melalui beliau terutama berkaitan bagaimana mahu jadi penulis yang diberkati, disayangi Allah dan dikasihi nabi saw. Sahabat pembaca semua boleh berkenalan  dengan beliau di mukabuku Tuan Zamri Mohamad.

Bahagiakan pasangan.

Bahagiakan anak-anak.

Banyak pahala untuk diraih melalui mereka.

Insyaa Allah rahmat Pemberi Rahmat sentiasa mengiringi.


Astaghfirullah, wallahu'alam.







Selasa, 5 Ogos 2014

Anak Tidak Boleh Buang Air.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt.

Salam Sejahtera.


Ini kisah lama. Perihal anak lelaki, ketika itu usianya hampir 5 tahun, yang tidak boleh kencing. Yang keluar cuma beberapa titis selain air mata yang mencurah-curah sebab menahan sakit.

Mudah-mudahan memberi manfaat kepada sahabat yang di uji dengan ujian yang sama.
......

Malam Kejadian.

Sebelum tidur, mulut mak yang mithali ni seperti biasa keluar skrip, "Abang pergi kencing dulu, baru tidur. Nanti, bla... bla..." Mulut mak. Tahu sajalah. Bila anak yang sudah mengantuk, tidak bergerak dari tempatnya, panjang lebar lagilah bla bla nya. (Usah diteruskan tabiat ini).

Keistimewaan si bujang soleh ini dulu, beliau tidak suka ke bilik air bersendirian. Menangis sepanjang jalan pergi bilik air itu perkara biasa diselangi suara mak atau ayahnya beri 'nasihat' yang berlebih-lebihan. Cuma malam itu lebih lagi jeritan zahirnya beritahu kencing tak nak keluar.

Sepanjang hidup saya, biasa dengar orang tua-tua saja mengalami sakit unik seperti ini. Diberitahu, ia sejenis penyakit yang sangat sakit dan menyeksakan. Belum pernah dengar anak kecil juga berpotensi mendapatnya.

Benarlah nikmat dapat membuang itu juga sangat penting untuk disyukuri seperti nikmat dapat makan ketika perut sangat lapar serta nikmat dapat tidur bila mata sangat mengantuk dan penat. Beristighfar apabila teringat waktu mengandung, pernah merungut sebab kerap rasa mahu terkencing.

Ayahnya spontan tanya, "Abang main apa kat taman petang tadi. Ada siapa-siapa pegang 'bird' abang tak?"

Ceh! Nak tercabut jantung maknya dengar soalan yang drastik yang tidak terjangkau dek pemikiran. Perkara sepenting itu saya tidak pernah pesan padanya. Lega sekejap, bila anak geleng kepala menafikan.

Setiap kali Nabil minta izin mahu turun bermain, saya cuma pesan, "Baca doa keluar rumah, supaya Allah jaga abang. Main baik-baik. Tak mau gaduh dengan kawan. Tak mau ketuk pintu rumah orang ajak kawan turun. Tak mau main dalam rumah kawan. Balik rumah sebelum pukul 7pm. Tak mau...", banyak lagi lor .

Orang kata, usah pesan banyak-banyak dalam satu masa. Sebahagian anak lelaki yang masih kecil mahupun yang sudah jadi suami orang, boleh terima satu pesanan/arahan saja dalam satu masa. Misalnya jika mahu anak lelaki kemaskan mainan dan pergi mandi, usah cakap sekaligus. Biar dia siap kemas mainan dulu, baru minta dia mandi. Kalau tidak, mak stress sebab anak cuma dengar kemas mainan saja. Yang mandi tu dia tak perasan.


Pergi Klinik.

Alhamdulillah ada klinik buka 24 jam berhampiran dengan kediaman. Doktor kasi ubat untuk lawas kencing, ubat demam dan antibiotik. Punca demam saya tidak pasti. Boleh jadi sebab banyak menangis, banyak main panas, cuaca mahupun kesan sampingan tak dapat kencing.

Doktor kata mungkin jangkitan kuman pada saluran kencing yang berpunca dari air. Mungkin. Nabil ada main air kolam di Dataran Gemilang, Putrajaya, sebelumnya. Selain mandi, dia juga main air pancut seperti gambar di bawah. Waktu itu waktu kemarau. Agak lama Selangor tidak menerima hujan. Boleh jadi air kolam itu sudah lama tidak berganti.


Gambar google.

Alhamdulillah selepas makan ubat, boleh kencing semula walaupun menangis lagi kerana masih sakit. Hanya malam keesokannya saja, Nabil dengan gembiranya beritahu, "Ibu, dah tak sakit dah."


Nota Sahabat Wangi.

Saya teringat satu artikel seorang sahabat wangi yang menulis, bila anak sakit dan kita seolah-olah sudah habis ikhtiar, ingatlah kepada yang memberi kesakitan itu. Barangkali ada dosa-dosa kita yang Allah mahu hapuskan lalu anak sakit itu sebagai isyarat agar kita kembali kepadaNya. Dosa mengata anak orang. Mahupun dosa mengata anak sendiri.

Katanya, banyakkanlah beristighfar, buat solat sunat taubat mohon keampunan, dan  lakukan solat sunat hajat mohon sakit anak disembuhkan.

Yang menyembuhkan sakit itu bukan doktor, bukan ubat, bukan melalui luahan pada mukabuku, tetapi Dia. Berjumpa doktor dan menelan ubat adalah usaha. Manakala hasilnya mohonlah sungguh-sungguh agar yang Maha Penyembuh sembuhkan.

Kepada sahabat wangi ini, didoakan Allah sentiasa memberkatimu dan membalas dengan kebaikan yang banyak. Aamiiin.. ♥♥♥


Muhasabah Diri.

Di antara pengajaran yang diperolehi dari pengalaman anak sakit:

1. Pesan pada anak mengikut tahap umurnya tentang apa yang boleh dan tidak boleh bila berkawan-kawan.

2. Kawal tutur kata, sangkaan dan tulisan terhadap anak. Semuanya boleh jadi doa. Misalnya:

"Abang tau tak, kencing tu bagus? Boleh tidur dengan selesa. (Ibu tak penat jemur tilam kalau abang bocor). Simpan tak bagus. Boleh dapat sakit. Kalau abang asyik marah-marah dan nangis je bila ibu suruh abang pergi kencing, Allah tak bagi abang kencing nanti, lagi sakit." Lebih kurang begitulah bebelan ibu mithali.

Allah makbulkan, abang tak boleh kencing, abang sakit. Huhuu....

Terlajak tulis boleh edit atau delete, terlajak kata kena beristighfar dan bertaubat. Semoga Allah pelihara lidah dan hati ibu daripada mendoakan keburukan dan kemudaratan terhadap anak-anak.

3. Elak mandi di kolam mandi terbuka sewaktu musim kemarau. Boleh jadi air tidak berapa bersih.

4. Menulis sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain yang dalam kesusahan.

5. Buang air di tempat yang betul iaitu di dalam bilik air. Elakkan tempat-tempat yang salah seperti dalam kolam mandi, berhenti kereta di tepi jalan dan seumpamanya.

6. Sentiasa redha dan maafkan anak agar kehidupan anak sentiasa diberkati. Adakalanya hati ibu mudah terguris tanpa anak sengaja.


Astaghfirullah, wallahu'alam.