Khamis, 7 Ogos 2014

Didik Anak Bersabar.

Bismillah.

Assalamualaikum wbrt dan Salam Sejahtera.


Ujian Personaliti: Tangguh Kepuasan Demi Hari Esok.

Kajian menunjukkan, anak-anak yang mempunyai keupayaan menangguhkan kepuasan adalah anak yang berjaya. Keupayaan ini memerlukan kesabaran anak kecil yang kita sedia maklum, mereka mempunyai banyak keinginan yang mahu dipenuhi serta-merta.

Sekiranya dapat dipenuhi mereka ketawa suka. Sebaliknya, boleh mengamuk tanpa kira tempat mahupun siang atau malam sampai maknya pula hampir-hampir nak tukar jadi rasaksa. Lihat, nak minta anak sabar, mak sendiri tak sabar. Ketam betul! Mak patut lebih lagi buat ujian personaliti ini. Heheh...

Kelebihan ujian ini, melatih kebiasaan anak menangguhkan kenikmatan hari ini bagi menikmati nikmat besar pada hari esok. Ia ada hubung kait dengan melatih anak sabar dalam melakukan ketaatan terhadap Allah bagi dapat ganjaran yang lebih besar di Akhirat seperti sabar melaksanakan solat, membantu orang lain, tidak mencuri dan tidak berbohong.


Gurauan Sebelum Tidur.

Pagi semalam saya goreng ayam salut tepung untuk Nabil dan Fatimah sebagai menunai janji kepada mereka kerana berhenti bergaduh dan menjerit-jerit berebut comforter sebelum tidur malam sebelumnya.

Sejak akhir-akhir ni, nak tidur pun sempat bergurau lagi sampai menangis. Kadang-kadang saya biarkan saja sampai mereka berhenti sendiri sebab malas nak layan. Kalau dah lebih dari 30 saat tak berhenti lagi jerit, baru tunjuk rotan suruh diam. Berkesan namun tak bagus untuk jangka masa panjang.

Untuk redakan kesedihan mereka dan rasa serba-salah diri sendiri sebab mengugut dengan rotan, maka termeterai janji untuk masakkan makanan kesukaan mereka, ayam goreng sebagai sarapan pagi esoknya. Tidur dalam keadaan sedih dan marah bukan tidur yang baik. Mana tahu mati dalam tidur nanti, menyesal tidak sudah jadinya. Minta dijauhkanlah mati begitu.

Sungguh senyuman dari wajah-wajah yang basah kesan air mata itu mencairkan hati ibu. Masalah selesai dan masing-masing masuk tidur dengan aman selepas saling bermaafan dan baca doa tidur.

Susah hati bila sudah lewat malam anak buat bising menggangu jiran-jiran di luar pintu. Lepas ni kena sentiasa ingatkan waktu bila harus semua orang jangan terlalu bising. Misalnya ketika azan sedang berkumandang, waktu ada orang solat, awal pagi, lewat malam, waktu ibubapa tengah berbual, ketika tetamu bertandang di rumah dan waktu ada sesiapa tidur di dalam rumah.


Ayam Goreng.

Saya goreng lebih sikit ayam yang sengaja dipotong bersaiz agak kecil sedikit sebab nak testing tahap kesabaran Nabil. Selepas bagi seorang seketul, bakinya saya masukkan dalam tupperware dan sengaja dibiarkan di atas meja.

Seperti biasa Nabil paling cepat dapat habiskan bahagiannya dan mahu ambil lagi.

"Ibu, yang dalam tupperware ni siapa punya?" Soalnya untuk kepastian sebab biasanya makanan yang sudah diisi dalam tupperware pasti bukan dia punya.

"Ohooo... yang tu abang tolong kasi pada Nasuha ya. Mesti dia pun seronok dapat makan ayam macam abang." Nasuha adik Harith, bestfriend Nabil. Bestfriend pergi sekolah, tinggal adik saja kat rumah.

"Alaa.. kenapa abang punya satu je, Nasuha punya banyak?"

"Sekiranya yang sudah goreng ni abang beri pada Nasuha, ibu goreng lagi 6 ketul untuk abang. Lagi banyak abang dapat." Dalam tupperware tu ada 4 ketul saja.

"Lambatlah nak tunggu ibu masak... abang nak makan sekarang," drama tak puas hati bermula.

"Ok. Abang boleh makan. Makan kongsi dengan adik. Ayam yang belum goreng ni ibu nak simpan balik dalam peti ya. Ayah balik kerja nanti, baru ibu goreng lagi," psiko ibu.

Nabil terkebil-kebil dengan mulut yang muncung. Barangkali congak-congak membandingkan tempoh menunggu ibu goreng sekarang dengan tempoh menunggu ayah balik kerja.

Sudahnya ayam goreng itu sampai juga pada Nasuha. Heheh...

Senyum-senyum Nabil balas senyuman ibu bila nampak ibu segera buka api dapur untuk sambung semula goreng ayam sebaik saja dia setuju untuk kasi ayam goreng pada Nasuha dulu.

Nabil sabar menanti sambil mengadap komputer tonton kartun pilihan. Matanya pula sekali-sekala, jeling-jeling ayam di tangan Fatimah dan Umar yang tak habis-habis lagi di makan sejak tadi. Hohoo...


Manfaat dari Aktiviti:

1. Latih anak suka memberi dan mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri.

2. Latih anak bersabar menunggu ayam siap digoreng sehingga ia sejuk dulu sebelum dapat dimakan. Tempoh masa menunggu lebih kurang 20-25 minit.


Ujian Seterusnya.

Hari ini rancang mahu testing Fatimah dengan gula-gula. Fatimah 3 tahun. Sebelum ini uji dengan supplement vitamin C belum berjaya. Sudah tetapkan syarat dua biji saja satu hari, masih minta lagi. Akhirnya habis satu botol dimakan seorang saja dalam keadaan menyorok di bawah katil. Pandai kakak ini. Mujur baki dalam botol itu ada beberapa biji saja.

Caranya, mulakan dengan berikan dua biji gula-gula pada anak.

Katakan pada anak, simpan dulu gula-gula tersebut. Lepas 20 minit baru boleh makan. Tunjukkan jarum jam panjang pukul berapa anak baru boleh makan.

Janji pada anak, boleh dapat dua biji lagi gula-gula sekiranya anak patuh pada arahan.

Kemudian tinggalkan anak sendirian dan lihat dari jauh kelakuan dia.

Jangan lupa minta anak gogok gigi selepas habis makan gula-gula.

Selamat berjaya.

Insyaa Allah bertemu lagi.


Astaghfirullah, wallahu'alam.

Facebook: Azlina dan Rosedi.
Kedai Online: Pembekal Produk Pendidikan.



2 ulasan:

  1. Ni konsep dlm psikologi kata..delay gratification.. means sabar untuk hasil yg lebih bagus

    BalasPadam
  2. Ohoo.. orang putih panggil delay gratification heh Yuse . Sabar untuk bersabar juga perlu kesabaran kan. huhu...

    BalasPadam