Assalamualaikum wbrt. dan Salam Sejahtera.
Entri kali ini adalah sambungan dari entri Didik Anak Bersabar. Mahu berkongsi tentang kepentingan menangguhkan kepuasan demi untuk memperoleh kepuasan yang lebih besar di hari esok dari buku Projek Anak Luar Biasa.
Lazimnya, anak kecil mahu kehendaknya dipenuhi serta-merta. Apabila terima duit yang sepatutnya ditabungkan, mereka terus mahu membelanjakannya bagi memenuhi keinginan. Akibatnya mereka tiada tabungan dan terus bergantung kepada ibu bapa. Sekiranya sikap ini dibiarkan berlanjutan, kelak ia memudaratkan diri mereka sendiri dan masyarakat.
Dalam satu ujian personaliti yang dilakukan ke atas kanak-kanak tadika berusia 4 tahun, penyelidik memberi sebiji gula-gula seorang. Mereka diberitahu, jika sanggup menunggu sehingga penyelidik datang lagi, mereka akan dapat 2 biji lagi gula-gula. Sekiranya mereka tidak sanggup menunggu, boleh makan sekarang.
Didapati sebahagian kanak-kanak, sanggup menunggu sambil melakukan pelbagai aktiviti seperti main-main sendiri, cuba-cuba tidur dan cuba tutup mata. Sebahagian lagi terus makan sebaik saja penyelidik keluar.
Kanak-kanak yang sanggup bersabar menunggu tadi, selepas 14 tahun kemudian didapati memiliki kemahiran sosial yang tinggi. Mereka menunjukkan sifat keberkesanan diri, tahu hadapi kegagalan dan kekecewaan, tidak mudah putus asa dan tahu mendapatkan apa yang mereka mahu, lebih tabah, lebih berdaya usaha dan sanggup menghadapi cabaran,
Sebaliknya kanak-kanak yang terus makan gula-gula tadi, selepas 14 tahun mereka kurang berminat menjalinkan hubungan sosial, lebih degil, tidak pandai membuat pilihan, mudah kecewa, mudah putus asa, mudah melenting, mudah bergaduh dan cepat menarik diri daripada berusaha.
Apabila kanak-kanak tadi diuji sekali lagi pada tahun akhir sekolah menengah, kanak-kanak yang sanggup bersabar untuk mendapatkan lagi gula-gula didapati menjadi pelajar lebih cemerlang berbanding rakan mereka yang tidak sabar menunggu.
Kesimpulannya, ciri personaliti yang sanggup menangguh kepuasan memperolehi banyak kebaikan. Manakala yang tidak sanggup menangguhkan kepuasan, mendatangkan pelbagai kegagalan dalam kehidupan.
Contoh paling jelas, lihat ke dalam diri sendiri, kita sebahagian daripada kanak-kanak yang sanggup bersabar menahan nafsu dari makan gula-gula sehingga penyelidik datang kembali atau sebahagian dari kanak-kanak yang makan terus gula-gula sebaik saja penyelidik keluar dari kelas.
Ada banyak lagi yang menarik dari buku Projek Anak Luar Biasa di bawah. Menurut penulis, buku ini adalah hasil pengalaman, pemerhatian penulis dan juga pakar-pakar psikologi dan pakar kanak-kanak yang membicarakan tentang anak-anak.
Saya suka! Banyak membantu dalam menghadapi dan menguruskan kerenah anak 24jam/ 7 hari seminggu. Banyak topik yang dibincangkan buat saya rasa macam makan cili api. Berasa pedas! Sebab melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan meninggalkan yang patut dilakukan. Masih jauh rupanya perjalanan untuk sampai ke tahap ibu mithali yang diredhai Allah. Huhu...
------------------
*Sembang-sembang malam sebelum tidur.
Nabil: Ibu ni macam kak Rose.
Ibu: Ehhh... Kak Rose tu macam mana?
Nabil: Macam kak Rose lah.
Ibu gigit gigi sambil bayangkan kak Rose, kakak kepada Upin Ipin dan cuba faham Nabil nak habaq apa sebenarnya bila dia tidak mahu sambung perbualan.
----------------------
Astaghfirullah, wallahu'alam.
Facebook: Azlina dan Rosedi.
Kedai Online: Pembekal Produk Pendidikan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan