Assalamualaikum wbrt.
Salam Sejahtera.
Ini kisah lama. Perihal anak lelaki, ketika itu usianya hampir 5 tahun, yang tidak boleh kencing. Yang keluar cuma beberapa titis selain air mata yang mencurah-curah sebab menahan sakit.
Mudah-mudahan memberi manfaat kepada sahabat yang di uji dengan ujian yang sama.
......
Malam Kejadian.
Sebelum tidur, mulut mak yang mithali ni seperti biasa keluar skrip, "Abang pergi kencing dulu, baru tidur. Nanti, bla... bla..." Mulut mak. Tahu sajalah. Bila anak yang sudah mengantuk, tidak bergerak dari tempatnya, panjang lebar lagilah bla bla nya. (Usah diteruskan tabiat ini).
Keistimewaan si bujang soleh ini dulu, beliau tidak suka ke bilik air bersendirian. Menangis sepanjang jalan pergi bilik air itu perkara biasa diselangi suara mak atau ayahnya beri 'nasihat' yang berlebih-lebihan. Cuma malam itu lebih lagi jeritan zahirnya beritahu kencing tak nak keluar.
Sepanjang hidup saya, biasa dengar orang tua-tua saja mengalami sakit unik seperti ini. Diberitahu, ia sejenis penyakit yang sangat sakit dan menyeksakan. Belum pernah dengar anak kecil juga berpotensi mendapatnya.
Benarlah nikmat dapat membuang itu juga sangat penting untuk disyukuri seperti nikmat dapat makan ketika perut sangat lapar serta nikmat dapat tidur bila mata sangat mengantuk dan penat. Beristighfar apabila teringat waktu mengandung, pernah merungut sebab kerap rasa mahu terkencing.
Ayahnya spontan tanya, "Abang main apa kat taman petang tadi. Ada siapa-siapa pegang 'bird' abang tak?"
Ceh! Nak tercabut jantung maknya dengar soalan yang drastik yang tidak terjangkau dek pemikiran. Perkara sepenting itu saya tidak pernah pesan padanya. Lega sekejap, bila anak geleng kepala menafikan.
Setiap kali Nabil minta izin mahu turun bermain, saya cuma pesan, "Baca doa keluar rumah, supaya Allah jaga abang. Main baik-baik. Tak mau gaduh dengan kawan. Tak mau ketuk pintu rumah orang ajak kawan turun. Tak mau main dalam rumah kawan. Balik rumah sebelum pukul 7pm. Tak mau...", banyak lagi lor .
Orang kata, usah pesan banyak-banyak dalam satu masa. Sebahagian anak lelaki yang masih kecil mahupun yang sudah jadi suami orang, boleh terima satu pesanan/arahan saja dalam satu masa. Misalnya jika mahu anak lelaki kemaskan mainan dan pergi mandi, usah cakap sekaligus. Biar dia siap kemas mainan dulu, baru minta dia mandi. Kalau tidak, mak stress sebab anak cuma dengar kemas mainan saja. Yang mandi tu dia tak perasan.
Pergi Klinik.
Alhamdulillah ada klinik buka 24 jam berhampiran dengan kediaman. Doktor kasi ubat untuk lawas kencing, ubat demam dan antibiotik. Punca demam saya tidak pasti. Boleh jadi sebab banyak menangis, banyak main panas, cuaca mahupun kesan sampingan tak dapat kencing.
Doktor kata mungkin jangkitan kuman pada saluran kencing yang berpunca dari air. Mungkin. Nabil ada main air kolam di Dataran Gemilang, Putrajaya, sebelumnya. Selain mandi, dia juga main air pancut seperti gambar di bawah. Waktu itu waktu kemarau. Agak lama Selangor tidak menerima hujan. Boleh jadi air kolam itu sudah lama tidak berganti.
Gambar google.
Alhamdulillah selepas makan ubat, boleh kencing semula walaupun menangis lagi kerana masih sakit. Hanya malam keesokannya saja, Nabil dengan gembiranya beritahu, "Ibu, dah tak sakit dah."
Nota Sahabat Wangi.
Saya teringat satu artikel seorang sahabat wangi yang menulis, bila anak sakit dan kita seolah-olah sudah habis ikhtiar, ingatlah kepada yang memberi kesakitan itu. Barangkali ada dosa-dosa kita yang Allah mahu hapuskan lalu anak sakit itu sebagai isyarat agar kita kembali kepadaNya. Dosa mengata anak orang. Mahupun dosa mengata anak sendiri.
Katanya, banyakkanlah beristighfar, buat solat sunat taubat mohon keampunan, dan lakukan solat sunat hajat mohon sakit anak disembuhkan.
Yang menyembuhkan sakit itu bukan doktor, bukan ubat, bukan melalui luahan pada mukabuku, tetapi Dia. Berjumpa doktor dan menelan ubat adalah usaha. Manakala hasilnya mohonlah sungguh-sungguh agar yang Maha Penyembuh sembuhkan.
Kepada sahabat wangi ini, didoakan Allah sentiasa memberkatimu dan membalas dengan kebaikan yang banyak. Aamiiin.. ♥♥♥
Muhasabah Diri.
Di antara pengajaran yang diperolehi dari pengalaman anak sakit:
1. Pesan pada anak mengikut tahap umurnya tentang apa yang boleh dan tidak boleh bila berkawan-kawan.
2. Kawal tutur kata, sangkaan dan tulisan terhadap anak. Semuanya boleh jadi doa. Misalnya:
"Abang tau tak, kencing tu bagus? Boleh tidur dengan selesa. (Ibu tak penat jemur tilam kalau abang bocor). Simpan tak bagus. Boleh dapat sakit. Kalau abang asyik marah-marah dan nangis je bila ibu suruh abang pergi kencing, Allah tak bagi abang kencing nanti, lagi sakit." Lebih kurang begitulah bebelan ibu mithali.
Allah makbulkan, abang tak boleh kencing, abang sakit. Huhuu....
Terlajak tulis boleh edit atau delete, terlajak kata kena beristighfar dan bertaubat. Semoga Allah pelihara lidah dan hati ibu daripada mendoakan keburukan dan kemudaratan terhadap anak-anak.
3. Elak mandi di kolam mandi terbuka sewaktu musim kemarau. Boleh jadi air tidak berapa bersih.
4. Menulis sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain yang dalam kesusahan.
5. Buang air di tempat yang betul iaitu di dalam bilik air. Elakkan tempat-tempat yang salah seperti dalam kolam mandi, berhenti kereta di tepi jalan dan seumpamanya.
6. Sentiasa redha dan maafkan anak agar kehidupan anak sentiasa diberkati. Adakalanya hati ibu mudah terguris tanpa anak sengaja.
Astaghfirullah, wallahu'alam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan